50

45 5 0
                                        

Langit kelam. Angin bertiup liar membawa debu-debu kemusnahan yang berterbangan di udara. Di tengah-tengah reruntuhan kota yang hampir musnah, dia berdiri, tubuhnya terketar melihat lelaki itu—lelaki yang dia sayang—berdiri di hadapan batu merah yang berdenyut seperti jantung makhluk hidup. Batu itu bersinar-sinar, seolah-olah hidup dan bernyawa, bagaikan sedang menunggu satu nyawa untuk dikorbankan demi menamatkan penderitaan ini.

"Tolong, jangan!" Suaranya pecah, bergetar dalam ketakutan. Air matanya jatuh tanpa dia sedari, membasahi pipinya yang pucat.

Lelaki itu menoleh sedikit, senyum sayu terukir di bibirnya. Senyuman yang bukan untuk menenangkan sesiapa, tetapi sebagai tanda bahawa dia sudah bersedia menerima takdir yang berat ini.

"Saya tiada pilihan, Verena. Hanya ini cara untuk menghentikan kehancuran ini."

"Tidak! Jangan sesekali memikirkannya! Ingat janji awak, Even!! Janji awak untuk tidak pernah lepaskan tangan saya!!" Verena menjerit, ingin berlari mendapatkan Even, namun dalam sekelip mata, dua pasang lengan kekar mencengkamnya dari belakang.

"Lepaskan aku! LEPASKAN AKU!" Dia meronta-ronta dalam pelukan abangnya, Valdimir, namun lelaki itu tidak melepaskannya. Tangannya mencakar lengan Valdimir, air mata membasahi pipinya.

"Verena, sedarlah...." suara Valdimir bergetar, namun cengkamannya semakin erat. Dia tahu, jika dia biarkan adiknya pergi, dia mungkin akan kehilangan keduanya — Even dan Verena.

"Dia akan mati! Dia akan mati!" Verena menjerit, tubuhnya menggigil melihat Even kini berdiri di hadapan permata darah itu. Dia dapat lihat riak kesakitan lelaki itu, tetapi Even hanya menutup matanya sejenak, seolah-olah sudah menerima takdir yang bakal menelannya.

Tanpa ragu, Even menghulurkan tangan dan menyerap setiap zarah kuasa yang keluar dari batu itu.

"EVEN! BERHENTI!" jeritan Verena bergema di seluruh lembah, namun lelaki itu tidak mengendahkannya.

Partikel merah meluru masuk ke dalam tubuhnya, meresap ke dalam daging dan tulangnya. Kulitnya mula bertukar kehitaman, retak seperti tembikar yang hampir pecah. Matanya yang merah kini bercahaya seperti bara api yang semakin marak. Nafasnya semakin berat, tubuhnya menggeletar menahan sakit yang tidak mampu diungkapkan.

"EVEN! EVEN!" Verena memanggil namanya berkali-kali, suaranya nyaring, penuh rasa sakit dan ketakutan.

Lelaki itu terhuyung-hayang sebelum jatuh terduduk di tanah. Jari-jarinya menggenggam tanah dengan lemah, bibirnya berdarah.

Verena menjerit dan merentap diri dari pegangan abangnya. Kali ini, Valdimir tidak mampu menahan kudratnya yang dipacu oleh kesakitan dan keputusasaan.

Dia jatuh berlutut di sisi Even, tangannya menggenggam wajah lelaki itu yang sudah mula merekah seperti pasir yang bakal diterbangkan angin.

"Kenapa, Even? Kenapa awak mungkir janji?"

Even mengangkat tangannya yang bergetar, menyentuh pipi Verena dengan lembut. Sentuhan itu begitu ringan, seolah-olah dia sudah tiada lagi kekuatan, namun cukup untuk menyampaikan kasih sayang yang masih berbaki.

"Maaf... Saya tidak dapat tepati janji itu. Dunia perlukan saya, Verena..."

Verena menggenggam pergelangan tangan Even erat.

"Saya tidak peduli tentang dunia! Tapi macam mana dengan dunia saya yang hanya ada awak?!" Suaranya pecah, dadanya sesak, air matanya jatuh tidak terkawal.

"Kenapa awak lakukan ini pada saya, Even?! Kenapa awak tinggalkan saya seorang diri?!"

Even tersenyum tipis, meskipun darah meleleh dari sudut bibirnya. "Awak akan terus hidup... Awak lebih kuat daripada yang awak sangka..."

Tapi Verena menggeleng, nafasnya hampir terhenti dengan kepedihan yang menghimpit dadanya.

"Bodoh! Saya tidak mahu kuat tanpa awak! Saya nak awak, Even! Saya nak awak tetap di sini! Saya tak boleh hidup tanpa awak!" Tangisannya semakin menjadi, suaranya semakin serak.

Namun, jari-jari lelaki itu yang berada di pipinya mula berubah menjadi serpihan-serpihan abu. Verena menggeleng laju, memeluk tubuh lelaki itu erat-erat, seolah-olah pelukan itu mampu menahannya dari menghilang.

"Jangan... jangan tinggalkan saya... Saya merayu...Even..." suaranya lirih, penuh luka yang tidak terungkap dengan kata-kata. Nafasnya tersangkut-sangkut, tangannya mencengkam belakang Even seakan-akan mahu menahannya daripada pergi.

Even menutup matanya seketika, seolah-olah ingin menikmati detik terakhir berada dalam pelukan gadis yang dicintainya.

"Terima kasih, Verena... Kerana pernah mencintai saya."

"Tidak! Even!" Verena semakin mengeratkan pelukannya pada tubuh lelaki, cuba untuk tidak membiarkan lelaki itu hilang dari pelukan hangatnya walaupun dia tahu hakikatnya mustahil.

"Jangan buat saya begini! Saya mohon, Even, jangan tinggalkan saya... Saya tak boleh... saya tak boleh kehilangan awak!" Dia meraung dalam pelukan, hatinya remuk seiring tubuh lelaki itu yang berderai menjadi debu.

Dan saat itu juga, tubuhnya berubah sepenuhnya menjadi abu, berterbangan bersama angin. Verena menjerit, meraup udara kosong di hadapannya, seolah-olah masih ada sisa dirinya yang dapat diselamatkan.

Tapi tiada apa-apa.

Dia sudah pergi.

Verena jatuh terduduk di tanah, esakannya bertukar menjadi jeritan yang penuh kesedihan. Jari-jarinya mencengkam pasir, dadanya berombak dengan tangisan yang tidak mampu dihentikan. Dia menekan dadanya, seolah-olah mahu mengeluarkan kesakitan yang menyesakkan jiwanya.

"Kembalilah... Saya mohon... Even, kembalilah..."

Namun, angin hanya berlalu, membawa serpihan abu lelaki itu pergi, jauh dari genggamannya.

Putera Mahkota Marius melangkah perlahan menghampiri mereka, wajahnya suram, kaku, seperti menyimpan duka yang tidak mampu diluahkan. Valdimir menunduk, air mata lelakinya gugur jua melihat adiknya meratap kehilangan cinta sejatinya.

Dunia di sekelilingnya mungkin telah selamat...

Namun, dunia Verena telah musnah sepenuhnya.

PUPPET: The Strings of Verena (COMPLETE✔️/IN EDITTING)Tempat di mana cerita hidup. Terokai sekarang