"Kau kenal siapa si lelaki bernama Jarang ini? Apa kaitan dia dengan anak perempuan aku?"

Megat Azizan terdiam, namun anak matanya sempat menangkap gelengan kecil daripada gadis yang seiras Sofea itu. Mungkin ada rahsia antara lelaki bernama Megat Teruna, lelaki yang sedang dijadikan tempat dia menumpang untuk mengetahui apa sebenarnya terjadi 500 tahun yang lalu pada Menggunung.

"Teruna... aku nak kau kumpulkan seluruh orang kampung... kita akan buru lelaki bernama Jarang ini dan anak perempuan aku Najirah!" arah Orang Kaya Perkasa dengan suara yang memetir diseluruh ruang tamu rumah kayu itu.

Buat kali ketiga, latar disekitar Megat Azizan terus berubah. Kali ini, dia sedang berada pada waktu malam sambil bertemankan obor api. Gadis yang wajahnya seiras Sofea sedang memegang lengannya, meredah kegelapan malam dan hutan tebal. Untuk seketika, langkah kaki Megat Azizan terhenti. Beza gadis yang sedang memegang lengannya adalah wajahnya tidak mempunyai parut kebakaran berbanding Sofea yang dikenalinya.

"Kenapa berhenti bang Teruna? Ada sesuatu pada wajah Melatikah?" soal gadis yang menyerupai Sofea itu.

"Tidak... tidak ada apa. Ke mana Melati mahu bawa abang ni?"

"Jumpa kak Jierah dengan abang Arang," tuturnya. Sekali lagi, Megat Azizan terkejut mendengarkan perkhabaran itu. Dia berhenti lagi.

"Abang tak sihat?"

"Tidak... abang baik-baik sahaja," jawab Megat Azizan sambil tersenyum. Selepas itu, mereka berdua meredah hutan tebal sebelum mereka menjejakkan kaki di tengah-tengah kawasan lapang, yang entah bagaimana boleh wujud di tengah belantara itu. Bersama dengan mereka, kelihatan Najirah bersama dengan seorang lelaki tidak berbaju, tetapi sekadar berseluar bersama dengan dua bilah kapak yang sedanng terikat ditepi pinggangnya. Agar sukar juga untuk Melati yang lengkap berbaju kurung itu untuk meredah hutan bersama dengan Megat Azizan.

"Terima kasih Melati sebab bawakan abang Teruna untuk kakak," ucap Najirah lalu memeluk erat tubuh Melati.

"Kau... anak orang asli Menggunung?"

"Menggunung? Oh, kami orang asli tak panggil tempat ini Menggunung. Kami panggil tempat ini Gunongan," balas lelaki tadi sambil menghulurkan tapak tangannya, mahu bersalaman dengan Megat Azizan. Namun, Megat Azizan tidak membalas huluran tangan itu sebaliknya merenung tubuh lelaki yang bernama Jarang dari atas ke bawah. Orangnya berkulit sawo matang. Wajahnya agak tampan. Tubuhnya berotot dan sasa. Tidak hairan kalau Najirah boleh jatuh cinta dengannya.

"Saya dengan Jarang nak pergi jauh dari sini. Mungkin ke Rajawali. Ada kota baru yang sedang berdiri di sana. Tidak jauh pun dari Menggunung. Saya yang suruh kak Melati bawakan abang Teruna sebab saya nak ucap terima kasih atas jasa baik abang pada Najirah selama 3 tahun kita kenal. Terima kasih juga sebab abang Teruna kenalkan Najirah dengan Jarang," ucap Najirah lalu terus memeluk erat batang tubuh Megat Azizan.

Serentak itu, entah dari mana, ketika Najirah sedang erat memeluk tubuh Megat Teruna, tiba-tiba dari segenap arah, muncul kumpulan manusia membawa obor api sambil menyuluh ke arah mereka. Kelihatan Orang Kaya Perkasa muncul bersama dengan konco-konconya yang membawa pelbagai senjata seperti parang, keris malah ada yang membawa senjata api lama seperti Istinggar, mengacu tepat ke arah mereka berempat.

"Ayah..." gumam Najirah meleraikan pegangannya manakala Jarang sudah mencabut dua bilah kapak yang tergantung disebelah pinggangnya.

"Pakcik..." gumam Melati pula yang spontan menyambar pergelangan tangan Megat Azizan.

Menggunung (Completed)Where stories live. Discover now