BAB 5

41.7K 2.5K 131
                                    

AFYA melangkah keluar daripada keretanya. Sepasang kakinya terus melangkah ke arah rumah papan yang berada tidak jauh dengan tempat keretanya diparkir. Jam yang melilit pergelangan tangan ditilik. Sudah jam dua petang.

“Assalamualaikum! Ibu! Ayah! Leen balik!” Dia melaung kuat. Pintu kayu yang tertutup rapat itu diketuk beberapa kali dengan tangan kanannya. Manakala tangan kiri menjinjit beg plastik yang penuh dengan barang.

Seminit menunggu, pintu kayu itu dibuka daripada dalam. Seraut wajah wanita menyapa pandangannya.

“Ibu! Rindu!” jerit Afya lantas memeluk erat tubuh tua di hadapannya itu. Pipi wanita itu dicium lama melepaskan rindu. Setelah hampir seminit, pelukan dirungkaikan. Bebola matanya melilau mencari kelibat seseorang di dalam rumah. “Ayah mana ibu?”

“Kat bilik. Ayah kamu tak sihat,” ujar wanita berumur separuh abad itu. Sarimah nama diberi.

“Tak sihat?” soal Afya, cemas. Sandal di kakinya kelam-kabut ditanggalkan, dan dia terus masuk ke dalam rumah papan itu. Kaki melangkah ke dapur terlebih dahulu untuk meletakkan barang-barang yang dibawanya itu.

“Biasalah ayah kamu tu. Suruh pergi hospital, tak nak. Nak juga simpan sakit tu,” balas Puan Sarimah, mengekori si anak daripada belakang.

Afya mengangguk faham. Dia faham dengan perangai degil ayahnya itu.

“Leen tengok ayah sekejaplah. Ni ada barang dapur Leen beli. Tak banyaklah, sebab Leen belum gaji lagi. Tapi cukup untuk makan minum ibu, ayah dengan adik sampai hujung bulan nanti,” ujar Afya lembut. Barang-barang yang dibawanya itu diletakkan di atas meja makan.

“Kenapa susah-susah? Ibu ada duitlah nak beli barang dapur. Duit yang Leen bagi bulan lepas pun belum habis lagi,” ujar Puan Sarimah, memandang Afya tidak lepas.

Afya tersenyum tipis. Bahu ibunya dipaut lembut. “Leen tak kisah berhabis duit demi keluarga. Leen tak ada duit pun tak apa, asalkan ibu, ayah dan adik hidup senang,” ujarnya. Kedua pipi si ibu dikucup.

Puan Sarimah tersenyum. “Apa kebaikan yang ibu dengan ayah buat sampai kami dikurniakan anak sebaik Leen?”

“Sebab ibu dan ayah dah besarkan Leen dengan sempurna. Dah tiba masa untuk Leen balas jasa ibu dan ayah,” balas Afya.

“Hmm… Dahlah, Leen pergi tengok ayah. Ibu nak masak. Leen nak makan apa? Ibu masakkan.”

Pautan pada bahu ibunya dilepaskan. “Leen nak makan asam pedas ibu boleh?”

Puan Sarimah tersenyum sebelum kepalanya diangguk perlahan.

“Yeah! Terima kasih ibu! Sayang ibu!” Tubuh ibunya dipeluk kejap. Selepas meleraikan pelukan, Afya terus berlari ke arah tangga untuk naik ke bahagian atas rumah papan itu.

Puan Sarimah tergeleng melihat perangai anak daranya itu. Kakinya mengatur langkah ke arah sinki.

“Ibu, adik mana?” Afya yang baru memijak lantai tingkat atas menyoal.

“Sekolah. Hari ni kan Rabu. Mana lagi tempat dia kalau bukan sekolah,” balas Puan Sarimah tanpa memandang ke arah anaknya.

“Dah pukul dua lebih tak balik lagi?”

“Adik kan nak STPM. Petang nanti baru dia balik.”

ANDRI FEDRIC: Mr Mafia Miss Inspector (TERBIT)Where stories live. Discover now