2

277 32 15
                                    

Gutt sengaja tayang taringnya. Tahu bahawa taringnya adalah salah satu tarikan istimewa dirinya. Wajah tua yang sedang membengis itu dipandang lama. Dia tahu, nenek begitu jengkel melihat mukanya di situ. Dah lah setiap hari, muka lain tak pernah nak jenguk.

"Mana mak kau?"

"Umi dengan babah busy, nek. Orang wakilkan dia orang."

"Empf! Sibuk memanjang. Tak ada langsung nak jenguk orang tua dia kat hospital sekarang." Nenek mendengus kasar sambil memaling wajah ke tempat lain.

"Nenek jangan risau. Orang yang akan temankan nenek setiap hari dekat sini."

"Aah, kau tak datang pun aku tak kisah. Aku dah muak tengok muka kau. Esok kau tak payah datang."

Ekor bibir Gutt melayut ke bawah. Terus matanya memandang nenek sambil berkedip mata laju-laju. Sengaja mahu mengusik nenek. Dia tahu, apa yang keluar dari mulut nenek itu bukanlah sesuatu yang serius pun. Orang tua, kan? Lagi kuat dia mengutuk, memerli, lagi sayanglah dia dekat cucu dia. Cara orang dulu-dulu dan orang sekarang lain. Sebab itu Gutt tidak sedikit pun terasa hati dengan nenek.

"Orang teman je kut..." Dagu terus direhatkan pada penyandar kerusi sambil tangan memeluk penyandar kerusi itu. Mata menyorot ke tempat lain sehinggalah ia terhenti pada dulang yang masih dipenuhi makanan di meja sakit. Gutt teruja. "Nek... nenek tak makan ke?"

"Kau makan je lah. Makanan sini tak sedap."

"Yey," mendatar Gutt bersorak. Terus dulang itu diambil dan diletakkan ke atas ribanya. "Nanti orang ganti dengan makanan lain. Nenek nak apa? Orang payung."

"Apa payung-payung? Cuba semenggah sikit bila bercakap," nenek sekali lagi membengis.

"Alaa, payung... kalau nak belanja orang, orang sekarang panggil payung. Haa, cenggitew~" gurau Megat dengan sengihan. "Nenak nak apa? Pizza? Ke sushi?"

Wajah bengis nenek berubah riak. Dia tersenyum kecil. Sudah lama rasanya dia tidak makan sushi. "Sushi lah..."

Gutt menyengih kerang busuk sehingga matanya menjadi sepet. Makin galak mengusik nenek dengan riak wajahnya. "Wokey, japgi orang pergi beli sushi. Tapi sushi yang kulit tauhu je tau. Ikan tak boleh. Nanti nenek kena gout."

"Hmf! Banyaklah kau." Nenek mendengus sambil memaling ke tempat lain. "Esok kau jangan lupa datang. Ada benda aku nak suruh kau buat."

"Benda apa?" soal Gutt sebaik sahaja makanannya ditelan. Potongan buah tembikai pula disuap ke mulut dengan mata tetap pada neneknya. Kening terangkat tinggi.

"Tak payah tanya. Kau datang aja."

Gutt mengangguk-angguk. Malas mahu berbalah dengan nenek. Kalau nenek suruh datang esok, maknanya adalah perkara penting yang dia perlu lakukan.

Makanan dalam dulang dihabiskan. Sudu dan pinggan kotor disusun dengan rapi di atas dulang supaya dapat memudahkan kerja orang yang bertugas. Tisu mengelap mulut. Tubuh terus bingkas dari dudukannya. "Nenek, orang keluar kejap. Beli sushi. Jap gi orang datang balik."


***


Mata berkedipan, memandang wanita yang tempat duduknya betul-betul bersebelahan dengan pintu masuk bilik Ketua Pegawai Eksekutif. Perlahan ekor bibir meleret tinggi ke atas hingga ke telinga. Tidak dapat menyorokkan lagi kebahagiaannya apabila bertentangan mata dengan wanita itu.

"Allo," spontan bibir menyapa.

Kening Zuhaira terangkat tinggi. Sapaan jejaka di hadapannya tidak diendahkan. "Ada appointment?"

AdagioWhere stories live. Discover now