Bab 5: Bunga Kemboja

ابدأ من البداية
                                    

"Ya... kita nak cari Pontianak tu. Urban legend mengatakan bahawa sepanjang jalan lama yang menghubungkan Menggunung dengan Gombak di Selangor dihantui oleh Pontianak tu. Jadi, selain daripada kita jejak ke tempat yang dikatakan diaorang temui mayat lelaki tu, dan kalau tak jumpa apa-apa, kita kena berjalan jauh sikit kat Jalan Lama Menggunung," tutur Kamarul dibelakang.

"Wow. Kau dah siap buat analisis macam mana nak carik cik ponti tu?" soal Megat Azizan.

"Bukan itu sahaja. Aku siap bawa beberapa botol minyak wangi ni," gumam Kamarul sambil menyelongkar beg galasnya.

"Dalam tu ada minyak wangi. Kelemahan makhluk terkutuk ni adalah bau wangi-wangian. Sebab tu sunnah nabi suruh kita pakai wangi-wangian. Syaitan sangat benci dengan bau wangi ni," tutur Kamarul sambil menyerahkan satu-persatu minyak atar daripada beg galasnya.

"Siapa sini sudi pakukan leher dia?" soal Kamarul lagi membuatkan Najirah menoleh belakang tidak percaya.

"Kau ni gila khurafat kau!" tutur Najirah bengang.

"Sebenarnya paku tak dapat nak tukarkan dia jadi manusia pun. Itu mitos sebab hakikatnya paku yang dipakukan pada leher makhluk tu mampu membunuh Pontianak," tutur Kamarul sambil menunjukkan beberapa pakej paku dalam sebuah plastik sebelum mencampakannya pada Izzat dan Megat Azizan.

"Mana... mana kau tahu semua benda ni?" soal Megat Azizan.

"Buku ni... Kitab Alam Mistik... aku jumpa kat Perpustakaan Daerah Menggunung tahun lepas. Aku dah khatam semua isi buku ni... aku rasa yang aku boleh mencuba untuk kali ni semua ilmu yang aku belajar," tutur Kamarul sambil mencampakkan sebuah buku lusuh yang setebal tapak tangan manusia di atas peha Megat Azizan.

"Tak ada tajuk pun..." ulas Megat Azizan yang melihatkan bahagian hadapan buku itu kosong, sekadar berwarna coklat yang hampir lusuh kulitnya.

"Oh aku yang bagi nama untuk buku tu sendiri. Buku Tak Berjudul macam tak best," sambung Kamarul.

"Kalau kau nak, ambil lah. Aku dah hafal setiap satu daripada halaman buku tu," tutur Kamarul. Apa lagi, terus sahaja Megat Azizan mencampakkan buku tadi ke atas peha Kamarul sambil tubuhnya menggeletar aneh.

"Kau ni menyeramkan," ulas Megat Azizan.

"Boleh aku tengok buku tu?" pinta Izzat.

Kamarul sekadar menyerahkan buku itu kepada Izzat. Terus sahaja Izzat menyelak satu persatu setiap halaman buku tersebut.

"Tulisan jawi lama..." gumam Izzat.

"Kau boleh baca jawi lama?" soal Megat Azizan.

"Yup," balas Izzat, pendek.

Setiap halaman buku usang itu dipenuhi oleh tulisan jawi yang berjela-jela sambil disertakan oleh illustrasi aneh. Setiap halaman bercakap tentang makhluk dari alam lain yang berbeza. Penjelasan yang disertakan tentang mereka sangatlah teliti, daripada sejarah, etimologi nama mereka, bahkan kelemahan dan kekuatan makhluk yang menghuni alam mistik. Bahkan, terdapat juga setiap halaman yang membincangkan tentang pelbagai jenis ilmu hitam.

"Kita dah sampai," ucap Najirah sambil menghentikan keretanya ditepi sebuah jalan yang diapit oleh hutan tebal yang tinggi melangit. Kelihatan pita kuning yang sudah dalam keadaan lusuh terikat antara beberapa pokok yang bermukim ditepi jalan raya.

Masing-masing mula melangkah keluar dari kereta. Enjin pun sudah dimatikan. Masing-masing bertemankan lampu suluh daripada telefon bimbit masing-masing. Izzat kelihatan mendahului mereka manakala Najirah kelihatan takut-takut sambil memegang lengan baju Megat Azizan yang wajahnya, entah kenapa kelihatan pucat.

"Boleh tahan gelap hutan Menggunung masa waktu malam macam ni," gumam Izzat sambil menyuluh ke sekitarnya. Adakalanya lampu suluh itu tersuluh pada dahan pokok membuatkan Megat Azizan membebel dibelakang manakala Najirah terus menyembunyikan wajahnya disebalik lengan Megat Azizan.

"Izzat..." panggil Kamarul dari belakang.

"Ya?" soal Izzat sambil menoleh belakang.

"Hutan Menggunung ni kalau malam-malam ada bunyi cengkerik. Tapi malam ni, tak ada bunyi apa-apa pun," tutur Kamarul dari belakang.

"Jadi?" soal Izzat.

"Ada benda tak baik berlaku dalam hutan ni," balas Kamarul.

"Mulut kau boleh jaga tak? Jangan celopar! Kita kat tengah-tengah hutan ni!" Najirah tidak puas hati namun Kamarul tidak mengendahkannya.

"Kau nampak apa aku nampak?" soal Izzat sambil menghentikan langkah kakinya. Telefon bimbit sedang menyuluh tanah di bawah sebatang pokok dimana pita kuning polis yang sedang terkulai di atas tanah masih terikat padanya.

"ALLAH! Kau... kau nampak apa.... kau nampak apa..." ucap Megat Azizan dari belakang.

"Tumpang lengan. Tumpang lengan!" tutur Najirah yang nada suaranya jelas mengambarkan seribu ketakutan sedang bersarang dalam jiwanya. Mungkin sebab itu habis lengan Megat Azizan menjadi mangsa sembaman mukanya manakala tapak tangan Megat Azizan erat digengam sehingga kemerah-merahan.

"Bunga... kemboja?" tutur Kamarul. Terus jejaka itu melangkah ke arah taburan bunga kemboja di bawah pokok tadi, mengutip beberapa helai bunga, menghidunya sebelum mendongak memandang pokok yang sedang memayunginya.

"Ini bukan pokok kemboja..." tutur Kamarul.

Serentak itu, kedengaran bunyi hilaian dan tawa bergema dari kejauhan membuatkan Kamarul serentak berdiri. Izzat turut berpaling pada sumber bunyi hilaian tawa itu sebelum tersenyum seorang diri memandang Kamarul.

"Benda tu dah dekat..." kata Kamarul.

"Maksud kau?" soal Izzat.

"Kalau kau dengar bunyi hilaian tawa Pontianak jauh, maksudnya dia dekat. Kalau kau dengar dia dekat, sebenarnya dia jauh," jelas Kamarul. Tidak semena-mena, Megat Azizan tiba-tiba melaungkan azan sekuat hatinya membuatkan Izzat dan Kamarul berkongsi pandangan. 

Menggunung (Completed)حيث تعيش القصص. اكتشف الآن