"Bagus! Macam inilah yang aku nak daripada kau! Luahkan apa yang terpendam dalam hati kau! Menangislah kalau kau rasa kau perlu. Kalau kau rasa untuk tumbuk aku tu mampu buang rasa sedih kat hati kau, tumbuklah aku 1000 kali pun Izzat! Tumbuklah!" ucap Megat Azizan sambil menadah wajahnya. Izzat terus melepaskan pegangan kolernya, lalu ketika dia mahu melangkah keluar dari bilik itu.

"Pembunuh kakak kau masih kat luar sana. Dia memang buat macam ni untuk bagi kau lemah. Aku yakin, sasaran dia bukan kau Izzat! Tapi orang lain! Cuma, kita berlapan ni sahajalah orang yang tetap gigih melawan dia dan menyiasat apa yang dia tengah buat!" Suara Megat Azizan menjerit dari belakang membuatkan Izzat berhenti untuk beberapa ketika sebelum dia terus melangkah.

"Jangan ikut aku... aku nak jalan-jalan. Malam nanti aku balik masa kau orang nak buat BBQ tu," tutur Izzat lalu melangkah meninggalkan bilik dan perkarangan resort itu. Kamarul dan Ikmal terus menoleh ke arah Megat Azizan yang masih lagi bersandar pada dinding biliknya.

"Tak nak kejar dia?" soal Kamarul.

"Biarkan dia..." kata Megat Azizan lalu menghempaskan pintu dihadapan batang hidung dua sahabatnya itu.

Izzat terus melangkah lalu keluar dari bilik itu, lalu menuju ke arah jalan tar yang terbentang panjang. Dia membawa dirinya berjalan meninggalkan resort itu, menyusurui jalan yang hanya di apit oleh hutan dalam tempoh waktu yang dia sendiri tidak sedar bergulir dengan sangat pantas. Sedar-sedar sahaja, dia sedang berdiri di hadapan sebuah ladang teh yang terbentang luas disebelah jalannya. Langit disekitarnya sudah mula gelap. Aneh, betapa masa jadi terlalu relatif pantasnya untuk orang yang baru kehilangan seperti dirinya.

"Aku... kasar sangat ke dengan Jiji tadi?" gumam Izzat sendirian lalu mengambil keputusan untuk duduk digigi jalanraya, sambil melontarkan pandangan ke arah sisa-sisa matahari di hujung ladang teh. Semakin lama dia duduk disitu, semakin tinggi perasaan bersalahnya. Sepatutnya dia sudah tiba di resort, bersama-sama dengan rakan-rakannya yang begitu bersusah-payah menyiapkan BBQ di resort mewah itu semata-mata untuk menceriakan dirinya. Lantas, Izzat kembali berdiri, meneruskan langkah kakinya menuju ke resort yang dituju.

Sebenarnya dia terlalu jauh berjalan sehinggakan untuk kembali ke resort itupun memakan masa sehingga 15 minit lamanya. Akhirnya, ketika dia sedang menghampiri kawasan resortnya, betapa bau asap dari ayam, kambing dan daging yang sedang dibakar sedang menusuk hidung Izzat. Terus dia mengukirkan senyumannya, yang dia sendiri paksa terukir pada wajahnya. Rakan-rakannya yang lain tidak layak untuk dihukum di atas apa yang berlaku pada Kaira.

Sampai sahaja dia dihadapan rumah kayu yang dijadikan lokasi untuk sesi BBQ mereka pada malam itu, perasaan pelik mula menyelinap masuk ke dalam hatinya. Suasana di sekitar resort itu agak sunyi. Lampu dari kedua-dua rumah kayu yang berjiran antara satu sama lain tertutup. Tiada perbualan rancak yang biasanya datang daripada rakan-rakannya yang lain. Yang ada hanyalah kesunyian yang datang dengan bau sedap yang tersebar dari asap yang datang dari tempat pemanggang.

Dengan hati yang terselit seribu pertanyaan, Izzat memanjat tangga kayu yang membawa kepada perkarangan rumah. Jantungnya berhenti untuk beberapa sejenak apabila melihat wajah Kamarul sedang tersembang pada tempat pemanggang. Tubuhnya sedang terlutut sambil tangannya longlai layu di udara. Izzat terus mendapatkan tubuh Kamarul, menolak ke tepi sebelum tangannya terlepas tubuh Kamarul. Seluruh wajah Kamarul melecur manakala terdapat sebilah pisau terbenam di lehernya. Patutlah ada kesan darah yang membentuk lopak di bawah tubuhnya tadi.

Apa lagi, terus Izzat mencapai telefon bimbit di dalam seluar jeansnya, dan dia terus menyerbu ke dalam rumah kayu di belakangnya. Keadaan gelap gelita di dalamnya menjadi sedikit terang, terima kasih kepada lampu yang datang daripada telefon bimbit Izzat. Dia terus melangkah sebelum menjumpai tubuh Emmy dan Adilla sedang saling berpelukan. Kelihatan dua bilah kapak sedang terbenam di belakang tubuh mereka.

Menggunung (Completed)Hikayelerin yaşadığı yer. Şimdi keşfedin