Bab 1: Menggunung

Start from the beginning
                                    


Selamat Datang Ke Menggunung

Populasi: 10, 375 orang


"Menggunung tak macam Eurasia... sana ada macam-macam. Sini sekadar sebuah pekan yang sumber utama ekonomi dia ialah aktiviti pembalakan. Jadi, Pak Ngah harap kamu boleh biasakan diri dengan pekan ni. Sunyi sikit tu biasalah sebab bila dah 10 malam, pekan ni akan tidur sekali," tutur Pak Ngah lagi ketika sedang memandu.


Terdapat banyak rumah kedai yang sedang berdiri di kiri dan kanan kereta Proton Wira yang sedang memasuki pekan itu. Mereka masih belum memasuki kawasan perumahan. Sepertinya, Pak Ngah tidak terus membawa Izzat untuk ke rumahnya, sebaliknya melencong ke sebuah stesen minyak. Mungkin ada beberapa lawatan yang harus dilakukan untuk Izzat mengenali  Menggunung sebelum pekan yang terletak agak dipendalaman itu menjadi rumah keduanya.


"Pak Ngah nak isi minyak dulu..." tutur Pak Ngah sambil melangkah keluar dari keretanya, meninggalkan Izzat seorang diri di dalam kereta. Sempat lagi Pak Ngah mematikan enjin keretanya. Kelihatan seorang lelaki Bangladesh sedang menghampiri Pak Ngah sambil tersenyum lebar.


"Ismail... mau isi minyak ka?" tutur Bangladesh tadi dengan sangat ramahnya, seperti sudah mengenali Pak Ngah dalam satu tempoh yang agak lama.


"Saya ambil anak saudara saya. Dia akan tinggal dengan saya," balas Pak Ngah. Lelaki Bangladesh tadi menjenguk, mengintai Izzat yang sedang berada dalam kereta.


"Itu yang kamu cerita mak ayah dia..."


"Ya baia," jawab Pak Ngah, memintas pekerja stesen minyak berbangsa Bangladesh itu.


"Hensem... hensem. Ada sama rupa macam kamu!" tuturnya.


"Macam biasa tau baia... RM 30," tambah Pak Ngah lagi.


Stesen minyak tadi kelihatan kecil, dan mungkin ia satu-satunya stesen minyak yang terdapat dalam pekan itu. Pada pengamatan awal Izzat, pekan Menggunung adalah sebuah pekan yang agak kecil. Setakat ini, pandangan matanya hanya menjamah rumah kedai yang berbaris panjang yang terdapat pelbagai kedai-kedai yang langsung tidak dapat menangkap langsung perhatian Izzat. Selain dari kedai makan yang menyediakan juadah yang pelbagai, terdapat juga beberapa buah bengkel, kedai runcit Seven Eleven, dan juga kedai buku. Majoriti penduduk Menggunung ialah terdiri dari kaum Melayu atau Cina. Setakat ini tidak pula dia melihat penghuni Menggunung yang berbangsa India.


"Kita sekarang kat Dagang Gunung. Tengah-tengah pekan. Kalau Izzat nak cari barang apa-apa bolehlah ke sini," tutur Pak Ngah sambil menghidupkan enjin. Izzat sekadar mengangguk manakala enjin kereta terus dihidupkan, lalu terus meluncur laju meninggalkan stesen minyak.


"Sini... tak ada mall ke?" soal Izzat.


"Mall? Ada Tesco jer. Pak Ngah tak rasa kamu nak ke sana pun," kata Pak Ngah menjawab soalan Izzat.


Adalah dalam 5 minit membelah pekan yang kelihatan lenggang pada petang itu, kereta Proton Wira Pak Ngah berhenti di hadapan sebuah sekolah yang kelihatan sangat baru dan mewah. Tingginya dalam tiga tingkat. Terdapat beberapa buah blok yang tersergam indah dari kejauhan. Tembok batu setinggi 2 meter mengelilingi kawasan sekolah itu. Dihadapan pintu masuknya pula, terdapat sebuah papan tanda yang tergantung menuliskan sesuatu.


Sekolah Menengah Kebangsaan Adrujha

Disini Bercambahnya Sebuah Peradaban...


"Saya suka motto sekolah ni," gumam Izzat.


"Lepas ni... kamu akan bersekolah dekat sini. Maaflah kalau tak secantik sekolah lama kamu... tapi cukuplah untuk kamu belajar kat sini. Lagipun banyak orang-orang hebat lahir dari Adrujha," tutur Pak Ngah. Sebenarnya, sekolah yang didabik sebagai tidak secantik sekolah lamanya adalah sebaliknya. Sepertinya, SMK Adrujha seperti sekolah elit, yang entah bagaimana boleh tersesat di situ.


Lokasinya agak terasing membuatkan untuk sampai ke sana, mereka terpaksa melalui jalan raya yang sekadar diapit padang rumput yang luas sebelum barulah mereka bertemu dengan sekolah yang dimaksudkan. Ketika Pak Ngah sedang meninggalkan sekolah tersebut, anak mata Izzat dapat menangkap kelibat beberapa buah padang dan juga sebuah kantin. Tidak lupa juga sebuah dewan yang agak besar yang pada perkiraan Izzat adalah untuk apa-apa upacara seperti perhimpunan.


"Kita nak ke rumah Pak Ngah?"


"Tak... Pak Ngah nak singgah kat tempat kerja Pak Ngah sekejap," kata Pak Ngah lagi. Kereta Proton Wira yang sudah mengembara lebih 200 Kilometer dari Eurasia untuk ke Menggunung itu terpaksa bekerja lebih masa.


"Lagipun tak jauh pun dari balai polis Pak Ngah," ucap Pak Ngah lagi. Benarlah seperti yang dituturkan, tidak sampai 2 kilometer daripada SMK Adrujha, mereka sampai di hadapan sebuah bangunan empat tingkat, yang dipuncaknya tertulis "Ibu Pejabat Polis Daerah Menggunung."


"Sekarang ni banyak kes pelik berlaku kat Menggunung. Waktu cuti pun nak kena ke balai. Pak Ngah nak setelkan dua tiga benda sekejap, lepas tu kita terus ke rumah Pak Ngah ya?" pinta Pak Ngah ketika kereta mereka berada di dihadapan Balai Polis Menggunung. 

Menggunung (Completed)Where stories live. Discover now