Tiara memejam mata. Kertas hasil ujian DNA di tangan setia digenggam. Demi Allah dia tidak pernah menyangka Puan Diana tergamak membohonginya berkaitan Encik Tarmizi, memalsukan hubungannya dengan ayah tanpa sebab munasabah. Tidak tahukah bonda semua itu sangat menyakitinya? Bagaimana bonda boleh berlakon tenang melihat kesengsaraannya disebabkan penipuan demi penipuan itu? Siang malam, tidak kira tidur mahupun terjaga dia kerap mempersoalkan statusnya yang bergelar anak tidak sah taraf. Ya Tuhan...

"Kenapa bonda sanggup 'bunuh' Ara berkali-kali? Apa salah Ara pada bonda sampai bonda sanggup tipu Ara soal ayah? Apa salah Ara?!" Ton naik melebihi oktaf, kurang sabar. Bergegar seisi rumah kayu separa batu ini dengan suara nyaringnya. Jari telunjuk ditunding tepat pada dada. Sepenuhnya hilang kawalan. "Jawab Ara! Ara anak siapa sebenarnya bonda? Anak Tarmizi atau anak haram?!"

"Jangan celupar, Tiara! Jangan celupar! Jangan sampai tangan aku ni ringan memukul kamu. Jangan tinggikan suara dengan bonda! Derhaka kamu tahu tak?!"

Lantang Usu Najda mengamuk dalam kegentingan. Mencerlung tajam pancaindera memanah figura Tiara yang tegang akibat marakan api. Puan Diana di sisi sudah menangis tidak berlagu. Suara bergetar. "Jangan jadi anak yang tak sedar dek untung! Derhaka! Kalau aku tahu perangai kamu hodoh ghupe ini, dari kecil lagi aku picit hidung kamu sampai mati!"

Tiara memintas laju. Air mata menitis di pipi. "Bunuh saja Ara! Tikam Ara sampai mati, tikam Ara sepuas hati macam mana usu dengan bonda menipu depan muka Ara. Ara lagi rela mati daripada diseksa dalam keluarga sendiri! Sakit! Orang yang Ara paling sayang, orang yang Ara gelar sebagai ayah dimomok dengan status palsu. Bonda sanggup gelar Ara sebagai anak haram sedangkan Ara anak ayah! Anak kandung Tarmizi!"

Terdiam Usu Najda mendengar jeritan pekiknya. Objek di tangan dilempar entah ke mana. Tidak menunggu lama, kedua-dua belah kaki berjalan laju ke arah kamar tidur. Pintu kayu ditolak kasar sehingga berdentum. Bagasi yang tersimpan di atas almari ditarik tidak sabar sehingga tergolek-golek di atas lantai. Suara kelam-kabut bonda yang menyaksikan gerak-gerinya tidak diendahkan. Dikuak almari sebesar alam sebelum menghumban laju pakaian-pakaian yang berlipat dan bersangkut ke dalam bagasi.

"Najda tolong! Tolong lembutkan hati Ara. Tolong akak, Najda, tolong..."

Kuat Puan Diana menangis, menarik dan menggoyangkan lengan Usu Najda untuk menenangkan Tiara yang dirasuk hantu. Wanita itu menarik nafas dalam, kaku seakan-akan pasrah dengan situasi ini. Berlari anak kakinya melolos ke dalam kamar tidur Tiara. Tangisan gadis itu turut parah. Baju-baju yang digumpal-gumpal Tiara ke dalam bagasi dikeluarkan semula dalam keadaan tangisan membara. Bahu gadis itu disentuh. Memohon.

"Ara, bonda mohon jangan tinggalkan bonda. Bonda terpaksa sayang, bonda terpaksa. Demi Allah bonda terpaksa! Bonda tak berniat gelarkan Ara anak luar nikah, Ara anak bonda. Anak bonda."

"Ara anak ayah, Ara cuma anak ayah!"

Tiara menjawab dalam esakan. Menitik-nitik air mata dan hingus mengalir. Dia sudah tidak mahu peduli. Kalau kehadirannya tidak pernah disenangi, buat apa dia mahu melenggang di dalam rumah ini lagi? Makin dia berada di sini, makin terpukul-pukul dia jadinya. "Bonda tak pernah nakkan Ara dalam dunia, bonda cuba bunuh Ara, dan hari ini, Ara dah mati bonda."

"Ara... Bonda merayu jangan pergi. Bonda minta maaf sayang, bonda minta maaf. Bonda terpaksa. Bonda tak nak Ara terpalit langsung dengan keluarga Haidar, bonda tak nak Ara terima nasib yang sama. Bonda sayangkan Ara. Ara anak bonda."

Terhenjut-henjut bahu Puan Diana memujuk. Keseluruhan wajah sudah basah dengan empangan bocor. Kelibat Najda yang mengintai dengan wajah yang turut merona kemerahan dikerling. Dia tidak sanggup kehilangan anak disebabkan satu kesilapan. Tiara satu-satunya penguat jiwa, harta yang ditinggalkan Tarmizi untuk dijaga dan disayangi. Kalau dikias kisah lalu, mungkin dia menolak mentah-mentah. Tapi tidak sekarang, tidak selepas dia disedarkan dengan kenyataan bahawa kewujudan Tiara disebabkan bunting pelamin. Bukan kerana dia mengandungkan anak si Haidar sialan itu.

T I A R AWhere stories live. Discover now