#Remy8 - Bab 8

71 12 0
                                    

"Assalamualaikum mama, papa," tegur Rizki ceria. 

"Abang dengan kakak kau tak nampak ke?" laung Rahmah dari belakang bonet kereta.

"Kakak ada! Abang ada! Yay! Apa tu?" tanya Riz sebaik sahaja kelibat dua adik-beradik angkatnya muncul di tepi meja.

Taman yang indah di Sekolah Menengah Permaisuri Balqis meriah apabila keluarga itu bertemu. Riz yang bakal menduduki PMR terharu bila kakaknya memberikan dia empat tin minuman kegemarannya, yang dibawa khas dari US.

"Kakak cuti lama ni, kalau Riz balik rumah masa cuti sekolah nanti, kakak boleh tolong tengokkan kerjarumah Matematik," tawar Rahmah.

"Cuti tak payah belajar. Aku bagi kau tengok kartun yang kau suka," tawar abangnya, Rahman, yang sengaja nak mengusiknya. 

Riz ketawa gembira. "Tak apa dua-dua Riz nak buat nanti."

"Riz memang bijak bahagi masa," puji Ros, bonda kesayangan tiga remaja itu.

"Bahagi badan pun pandai juga," usik Rithaudin. 

Seluruh keluarga itu tergelak. Mereka makan lagi juadah ayam goreng dan sayur yang dibawa khas untuk perkelahan kecil hari itu.

"Diet khas untuk kesihatan Riz tu, Riz jaga tak?" tanya Ros, mula risau.

Riz angguk. "Mestilah."

"Hmm... Remy?" tanya Rithauddin.

Riz angguk lagi. "Remy suka minum jus buah-buahan yang dua girlfriend dia buatkan. Tiap hari, Riz lari kejap dan masukkan garam. Lepas tu, Riz boleh rehat-rehat di sekolah, perhati dari jauh saja. Remy tu budak baik. Tak kawan dengan geng nakal. Mungkin sebab si kembar tu asyik berkepit dengan dia. Senang kerja Riz," cerita gadis itu.

Rambutnya yang makin panjang itu disekanya. Ros mengambil peluang untuk membelai gadis itu, lalu mengikat rambutnya. Riz tersenyum sahaja bila dimanjakan begitu.

"Bagus juga Remy baik dengan si kembar tu, kan kakak dah cakap hari tu," Rahmah berlagak. Memang bila Rizki ceritakan hal Remy sudah ada pengawal peribadi, Rahmah yang nasihatkan agar dibiarkan mereka bertiga bersahabat.

"Tapi Riz rasa, dua orang tu bakal berebutkan Remy, kalau ikut apa yang Remy ceritakan melalui emel lah. Risau juga kalau dia stres. Terkeluar sayapnya nanti," luah Riz.

"Itu Riz pandai-pandailah nasihat. Cakap pada Remy, belajar lebih penting daripada bercinta," nasihat Ros. 

"Alah, Remy suka pada Riz. Takkan dia nak orang lain dah," getus Rahman selamba.

Tersentak Riz. Ros dan Rithauddin terdiam.

"Mana boleh Remy sukakan Riz. Riz bukan kerabat diraja macam dia..." Riz mengomel.

Ros semakin risau. Dia boleh nampak yang Rizki terganggu dengan apa yang dibicarakan Rahman tadi. Dan yang lebih merisaukan, kalau Rizki juga sukakan anak muda itu. Cinta, tak semestinya akan bersatu di akhir cerita. Cerita Rizki dan Remy seperti filem Antara Dua Darjat.

Ros tak mahu Rizki kecewa. Dia sayangkan anak bongsunya itu, biarpun bukan darah dagingnya.

"Riz pun muda lagi, tak perlu risaukan semua ni..." nasihat Ros, itu yang dia mampu.

Rithaudin seolah dapat membaca fikiran isterinya. "Riz fokus pada pelajaran, dan kebajikan Remy, seperti yang Riz dah janji. Selebihnya, papa ada. Biar papa yang tengok-tengokkan. Kalau jadi apa-apa, Riz jangan risau, papa dan mama, kakak dan abang akan sentiasa menyokong Riz. Ini bukan tanggungjawab Riz seorang. Remy, kita sama-sama tengok-tengokkan. Papa pun, dah berbincang dengan Pak Lang si Remy. Dia makin faham situasinya sekarang."

Riz lega. Ros, Rahman dan Rahmah, begitu juga.

Rithauddin bukan sekadar seorang penjawat awam. Dia duta antara dunia. Mereka percaya, Rithauddin dan kenalan angkasanya Riq, pasti akan lindungi mereka semua.

Remy dan Riz, hanyalah sepasang remaja yang tidak berdosa.

Remy8Where stories live. Discover now