44

35 4 0
                                        

Seminggu berlalu.

Seminggu tanpa khabar. Tanpa suara. Tanpa sebarang jejak.

Keluarga Phyliss digegarkan dengan berita yang mengoyak hati sesiapa sahaja yang mendengarnya—Puteri Verena Phyliss, satu-satunya puteri tunggal waris keluarga Phyliss itu, hilang secara misteri. Seluruh kediaman keluarga Phyliss sepi dalam duka yang tidak berpenghujung. Potret Verena digantung dengan bunga-bunga putih, dan kain berkabung mulai dikibarkan pada tiang-tiang utama mahligai Phyliss.

Winston Van Doren berdiri di hadapan seluruh dewan keluarga, wajahnya muram dan suaranya berat seolah-olah sedang memikul beban dunia.

"Puteri Verena..." katanya dalam nada duka yang direka, "...telah diculik oleh bangsa Satan sewaktu dalam perjalanan pulang dari kuil suci. Tiada yang terselamat kecuali seekor kuda yang kembali tanpa penunggangnya... dengan darah di pelananya."

Tangisan kedengaran dari wanita-wanita bangsawan dari keturunan langsung Phyliss. Grand Duchess Victorya yang berpaut pada anak lelaki keduanya akhirnya rebah. Grand Duke Phyliss tidak bersuara—dia membisu, mematung, seolah tidak percaya anaknya hilang begitu saja dari pelukan dunia ini.

Namun yang tidak mereka tahu...

Semua itu dusta.

Dusta yang dijalin oleh lidah paling berbisa dalam istana itu. Winston sendiri—lelaki bertopeng duka, sedang tangannya dipenuhi darah saudara.

Tiada siapa tahu Verena masih hidup.

Terseksa.

Terpasung dalam ruang bawah tanah istana yang sama—dipenjara dalam sepi, luka, dan ingatan yang baru kembali. Setiap malam, dia menanti maut yang tidak kunjung tiba. Dan setiap siang, dia menjerit tanpa suara, kerana lidahnya sudah tidak mampu berbicara—bukan kerana dipotong, tapi kerana jiwa yang tercedera tidak lagi tahu bagaimana untuk berharap.

Di atas, dunia meratap.

Di bawah, Verena mereput.

Dan Winston? Dia terus berpura-pura. Memimpin takhta dengan wajah belas, kononnya menjaga kestabilan kerajaan keluagra Phyliss sambil mengutus tenteranya mencari bangsa Satan yang tidak wujud.

Yang menyedihkan, tiada siapa berani menyoalnya.

Tiada siapa berani mempersoal pengorbanan dan kesedihan seorang lelaki yang kononnya kehilangan anak saudaranya sendiri.

Winston telah menulis skripnya dengan sempurna.

Dan Verena... hanyalah watak yang terhapus dari panggung sandiwara ini.

~~~~

Valdimir mengamuk.

Segala yang disentuhnya hancur menjadi serpihan amarah. Dinding batu dirempuh, kerusi takhta ditumbangkan, dan meja rundingan kerajaan retak dihempas tangannya yang bergetar menahan murka. Nafasnya bagaikan api—panas, mendidih, seolah-olah hatinya terbakar hidup-hidup.

Dia tahu. Dia tahu Winston dalangnya.

Bahkan sebelum Duke Van Dorren itu muncul di ibu kota, Valdimir telah pun diberi amaran—oleh seorang lelaki asing yang bisu, berdarah bangsa Satan, yang datang bukan sebagai musuh... tapi sebagai saksi.

"Aku kekasih Verena," kata lelaki itu, wajahnya berbalut kain, tubuhnya penuh dengan parut luka torehan. 

"Dan aku tahu segalanya. Winston... dialah puncanya. Dialah racun sebenar yang memusnahkan Wilayah Norfolk. Verena... dia hilang kerana Winston."

Kata-kata itu bagaikan kilat memanah dada Valdimir. Pada mulanya dia enggan percaya—kerana tiada bukti, hanya kata-kata dari lelaki bangsa yang selama ini dianggap musuh. Namun bila Even menyusul, menyambung segala yang diketahuinya selama ini, semuanya mulai masuk akal. 

Fakta bahawa Even pernah menjadi budak sumber untuk darahnya ditempa menjadi permata darah, dikurung bagaikan haiwan ternakan. Tidak juga ketinggalan cerita bagaimana Verena dan dia berkenalan sehingga detik terakhir semuanya berlaku. Verena menolongnya melarikan diri bersama hampir 50 orang bangsa Satan lari dari kediaman Van Dorren 6 tahun yang lepas sehari sebelum pertempuran tragik berlaku di wilayah tersebut. 

Even selama ini bukan hanya pengawal upahan biasa—dia seorang bayang yang hidup dalam gelap, mengumpul serpihan rahsia, mengintai gerakan, mengawasi musuh dalam diam. Namun Winston bijak. Licik. Tidak pernah meninggalkan jejak kotor yang boleh menjatuhkannya. Tindakannya seperti angin—terasa tapi tidak dapat digenggam.

"Dia tidak akan pernah turun ke medan," Even memandang Vald dengan wajah kelam. 

"Dia upah orang. Dia guna boneka. Semua demi memastikan tangannya kekal bersih di mata dunia."

Kini Valdimir tahu kebenaran.

Venal dan Putera Mahkota, juga tahu.

Puteri Mahkota Lavander, satu-satunya sahabat baik Verena, kini tidak mampu menahan air matanya.

Mereka tahu. Mereka semua tahu.

Tapi tangan mereka terikat. Kerana tanpa bukti, Winston kekal sebagai Duke yang terhormat—seorang bangsawan yang berkabung atas kehilangan anak saudaranya, seorang pemimpin yang kononnya meratapi tragedi Wilayah Norfolk.

Setiap langkah untuk menjatuhkannya akan dilihat sebagai pemberontakan.

Setiap tuduhan akan dibalas dengan hukuman mati.

Dan Verena... masih belum ditemui.

Masih hilang entah di mana. Masih diburu hidup atau mati. Masih menjadi bayang dalam minda orang-orang yang mencintainya.

Namun Valdimir tidak akan berhenti.

Dia tahu celah itu wujud. Walau sekecil zarah.

Setiap racun, pasti ada titik asal.

Setiap dusta, pasti akan terungkai.

Dan selagi nafas masih bersisa dalam dadanya yang penuh dendam, dia bersumpah akan menyeret Winston dari takhtanya—walaupun terpaksa menggenggam bara dan berjalan dalam neraka sendiri.

PUPPET: The Strings of Verena (COMPLETE✔️/IN EDITTING)Where stories live. Discover now