4

310 33 21
                                    

"Assalamualaikum..." salam diberi lembut sebaik sahaja panggilan sebelah berjawab. Meleret ekor bibir apabila akhirnya dia dapat melepaskan rindu yang sudah seminggu terbuku.

"Waalaikumussalam, umi..."

"Buat apa tu? Lama Nina tak telefon umi. Tak rindu umi ke?"

"Sorry, umi. Bukan tak rindu, tapi banyak sangat koko dekat sekolah. Nina pun penat dah ni. Umi sihat?"

"Sihat, alhamdulillah." Tawa kecil terlepas. "Umi faham. Umi saja nak mengusik. Bila Nina nak balik? Umi ada duit lebih ni. Boleh kita jalan-jalan keliling Kuala Lumpur."

Nina tersengih. Seronok pula mendengar suara umi seakan-akan tak sabar hendak keluar bersama dengannya. "Lagi dua minggu, mi. Nanti Nina balik, kita pergi jalan-jalan. Umi..."

"Hm?" Letak duduk yang semakin melayut ke bawah dibetulkan. Bantal kecil segi empat dipeluk, bersiap sedia untuk berbual panjang dengan anak daranya.

"Umi punya tempat kerja baru okey? Best tak? Lawa tak ofis dia?"

"Best!" Jawab Zuhaira tanpa teragak-agak dan entah mengapa, bila dia terdengar sahaja perkataan ofis baru, terus otaknya terfikir tentang seseorang. Seseorang yang pemurah dengan senyuman dan mempunya janggut sejemput yang sangat kemas. Ekor bibir meleret ke atas. "Bos umi baik. Lagi best, dia perempuan. Ofis dia pun lawa. Macam ofis mahal."

"Wah, best nya umi~! Dia sombong tak?"

"Tak sombong langsung. Haa, dia ada bagi kamu duit belanja. Nanti Nina balik sini, umi bagi duit tu."

"Yey~! Nanti umi cakap kat bos umi terima kasih tau!" Nina teruja. Dapatlah dia duit belanja lebih! Boleh beli buku rujukan! Tak perlu lagi dia pinjam dari perpustakaan sekolah.

"Sekolah okey, Nina?"

"Okey! Nina dah buat ramai kawan baru. Semua baik umi." Sisi tubuhnya bersandar pada dinding dengan sebelah tangan memegang gagang telefon awam. Beberapa keping syiling dimasukkan. Mata melilau ke tempat lain, curi tengok kalau ada yang sedang menunggu giliran untuk menggunakan telefon awam itu.

"Ada kes buli tak dekat sana?"

"Ada. Tapi lelaki. Budak perempuan semua baik. Relaks je semua. Lepas tu kan umi, hari tu Nina nak beli pen sebab pen Nina dah habis, lepas tu duit Nina tak cukup. Masa Nina tengah tergopoh-hopoh cari duit, ada orang dahulukan duit dia."

"Lelaki ke perempuan?" Nada Zuhaira keruh. Kurang gemar dengan hala tuju cerita Nina.

"Perempuan." Nina ketawa. Tahu benar yang umi risau dengan keadaannya. Dia tahu, umi paling tak suka dengar cerita pasal budak sekolah bergaul bebas antara lelaki dengan perempuan. "Nina tak bergaul dengan lelaki lah, umi. Umi janganlah takut."

"Umi cuma risaukan Nina je..." Keluhan lega terlepas. Nasib baik perempuan. "Nina dah bayar ke duit dia?"

"Belum, hehe." Nina terkekek.

"Kenapa?"

"Nina tak ada duit."

"Ha? Tak ada duit? Kenapa tak cakap dekat umi? Dah berapa lama Nina tak ada duit? Nina selalu pinjam kawan ke?" Belakang yang tersandar malas terus tegak. Risau pula dia bila dengan yang Nina tak ada duit.

"Taklah. Yang beli pen tu je. Duit simpanan lain ada lagi. Nanti esok Nina bayar duit dia."

"Bayar tau. Jangan tangguhkan hutang. Tak elok."

"Baik, umi." Nina tersengih. "Umi..."

"Hm?"

"Umi... tak nak kahwin ke?"

AdagioWhere stories live. Discover now