Dan entah dari mana, tubuh berpakaian hitam dengan jaket labuh yang berkibar ditiup angin tadi kelihatan lagi di dalam skrin bagaikan seekor kelawar raksasa yang mendarat tegap diatas kedua-dua kakinya.

Jelas dalam penglihatan Ryo susuk tubuh tersebut tunduk seketika ke arah lelaki yang terlentang menggeletik seperti cacing kepanasan itu dan tanpa teragak-agak sedikit pun susuk tubuh itu menghunus pedangnya dan kemudian melibas leher lelaki itu sepenuh tenaga dan Ryo benar-benar hendak terjerit melihatnya.

Ryo mundar-mandir mengurut pelipisnya dan kepalanya mendadak pening dengan adegan yang baru dilihatnya itu.Ternyata rasa sangsinya tentang kes yang dikategorikan sebagai kes rompakan itu memang tepat dan demi memikirkan bagaimana kes itu seperti ditutupi daripada pengetahuan orang ramai,satu demi satu perkataan Ara kembali kedengaran  dalam telinganya dan ia semakin membuatkan Ryo yakin Ara tidak berbohong kepadanya tentang hal tersebut.

Ara.Hanya dia yang mempunyai jawapan kepada segala persoalan yang menyerang benak Ryo serentak ketika itu !

+              +              +

Sudah beberapa hari Ara merasakan sesuatu yang buruk bakal berlaku bagaikan dikuatkan oleh pintasan naluri yang samar dan tumpul.Walaupun dia cuba untuk tidak mengendahkan rasa gusar yang mulai bersarang di dalam hatinya,tetap sahaja dia merasa tidak sedap hati.

Termasuk hari ini, sudah hampir tiga hari dia melihat ada sebuah kenderaan SUV berwarna hitam dengan cermin gelap yang dipakir diseberang jalan atau lebih tepatnya dikawasan lot meletak kenderaan di hadapan bangunan setinggi dua tingkat yang menempatkan lot kedai dan klinik.

Hendak dikatakan kenderaan tersebut rosak, rasanya Ara pernah melihat seorang lelaki keluar dari kereta tersebut namun jika ingin dikatakan kenderaan tersebut kepunyaan salah seorang daripada pekerja di situ,hairan pula mengapa kenderaan tersebut tidak bergerak dan kekal di tempat yang sama selama beberapa hari.

Dan yang paling mengganggu Ara adalah setiap hari pasti dia dapat menghidu bau khas Bangsa Athos begitu berhampiran dengannya walaupun ketika ruangan hadapan restoren kecil di mana dia bekerja sedang lengang dan hanya ada dia dan sang pemilik restoren di situ menandakan keberadaan bangsa tersebut di sekitarnya malahan dalam jumlah yang bukan sekadar seorang dua.

Bermula dengan kejadian dimana Darius menolaknya tempoh hari,segala yang berlaku dengan ditambah pula  bau Bangsa Athos yang begitu dekat membuatkan Ara sangat yakin bahawa dia sedang diperhatikan !

Jika bukan Bangsa Athos, di mana saja Ara berada dapat dia merasakan ada sahaja pasang mata yang memerhatikannya dengan senyap-senyap. Jelas ia adalah daripada kalangan manusia biasa yang dikenali Ara melalui bau khas seperti minyak zaitun yang pekat dan kenyataan bahawa dia langsung tidak dapat membezakan mana satu dalam kalangan mereka yang berniat tidak baik kepadanya benar-benar menyebabkan Ara semakin tidak keruan.

Dan yang paling menyakitkan hati Ara adalah dia tahu bahawa hampir tidak ada sesiapa yang boleh dipercayainya ketika ini.

Mendengar bunyi tapak kaki di belakangnya,Ara tidak melebarkan langkah dan sedaya upaya untuk berlagak seperti dia tidak mengetahui bahawa dia sedang dia ekori secara senyap-senyap.Menghadapi Bangsa Athos ataupun sekutu mereka dari kalangan bangsa manusia Ara yakin sedikit mudah.

Sebelum ini sahaja dia sudah berkali-kali diancam dengan pelbagai konspirasi dan cubaan untuk membunuhnya.Dimatai-matai,diracuni dan diculik.Namakan apa sahaja, semuanya sudah Ara alami namun disebalik semuanya Ara menyedari sesuatu.

Berada didalam dunia dimana dia bersendirian tanpa ada sesiapa yang boleh dipercayai,bukan kekuatan yang diperlukan melainkan kebolehan untuk beradaptasi dan memanipulasikan keadaan agar berpihak kepadanya.

Sekurang-kurangnya itulah yang dipelajari Ara daripada kelicikan Tetua Myn yang menjadi akar umbi kepada segala kejahatan terancang dan onar di dunia sebelah itu.

Walaupun ada gesaan jauh di dalam hatinya agar dia segera berpaling dan menghadapi susuk tubuh dalam kegelapan yang mengekorinya,namun Ara menguatkan tekad dan rancangan yang sejak awal lagi memang sudah jelas dirangkanya sebaik sahaja mengetahui dia menjadi buruan ramai pihak.

Menyembunyikan diri belum tentu menyelesaikan masalah.Menghadapi mereka secara terang-terangan juga sedikit mustahil kerana yang dihadapi Ara bukan sekadar Bangsa Athos tetapi juga bangsa manusia sendiri dan urusan akan bertukar lebih berat jika ia melibatkan pasukan keselamatan pula.

Maka dilayani sahaja keadaan tersebut dan membuatkan sesiapa sahaja yang mengekori serta memata-matainya itu agar beranggapan Ara masih tidak tahu apa-apa .Ara hanya akan bertindak dalam keadaan yang perlu dan apabila masanya sudah sampai !

Tiba di hujung selekoh akhir sebelum sampai ke perhentian bas, tiba-tiba sahaja satu lengan yang cukup tegap merengkuh bahu Ara dari sebalik bayang-bayang gelap sebatang pohon yang besar dan ada telapak tangan yang lebar memekup mulutnya menggunakan sehelai kain yang baunya menyengat aneh dan hampir serta-merta membuatkan penglihatan Ara menjadi gelap.

+             +             +

LAST HUNTER II : VARTRADove le storie prendono vita. Scoprilo ora