19

200 25 21
                                    

Tujuh bulan berlalu. Kedua-dua pasangan itu tidak sabar menunggu. Bayi yang dikandung Zuhaira semakin membesar. Perut yang dulunya kempis turut memboyot.

Seringai bahagia terlukis lebar di wajah tampan berjanggut kemas itu. Terlalu lebar sehinggakan matanya kelihatan sepet. Tangan ralit mengusap perut isterinya dengan lembut. "Anak baba tidur nyenyak ye? Jangan mengigau pula. Jangan tendang-tendung perut umi. Kesian umi. Nanti dia sakit."

"Okey, baba. Nanti saya tidur elok-elok," tutur Zuhaira dengan suara yang sengaja dikecilkan, mengajuk cara kanak-kanak bercakap. Tangan suaminya yang berada di atas perut turut dipegang. "Tak lama lagi dah."

Gutt angguk. Dia mendongak. Bibir mungil isterinya dipagut lembut. "Tak lama lagi. Abang tak sabar nak jumpa baby."

"Saya pun. Dah lewat ni. Saya dah mengantuk." Mata digosok dengan belakang tangan. Kelopak matanya mula terasa berat.

"Tidurlah, Juju. Abang dodoikan." Lantas, dengan spontan, Surah al-Kahfi dibaca dengan hiasan suara. Lembut dan merdu. Tubuh mengiring, menghadap si isteri, sambil tangan mengepung dan mengaut pinggang isterinya rapat ke tubuh.

Senyuman tersungging. Bacaan suaminya dihayati dalam diam dengan mata terkatup rapat. Sungguh, Megat tidak pernah sekali pun gagal untuk menenangkan hatinya. Tak kisahlah ketika dia berduka, mahupun bahagia. Tanpa sedar, tangan diangkat, mencapai wajah suaminya. Dengan mata yang masih terpejam rapat, kepala mendongak, menghadiahkan kucupan lembut pada pipi suaminya.

Megat tersenyum. Walaupun begitu, mulutnya tidak berhenti mengaji. Tangan yang tadi memeluk isterinya dibawa ke atas, mengusap kepala isterinya berkali-kali. Usai tamat mengaji, isterinya ditinjau dalam senyap. "Dah tidur..."

Gutt tersengih. Kepala isterinya dikucup lama. Letak tubuhnya di atas katil dibetul-betulkan, mencari posisi yang paling selesa untuk beradu. "Goodnight, Zuhaira."

* * *

Disangka panas sampai ke petang, rupanya hujan di tengah hari. Dari tanah manusia diciptakan, kepada tanah manusia dikembalikan.

Zuriat yang dinanti-nanti tidak kunjung tiba. Cahaya mata yang ditunggu-tunggu akhirnya pulang kepada Sang Pencipta.

Dengan hati yang berat, janin yang masih kecil namun sempurna itu dikebumikan. Buat kali terakhir, janin yang cukup sifat itu dikucup lama. Air mata yang sudah berkali-kali gugur, akhirnya menitis sekali lagi. Tidak mampu lagi menahan rasa yang kian menyeksa jiwa.

"Kita jumpa dekat syurga nanti, anak baba," tuturnya lembut. "Tunggu baba dengan umi. InsyaAllah."

Bibir digigit kuat, cuba menahan dirinya dari meraung kuat. Jenazah janinnya dipandang lama. Dibiarkan sahaja air matanya bercucuran lebat ke pipi.

"Umi..." perlahan Nina memanggil uminya. Bahu umi digenggam lembut.

Zuhaira tidak beriak. Tangannya terus menggenggam tangan Nina yang berada di bahu. "Allah sayang dia."

Nina angguk, mengeyakan kenyataan umi. "Betul. Allah sayang dia."

Jenazah direndahkan ke liang dengan tertib. Buat kali terakhir, wajah anaknya direnung. Senyuman ditarik payah, sambil tanah mula dikambus.

Usai pengebumian, tahlil dibaca. Hanya beberapa orang sahaja yang berada di situ termasuk sahabat karibnya.

Doa dibaca. Tangan meraup muka.

Megat berdiri. Isterinya yang berada di atas kerusi roda dirapati.

"Dah selesai..."tuturnya dengan tersangat perlahan. "Kita balik ye?"

Kepala mengangguk perlahan. Tangan menghulur ke arah suaminya.

Seperti faham kehendak si isteri, tangan pucat itu terus disambut. Menyalurkan segala kekuatan yang ada. "Semua ni kehendak Allah."

AdagioWhere stories live. Discover now