Ryo tergamam dan mendadak rasa dingin meruap ke kepalanya.Mana mungkin dia sudah datang menjemput Veei lebih awal sedangkan dia baru sahaja sampai ke hospital tersebut ?

Belum sempat pengawal keselamatan tersebut menokok , Ryo berlari pantas menuju ke keretanya dan dia terus menerus mendail nombor telefon adiknya dengan sendi yang menggeletar.Akal warasnya terasa buntu seketika dan apa yang berlegar dikepalanya hanyalah perihal keselamatan Veei !

Telinga Ryo mendadak menangkap satu bunyi nada dering yang sayup-sayup dan kedengaran jauh sekali.Sambil melangkah perlahan-lahan, Ryo terus mendail nombor telefon adik perempuannya dan dalam masa yang sama mencari sumber bunyi berupa nada dering yang didengarinya itu.

Semakin menghampiri satu lot tempat meletak kenderaan yang terletak sedikit terlindung dari penglihatan,bunyi nada dering tersebut semakin jelas dan ia semakin membuatkan Ryo terketar-ketar menggenggam telefon bimbitnya.

Dada Ryo seakan hendak runtuh apabila matanya melihat satu cahaya terang dari dalam longkang dan diiringi dengan nada dering yang amat dikenalinya.

Dan diantara aliran air longkang serta timbunan daun-daun kering,kelihatan sebuah telefon bimbit separuh timbul dan berkelip-kelip dengan cahaya cerah putih-biru membiaskan deretan aksara yang jelas tertera identiti pemanggil lengkap dengan gambar profilnya sekali.

ABANG RYO

Tidak memperdulikan becak longkang tersebut, Ryo melompat turun ke dalam nya dan meraih telefon bimbit tersebut dengan wajah pucat lesi.Dia mengenali telefon bimbit tersebut sebagai telefon bimbit kepunyaan adik perempuannya kerana dia sendiri yang menghadiahkan telefon tersebut semasa sambutan hari kelahiran Veei yang ke- 23 tahun tiga bulan lepas.

" Veeiiii !!"

Tanpa sedar Ryo berteriak sekuat-kuatnya dengan wajah yang pias ketakutan melihat tidak jauh daripada longkang besar dimana telefon bimbit adiknya ditemui,beg berwarna hijau zamrud yang selalu dibawa Veei ke mana-mana itu juga tergeletak diantara ranting pokok  dengan segala isinya berhamburan keluar.

Walaupun dengan hati yang terasa sangat tidak keruan, Ryo tidak cepat  tenggelam punca.Dia berlari kembali ke arah kenderaannya yang tersadai di tepi jalan dan meraih sesuatu dari bonet belakang.

Selepas mengenakan sarung tangan getah yang memang tersedia dia dalam kotak kecil di bonet belakang keretanya, dia berlari anak dan pantas dia meraih telefon bimbit yang sudah separuh tenggelam dalam genangan air longkang lalu memasukkannya ke dalam beg plastik lut sinar yang dibawa nya bersama.Begitu juga dengan beg serta benda-benda kecil yang bertaburan di atas permukaan tanah.

Meletakkan tiga buah beg plastik lutsinar ke sebelahnya, Ryo kembali meraih sesuatu dari dalam kocek nya.Sebuah peralatan forensik berbentuk lampu picit mini bersaiz pen penanda.Ryo menekan butang untuk menghidupkan alat kecil tersebut dan serta-merta cahaya biru putih terpancar.

Cahaya putih biru tersebut adalah cahaya yang dipancarkan daripada peranti Ujian Luminol yang akan menyebabkan tindak balas kimia dengan unsur tertentu yang terdapat di dalam  cairan biologi seperti darah manusia lalu membiaskan warna yang berbeza.

Dalam risaunya yang menghentam ubun-ubun, Ryo sekurang-kurangnya tahu bahawa adiknya tidak dicederakan kerana tidak terdapat sebarang kesan berupa cairan biologi yang berjaya ditemuinya disekitar tempat kejadian tersebut.

Tepat ketika Ryo menghidupkan enjin kereta setelah meletakkan beg plastik lutsinar tersebut dengan cermat,telefon bimbitnya berdering.Satu panggilan telefon yang tidak mempunyai identiti pemanggil dan serta-merta Ryo hampir pasti panggilan tersebut dibuat menggunakan telefon bimbit pakai buang.

Ryo menggeser ikon telefon berwarna hijau dipermukaan telefon bimbitnya selepas membuka aplikasi untuk merakam seluruh perbualan tersebut.

"Kau cederakan Veei,aku akan pastikan kau dapat balasan yang setimpal !!"

" Hebat Leftenan Ryo." satu suara menyahut dihujung talian sana "Memang seorang anggota keselamatan yang sangat berbakat."

" Berhenti berbasa-basi dengan aku! Adik aku mana?"

" Dia selamat buat masa ini." suara tersebut kedengaran tertawa terkekeh-kekeh membuatkan darah Ryo semakin mendidih.

" Lepaskan dia atau aku akan.."

" Itu akibatnya jika tahu terlalu banyak perkara yang tidak sepatutnya Leftenan Ryo !!"

" Bangsat !! Lepaskan adik aku !!"

" Boleh.Tapi sudah tentu bukan dengan percuma."

Ryo menahan nafasnya dan mengetap bibir.Berhadapan dengan ugutan penjenayah seperti itu sebelum ini tidak pernah membuatkan dia gementar sebegitu rupa namun jika melibatkan Veei,satu-satunya adik dan keluarga yang dia ada-rasa gementar dan takutnya bercampur aduk sehingga fikirannya terasa kosong buat seketika dan dia terpaksa mengutip semula kewarasan fikirannya yang sempat bertaburan sebentar tadi.

" Kau nak apa?" Ryo mengepal penumbuknya dengan wajah merah padam menahan marah.

" Bawakan Ara kepada aku.Aku peringatkan jangan cuba untuk bertindak seperti hero kalau kau masih mahu adik kau selamat "

" Bangsat !! Tak guna !!"

" Aku berikan tempoh 2 hari dari sekarang.Tempat dan masa aku akan beritahu kemudian."

Baru sahaja Ryo hendak memaki lelaki tersebut ,panggilan sudah diputuskan dari hujung sana meninggalkan bunyi berdengung yang panjang mengakibatkan Ryo tanpa sedar menghentam penumbuknya ke arah stering kereta dengan penuh kemarahan.

" Jahanam !!!"

+            +            +

LAST HUNTER II : VARTRADove le storie prendono vita. Scoprilo ora