Walaupun keriut pintu sedikit kuat bunyi sayup-sayup radio yang mengalunkan lagu entah apa-apa itu menenggelamkan suaranya mengucapkan selamat petang.

Ruang sempit itu pengap dan terasa berhabuk dengan lampu menyala suram di atas siling.Kipas angin berpusing-pusing mengeluarkan bunyi berkeriut yang membuatkan telinganya sakit.Sebuah white board yang berconteng karut-marut dengan beberapa keping foto yang terlekat tidak teratur.Rak-rak berhabuk dan hanya terdapat dua buah meja di ruangan tersebut.Melalui dinding kaca di tengah bilik, dapat dilihatnya sebuah meja tidak berpenghuni berada disitu.

Ucapan selamat petang kali kedua masih tidak berjawab.Seorang lelaki tidur dengan mulut terbuka sambil memangku tangannya diatas perut.Dengan hanya berstoking,kakinya terlunjur di atas meja malah kedengaran berdengkur kecil.

Sementara itu yang seorang lagi wajahnya seakan tenggelam di dalam skrin komputer.Bunyi tembak menembak dari permainan komputer saling bertingkah dengan suara dengkuran lelaki yang satu lagi.

" Selamat petang " Dia sengaja mengeraskan suara dan mengetuk pintu kuat-kuat.

Lelaki di hadapan komputer terlonjak berdiri dan menatapnya dengan mata terbuntang.Dengan pantas dia berganjak ke meja sebelah dan menepuk bahu lelaki yang sedang tertidur itu dengan kasar dan dalam separuh mamai lelaki itu berdiri menanggalkan bantal pada lehernya.

Terkebil-kebil menatap susuk tubuh tinggi lampai di hadapannya itu yang lengkap berpakaian seragam rasmi pasukan mengepit sebuah kotak.Tubuh berbahu tegap lelaki itu kemas dalam balutan pakaian seragam yang bersih dan tiga butir bintang diatas bahunya segera membuatkan kedua-dua lelaki di dalam bilik itu berdiri tegak menelan ludah masing-masing.

" Ssselllammatttt petangg, Tuan.."

Lintang-pukang lelaki yang lebih berusia memberikan tabik hormat dan tekaknya kering mendadak melihat kasut hitam yang menyarung kaki lelaki itu berkilat sedangkan dia hanya menyarung stoking yang kelabu berlubang pada hujung kuku ibu jari kanannya dan selipar getah hitam tergeletak berhampiran kaki meja.

" Selamat petang.."

Wajah lelaki muda berpangkat leftenan itu menjawab sambil mencerunkan pandangannya kepada dua anggota berpangkat rendah itu.

" Saya Left.Ryo.Mulai hari ini,saya ditugaskan di unit ini.."

Tergesa-gesa lelaki tersebut meraih kotak di tangan pegawai muda itu dan seorang lagi membukakan pintu.

" Silakan, Tuan.."

Ryo mengekori dua anggota bawahannya sambil menatap seluruh ruangan tersebut.Rak di dalam pejabat yang menempatkan biliknya itu kelihatan sendat dengan fail-fail yang lusuh dan berbau hapak.

Manakala di tepi rak pula bertimbun fail lain yang disusun tidak kemas hampir melebihi tingginya sendiri.Sementara sebuah papan putih berkaki berdiri di tepi dinding, melintang semberono.

Pendek kata ringkas bicara-bilik yang menempatkan unit Teknikal  6 itu lebih mirip gudang terbiar tempat tikus beranak-pinak berbanding sebuah pejabat kerajaan.

" Saya Lexi." Yang lebih muda menghulur tangan dengan kekok dan segaris senyum yang jelas kaku dibuat-buat."Tuan boleh panggil saya Lex."

" Saya Bane, Tuan."

Ryo tidak tahu hendak mengatakan apa dengan kejadian yang mendadak begitu apatah lagi melihat penampilan dua anggota bawahannya ketika itu.

Yang seorang hanya berstoking.Yang seorang pula sekadar mengenakan T-shirt putih dengan seluar seragam hitam yang bergulung hingga ke paras lutut seperti takut kebanjiran.Sedikit pun tidak menghampiri standard berpakaian seragam pasukan malah lebih mirip kelasi yang sudah berbulan-bulan  tersadai di sebuah pulau di tengah laut.

Sepeninggalan Lex dan Bane, Ryo berlegar-legar di sekeliling ruangan pejabatnya.Mati kutu dengan keadaan bilik tersebut.Pengap.Suram dan berhabuk bagaikan gudang terbengkalai malah di sudut rak di belakangnya kelihatan selirat sawang yang jelas.Sudah beberapa kali hidungnya gatal dan hampir benar dia bersin.

Ryo menggeleng kepalanya seraya mendengus.Dia tidak berada selama sembilan bulan di akademi, di bantai siang malam oleh jurulatih dan menamatkan latihan sebagai pelatih terbaik yang cemerlang dalam silibus menembak, latihan ketahanan fizikal dan undang-undang untuk berada di dalam bilik yang kusam dan berhabuk begitu.Tidak.Dia tidak terima sama sekali !

" Lex.." Serunya menguak pintu mengakibatkan dua anggota yang saling berbisik-bisik itu sepantas kilat berdiri tegak." Berikan saya fail kes terbaru yang di bawa ke sini !"

Lex dan Bane saling bertukar pandang.Terkejut dengan kemunculan tiba-tiba leftenan itu tetapi jauh dari itu, kesalahan apa yang dilakukan si pegawai muda sehingga ' dihumban' ke unit tersebut?

Ryo menanggalkan pakaian seragam luarnya dan menyangkutkan ke dinding menyisakan kemeja putih berkolar dan menyinsingkan lengannya sambil melabuhkan punggung.

Biar.Campak sahaja ke mana-mana tetapi ia tidak akan mematahkan semangat Ryo untuk menyelidiki perkara tidak beres tentang pertukaran mengejut seluruh Team Alfa itu.Akan di koreknya hal itu sehingga ke lubang cacing.

Tunggulah !

+ + +

LAST HUNTER II : VARTRAWhere stories live. Discover now