Nyx terduduk di sudut bilik yang gelap, lututnya dirapatkan ke dada, dipeluk erat seolah-olah itu satu-satunya pelindung daripada kenyataan pahit yang sedang menelannya. Sejak kembali dari pertemuan itu, dia mengurung diri, menolak segala panggilan keluarganya. Di luar pintu, terdengar ketukan halus yang disusuli dengan panggilan lembut dari ibunya, namun Nyx tetap tidak menyahut. Tiada lagi tenaga dalam dirinya untuk berdepan dengan dunia luar. Matanya merah membengkak, kelopak matanya berat akibat menangis tanpa henti, seakan semua air mata telah mengalir habis, namun rasa sesak di dadanya masih berbaki.
Fikirannya kini buntu, terperangkap dalam kegelapan yang tak bertepi. Rancangannya musnah dalam sekelip mata, hancur berkecai kerana keputusan yang tidak pernah dia jangka dari Marius. Segala harapan untuk pergi jauh, mencari kebebasan di wilayah utara, lenyap begitu sahaja. Dia merasa tiada jalan keluar, seolah-olah dunia ini telah menghukumnya untuk kekal terikat pada rantai-rantai yang tidak kelihatan, namun begitu kuat menjerat.
Perlahan-lahan, Nyx mendongak, dan di hadapannya tampak figura Verena— berdiri memandangnya dengan tatapan sayu. Mata Verena seperti membawa beban yang sama, seakan-akan turut merasakan pedih yang Nyx alami. Tanpa kata, Verena melangkah ke arahnya, duduk perlahan, lalu memeluk Nyx erat. Pelukan itu dingin, namun membawa sedikit kelegaan, bagai angin lembut yang menyapa api dalam jiwanya.
"Aku buntu, Verena..." lirih Nyx, suaranya serak, menandakan betapa lama dia menangis. Air mata yang baru mengalir lagi, membasahi pipi yang sudah lembab. Tangisannya begitu sunyi, namun penuh dengan penderitaan yang tersembunyi.
Verena tidak berkata apa-apa. Dia hanya diam, seolah-olah membiarkan Nyx meluahkan segala yang terbuku di hati. Tangan Verena yang dingin itu menyentuh belakang tubuh Nyx, mengusap lembut seperti seorang ibu yang menenangkan anak kecilnya.
" Verena... apa yang harus aku lakukan?" suara Nyx bergetar, cuba mencari jawapan yang dia sendiri tidak pasti ada.
"Kau tahu, Nyx... selalu ada jalan keluar," ujar Verena perlahan, seolah-olah kata-kata itu meresap ke dalam jiwa Nyx.
Verena, dalam diamnya, tersenyum nipis—senyuman yang seolah-olah membawa ketenangan. Perlahan, jari jemarinya yang halus mengusap lembut air mata Nyx yang setia mengalir di pipinya.
"Aku... tidak tahu apa lagi yang harus kulakukan, Verena... Aku sudah hilang segala-galanya."
Verena menggenggam kedua-dua tangan Nyx dengan erat.
"Kau tidak hilang apa-apa, Nyx. Kau masih punya kuasa... Kau hanya perlu mengubah cara bermain permainan ini." ujar Verena lembut menatap dalam anak mata hijau zamrud itu, pandangan mata mereka bersatu.
"Jangan biarkan Marius menguasai permainan ini sepenuhnya," ujar Verena, suaranya tenang tetapi nadanya tajam.
"Jika dia mahu kau terikat dengan kedudukan tunangan Putera Mahkota, biarkan dia rasa dia menang. Tapi kau harus mainkan permainan ini dengan cara kau sendiri."
Nyx masih terduduk di lantai, tubuhnya seakan-akan tidak lagi bermaya, sementara Verena di hadapannya memerhati dengan tatapan tajam yang terselubung oleh bayangan samar.
"Nyx," Verena bersuara perlahan, namun suaranya terhantar jelas ke dalam benaknya yang kusut.
"Kau tahu, jalan yang perlu kau tempuh untuk bebas bukanlah yang lurus. Kita harus melintasi lengkungan gelap ini, kerana tidak ada yang dapat menolong kau kecuali diri kau sendiri."
Nyx diam, bibirnya terkunci rapat, namun pandangannya bersatu dengan Verena, separuh mendengarkan, separuh terperangkap dalam dilema yang semakin mendalam.
