Bahagian V: Si Pendengar

309 10 2
                                    

Kau pernah lihat dalam filem yang memaparkan si pendosa yang singgah ke confession (juga dikenali sebagai Reconciliation) box di gereja dan mengakui dosa-dosa dilakukan, yang didengari oleh paderi? Aku seperti itu. Bezanya aku bukan paderi, ataupun beragama Kristian.

Sebenarnya aku nak berkongsi pengakuan-pengakuan aku pernah dengar. Mana tahu kau boleh jadikan iktibar. Atau kau boleh bantu aku.

Pengakuan i:

Perempuan ini datang mendengus kepadaku. Tindak-tanduknya menampakkan dia dalam keadaan tertekan. Duduk menghempas ke kerusi, sambil kepalanya diurut sekali-sekala.

'Hei'

Dia mulakan bicara, cuba senyum. Aku merenungnya. Cantik, umur mungkin dalam lingkungan pertengahan 20an.

'Aku buat lagi sekali. Bodohnya aku.'

Kasihan. Ini adalah kali ke-5 dia menggugurkan kandungan. Lelaki keji yang menyebabkan dia hamil adalah sugar daddy yang membelanya sejak 6 tahun lepas.

'Aku dah tak nak hidup macam ni. Dah la kena pukul selalu, aku tak dilayan macam orang. Bila nak, dipujuk rayu. Dah puas, dicampak ke tepi.'

Si perempuan ingin memulakan hidup baru, tapi lelaki ini mempunyai pengaruh yang kuat, baik daripada wang mahupun kuasa politik. Ke mana pun si perempuan pergi, pasti boleh dijejaki.

'Aku nak tamatkan dia. Aku dah tiada ikhtiar lagi.'

Wah, aku cuba protes. Membunuh bukan cara yang betul. Baru aku nak bersuara dia menggosok kepalaku. Ah, selesa.

'Aku tahu dia alergik terhadap kacang. Aku akan letak senyap-senyap dalam sos hot wings kegemarannya. Harapnya dia mampus dan tak bangun terus.'

Dia menunjukkan paket kacang yang telah ditumbuk. Dari matanya yang berkaca-kaca, aku tahu dia nekad dan bersedia untuk semuanya.

'Terima kasih kerana mendengar. Aku nak pergi. Nah, aku bawakan dada ayam kegemaranmu.'

Aku cuba mengejarnya, aku tak sanggup biarkan dia teruskan. Namun laju langkahnya pergi. Aku terdiam. Dada ayam pemberiannya aku cuit sedikit sahaja.

Dua hari selepas itu, aku terdengar orang ramai bergosip tentang ahli politik mati mengejut sewaktu makan. Aku tahu misinya berjaya. Dan aku dapat tahu perempuan itu ditahan polis atas tuduhan membunuh.

'Ah ini kes perempuan gila duit la ni!'

Macam-macam tuduhan dilayangkan. Ingin saja aku betulkan tuduhan mereka tapi apa daya, itu rahsia antara aku dengan dia. Lagipun aku tak pasti mereka nak dengar penjelasan aku.

Pengakuan ii:

Aku sedang membersihkan kaki yang basah akibat hujan tadi apabila si lelaki ini datang menumpang sebelahku.

'Hei buddy, lebat ye hujan tadi.'

Tegur si lelaki. Dia pun kebasahan. Dia memesan teh o panas, dan kami berkongsi semeja di mamak. Aku masih leka bersihkan kaki.

'Seronoknya hidup macam kau. Tak perlu fikir apa-apa. Tak perlu duit, rumah dan tiada dosa.'

Aku berhenti sekejap dan memandangnya. Ah, apa kau tahu tentang hidup aku?

'Dulu aku sering berkongsi teh panas dengan adik aku.'

Dia membuka cerita. Dia hanyalah insan yang cuba untuk mencari rezeki di bandar besar ini. Tapi kau tahu sajalah, keadaan ekonomi sekarang memaksa semua orang buat apa saja untuk terus hidup. Ada yang jual tudung, bawa Uber, jual badan, dan merompak.

'Aku dan adikku memulakan karier jenayah kami dengan menyeluk saku di KLCC, sebelum beralih ke mencuri stereo kereta di kawasan perumahan.'

Mereka menjadi penjenayah untuk memastikan keluarga mereka tidak kebuluran. Lama-lama, daripada tujuan untuk mencari sesuap makan, ia bertukar menjadi keghairahan membuat kekacauan.

'Ada kick. Tambah pula sejak pandai mendadah.'

Apabila mencopet dompet tidak lagi memberi kepuasan, mereka beralih pula kepada merompak. Daripada menjarah 7 Eleven sehinggalah misi terakhir mereka: merompak bank.

'Aku sangka rancangan kami berjalan lancar. Tapi rupanya ini pengakhiran karier jenayah kami.'

Langkah 1: Berlakon pengsan di depan kaunter.
Langkah 2: Sewaktu orang ramai dialih perhatian, pintu masuk perlu disendal.
Langkah 3: Lepaskan tembakan amaran.
Langkah 4: Tawan pengawal keselamatan dan ikat semua pelanggan bank.
Langkah 5: Ambil semua duit dan cepat-cepat lari sebelum polis tiba.

'Kami tak sempat menawan pengawal bank. Adik aku hanya sempat melaungkan ini rompakan dan terus ditembak pengawal di kepala.'

Aku nampak emosi si peronpak ini berkecamuk. Orang jahat pun ada perasaan. Dia menyambung cerita, dia sempat meloloskan diri tetapi mayat adiknya terpaksa ditinggalkan. Betapa luluh hatinya melihat adik yang terbujur kaku dan tidak sempat bertaubat. Kerana tamak, dia kehilangan adiknya.

'Aku jadi orang dikehendaki. Aku tak pasti sama ada patut aku serahkan diri atau terus lari. Aku takut dan tiada siapa yang aku nak mengadu. Nasib baik kau ada. Sekurang-kurangnya kau takkan laporkan kepada polis.'

Sengihnya nipis sambil menarik misaiku. Dia mengingatkan biarlah miskin harta, asalkan tidak kaya dosa. Apabila hati sudah hitam, ujarnya lagi, kau sukar nak kembali ke jalan benar hinggalah berlaku sesuatu yang kau sesalkan.

Dia meninggalkan not RM1 dua keping dan meminta diri. Aku mengikutnya sehingga ke hujung lorong. Entah apa akan jadi kepadanya.

___________________________

Aku menyaksikan ramai orang yang lupa diri, yang tersungkur di penghujung nyawa, dan yang bergelumang dosa. Mereka semua mempunyai satu niat sahaja: diberi peluang kedua sebelum jasad bertemu tanah.

Kasihan. Apabila Tuhan tidak lagi menjadi yang utama, umat manusia hilang punca. Aku berharap aku dapat berkongsi nasihat ini kepada mereka yang pernah datang mengadu kepadaku...

Tapi apakan daya.

Aku hanyalah seekor kucing yang hanya mampu mengiau dan mendengar luahan mereka.

Kamu telah mencapai bab terakhir yang dipublikasikan.

⏰ Terakhir diperbarui: Dec 16, 2015 ⏰

Tambahkan cerita ini ke Perpustakaan untuk mendapatkan notifikasi saat ada bab baru!

BaculCipan mempersembahkan: ParanoiaTempat cerita menjadi hidup. Temukan sekarang