Bahagian IV: Destinasi Sehala

300 10 0
                                    

Aku mempunyai satu paranoia yang menghantui semenjak beberapa tahun lalu.

Aku sering menggunakan LRT ke tempat kerja. Kau tahu sajalah KL ni selalu sesak dan tempat parkir terhad. Mahal pula tu. Jadi LRT dikira pilihan yang ekonomik dan mudah. Kalau malas, boleh pesan Uber. Tapi tu cerita lain.

Macam aku cakap tadi, LRT adalah pilihan ekonomik untuk orang kebanyakan. Kasihan rakyat Malaysia, sudahlah dihimpit dengan ekonomi tenat, tambang pula naik mendadak.

Orang kebanyakan macam aku ni (dan mungkin kamu juga) banyak komitmen untuk dibayar. Komitmen mewujudkan tekanan. Seterusnya memaksa kami ke penghujung kewarasan. Ada yang beralih kepada jenayah; merompak, mengedar dadah, menipu. Ada yang hilang punca; jadi gila, bunuh diri, larikan diri.

Di sinilah paranoia aku timbul. Aku teliti satu-satu wajah penumpang dalam LRT. Mungkin mereka ini semuanya hanya mahukan kehidupan yang selesa. Anak bini dapat makan pakai cukup. Boleh beli rumah. Boleh bantu mak ayah. Sebab tu rajin bekerja dan naik LRT.

Aku teliti lagi sekali. Mungkin mereka ni dah lama pendam rasa. Kerja keras, tapi masih tak cukup. Nak tukar kerja, ekonomi merudum. Ikhtiar dah makin surut.

Aku rasa bertambah paranoid.

Bagaimana kalau suatu hari, mereka ini hilang pertimbangan? Bagaimana kalau mereka ini (penumpang-penumpang LRT) buat sesuatu yang tak dijangka?

Mungkin satu hari, makcik bertudung biru ini (aku merenung wajah kepenatannya) ambil keputusan untuk letupkan dirinya bersama-sama kami penumpang lain. Kau mana tahu? Mungkin beg sandangnya ada IED (Improvised Explosive Device) diisi bebola besi mini? Atau mungkin jaket diikat dengan bom? Mungkin bukan makcik ni, tapi abang pejabat segak membawa beg bimbit tu. Atau mungkin boleh jadi aku. Semuanya kerana tekanan hidup. Duit tak cukup. Tak gembira. Apa ertinya?

Suis bom ditekan. Kami semua tiada tempat nak lari. LRT berhawa dingin sebentar lagi jadi penjara bergerak buat kami.

Boom. Kami semua mati. Tren terbakar  marak dan masih bergerak laju di landasan menuju ke destinasi sehala.

Ding-dong. Stesen seterusnya: alam baqa.

BaculCipan mempersembahkan: ParanoiaWhere stories live. Discover now