"Bagaimana caranya?" Nyx berbisik perlahan memandang wajah manis Verena yang tersenyum mengusap lembut rambutnya.
"Biarkan Lavander menggantikan kedudukan kau sepenuhnya sebagai tunangan Putera Mahkota. Kau harus melepaskannya secara zahir, dengan senyuman, agar semua orang melihat kau menerimanya. Tapi dalam diam, kau mesti bergerak ke arah yang berbeza— gunakan Lavander untuk menekan kedudukan Marius. Biarkan Lavander yang menduduki takhta kekasih yang rasmi, tetapi kau, Nyx, kau bebas." ujar Verena sambil berbisik, semakin mendekat ke telinga Nyx.
"Bebas?" Nyx mengulanginya, seakan-akan tidak percaya dengan apa yang baru didengarnya. Suara Verena semakin kuat, membisikkan kata-kata yang ingin dia dengari, bebas.
"Ya, bebas... bebas dari segala yang mengikatmu."
Nyx memejamkan matanya, cuba membayangkan apa yang diusulkan oleh Verena.
"Gunakan Lavander... untuk menekan Marius?"
Verena mengangguk perlahan, senyum menatap anak mata hijau zamrud Nyx.
"Ya. Kau harus membuatnya bergantung sepenuhnya pada Lavander. Biarkan Lavander menangani tekanan istana, sementara kau bebas bergerak di luar perhatian mereka. Dan akhirnya, bila Marius sudah terlalu bergantung pada Lavander, kau hanya perlu membuka sedikit ruang baginya terperangkap dalam jaring yang kau anyam sendiri."
Nyx memandang kosong ke hadapan, fikirannya berputar dengan rancangan tersebut. Itu mungkin satu-satunya cara untuk membebaskan dirinya dari kedudukan yang menjerat separuh dirinya.
Namun, Nyx sedar, rencana ini adalah langkah di luar batas moralnya—menggunakan Lavander, sahabat baiknya, sebagai alat dalam permainan ini? Adakah itu benar-benar pilihan yang dia ingin dia lakukan?
Verena tersenyum lebar, seolah-olah membaca fikirannya yang penuh kekeliruan.
"Kau tidak punya pilihan lain, Nyx. Kau mahu bebas, bukan? Kau mahu melepaskan diri kau dari ikatan Marius dan istana ini. Ini caranya, dan hanya cara ini yang akan berhasil."
Nyx menatap dalam mata Verena, terhuyung-hayang di antara dua dunia. Nyx merasakan dunianya semakin berputar. Suara Verena seakan-akan datang dari setiap sudut, semakin kuat, semakin menggoda.
"Kita adalah satu, Nyx. Aku adalah kau, dan kau adalah aku. Kita tahu apa yang harus dilakukan. Kau tahu aku akan selalu ada untuk kau, Nyx." ujar Verena lembut, perlahan jari jemarinya yang halus menyentuh lembut, menyisir rambut yang terjuntai dan menolak ke belakang telinga Nyx.
Dan tiba-tiba, Nyx merasa segalanya terhenti—waktu, perasaan, dunia di sekelilingnya. Seperti ada sesuatu yang merentap kesedarannya, membawa dia ke ambang kegelapan. Di dalam kegelapan itu, hanya ada satu suara—suara Verena, yang kini bercampur dengan suaranya sendiri.
"Bebas, Nyx. Kita akan bebas..."
Nyx mendongak, matanya yang berkilau penuh dengan air mata kini berubah menjadi tatapan yang kosong. Wajah Verena tersenyum samar di hadapannya, dan Nyx, perlahan-lahan tersenyum kembali menatap anak mata hijau zamrud di hadapannya.
YOU ARE READING
PUPPET: The Strings of Verena (COMPLETE✔️/IN EDITTING)
FantasyWARNING!! +HAMBAR +GRAMMAR ERRORS +MY OWN IDEA +MATURE CONTENT (15+) +TYPO BERSEPAH +TIADA KAITAN DENGAN YANG HIDUP ATAU MATI DILARANG MENCIPLAK HASIL KARYA SAYA!!! JALAN CERITA 100% IDEA SENDIRI!!! SEBARANG KESALAHAN AMAT DIKESALI!!! START: 15 MA...
