BAB 9

34K 2.3K 232
                                    

AFYA berlari ke kaunter pertanyaan hospital kerajaan itu. Setengah jam yang lepas, dia menerima panggilan daripada adiknya, Aifa mengatakan ayah mereka dimasukkan ke hospital. Puncanya kerana sakit dada kemudian pengsan tidak sedarkan diri. Dek kerana terlalu risau, dia tidak membuang masa dan terus sahaja memecut keretanya menuju ke hospital besar itu. Sudah diminta adiknya untuk menghantar mesej bagi tahu nombor bilik wad ayahnya.  Namun sampai sekarang langsung tiada balasan. Jadi lebih baik dia bertanya sendiri di kaunter itu.

“Assalamualaikum...” Ucapan salam diberi terlebih dahulu.

Penjaga kaunter pertanyaan yang tadinya sedang berbual bersama rakan sekerjanya terus memandang ke arah Afya. “Waalaikumussalam. Ya cik, ada apa saya boleh bantu?”

“Saya mencari bilik wad ayah saya,” ujar Afya

“Siapa nama ayah cik? Dan bila dia dimasukkan ke wad?” Penjaga kaunter pertanyaan itu menyoal.

“Amer Azhari bin Umar Ramzi. Tadi adik saya call, kata yang ayah kami dimasukkan ke wad. Tapi saya tak pasti pukul berapa ayah saya dimasukkan,” jelas Afya.

Penjaga kaunter pertanyaan itu mengangguk kecil. “Cik tunggu sekejap ya. Saya check data pesakit yang dimasukkan ke wad hari ni,” ujarnya sopan.

Afya mengangguk. Sementara menunggu penjaga kaunter pertanyaan itu memberikan jawapan, dia mengeluarkan telefon bimbitnya daripada beg tangan. Peti mesej dibuka. Kosong.

“Cik, ayah cik sekarang ni berada di ICU Timur tingkat dua.”

“ICU?” Dahi Afya berkerut. Teruk sangat ke keadaan ayahnya sehingga dimasukkan ke ICU?

“Ya. ICU Timur tingkat dua. Cik naik tingkat dua, belok kiri. Cari bilik nombor 17.”

“Baiklah. Terima kasih.” Setelah itu, Afya bergegas melangkah ke arah lif.

Ting! Lif yang dinaikinya tiba di tingkat dua. Seperti yang dikatakan oleh penjaga kaunter pertanyaan tadi, Afya membelok ke kiri setelah keluar daripada lif itu.
Setiap nombor yang tertera pada pintu bilik wad itu dipandang. Sehinggalah dia terjumpa pintu yang tertera angka 17. Afya kaku sejenak di hadapan pintu. Kedua tangannya dikepal, mengumpul semangat. Tarik nafas, hembus. Berkali-kali sehingga dia rasa tenang. Setelah itu, barulah dia memulas tombol pintu. Dikuak sedikit.

“Assalamualaikum…” Salam diucap untuk menarik perhatian adik dan ibunya yang berada di dalam bilik wad itu.

Tatkala mereka berpaling, Afya mengukir senyum tipis. Dia hanya berdiri di luar. Undang-undang di ICU, melarang lebih daripada dua orang berada di dalam bilik wad.

“Macam mana…”

“Aifa yang call kakak bagitahu ayah kat sini.” Aifa Aireen menjawab pantas tanpa sempat ibunya menghabiskan soalan.

Puan Sarimah menghela nafas berat mendengar jawapan Aifa tadi. 

Melihat tiada sebarang balasan daripada ibunya, Aifa bergerak melangkah ke arah kakaknya di muka pintu. “Kakak nak masuk?”

Afya memandang adiknya. Kemudian wajah ibunya pula dipandang. Dia menggeleng kecil. “Boleh kita bercakap kat luar?”

Aifa mengangguk setuju. Dia keluar dari bilik wad ICU itu  dan mengikut kakaknya menuju ke satu sudut yang menyediakan beberapa buah kerusi.

“Doktor cakap apa pasal ayah?” soal Afya sebaik melabuhkan punggung di atas kerusi. Wajah adiknya direnung, menanti jawapan.

Aifa hela nafas perlahan. “Kakak jumpa doktor. Adik nak cakap pun, entahlah. Adik tak berapa faham sangat apa yang doktor cakap tadi.”

ANDRI FEDRIC: Mr Mafia Miss Inspector (TERBIT)Onde histórias criam vida. Descubra agora