Dada Husna berdebar.

Dia tak mahu pergi selagi belum tahu tentang keadaan Lanun. Gelisah, resah, risau semuanya ada. Tangannya yang mula berpeluh digenggam.  Husna pandang sekeliling. Tercari-cari jika ada jururawat yang sedang bertugas menguruskan pesakit.

"Nurse!" Laju Husna menahan jururawat wanita yang muncul di hadapan matanya. Kaki menapak laju menuju ke arah jururawat wanita yang menghentikan langkahnya. Sesaat Husna lepas nafas resah.

"Boleh saya tanya sesuatu?" Soal Husna.

Jururawat itu mengangguk.  Malah menanti apa yang ingin ditanyakan.

"Nurse ada nampak tak seorang pesakit rambut dia warna putih, mata dia sebelah hazel dan sebelah biru? Dia baru sahaja masuk ke unit kecemasan disebabkan kena tikam. Kalau Nurse tahu, boleh beritahu saya keadaan dia dan bilik dia dimana? Saya nak jumpa dia sangat-sangat." Rayu Husna seolah-olah terdesak. Ada air mata yang ditahan daripada mengalir. Tak tahu mengapa, hatinya luluh setiap kali teringatkan keadaan Lanun.

Malah jururawat itu tidak terus menjawab soalannya. Sekilas anak mata bergerak memerhati dia daripada bawah hingga ke atas. Seakan memproses sesuatu dikepala. Kemudian, barulah bibirnya terbuka.

"Sebelum tu buli sa tahu, Cik ni... anak Dato Idris ka?" Soal jururawat itu. Wajah Husna dipandang.

Ada kerutan di dahi. Pelik. Apa kena mengena soalannya dengan dia anak kepada siapa? Namun, Husna cuba fikir positif. Mungkin jururawat itu cuma mahu pastikan yang melawat adalah kenalan pesakit. Lantas, kepala diangguk mengiyakannya.

"Ya, saya anak Dato Idris." Balas Husna.

Entah mengapa riak wajah jururawat itu terus berubah. Agak tersentak dengan jawapannya. Bawah bibir digigit penuh rasa serba-salah. 

"Oh, sa minta maaf, Cik. Tapi baru sekejap tadi mak kepada Cik ada pesan. Apa-apa pun yang berlaku kepada pesakit itu, kami endak buli kasi tau. Katanya, Cik yang penyebab dia masuk ke sini. Jadi demi keselamatan pesakit, sa terpaksa diamkan diri. Maaf sangat-sangat." Rayunya. Kesal.

Husna melongo serupa tak percaya. Mak? Datin Khadijahkah maksudnya? Tak sangka pula perempuan tua itu ada sekali disini! Tapi kenapa? Kenapa pula Datin Khadijah beritahu kepada jururawat disini bahawa dia punca Lanun ditikam? Atau...

Perempuan tua itu cuba untuk jauhkan dia daripada Lanun? Tidak cukup melihat dia terseksa ditolak ke laut seorang diri, kini mahu menjadi penghalang pula.

Bibir Husna mengetap. Mahu mengamuk. Sedar dia berada di hospital, terpaksalah perasaan amarahnya dikawal daripada meletus.

"Ta... Tapi bukan salah saya. Bukan saya punca dia kena tikam! Tolonglah, kalau awak tak boleh bagitau saya dimana bilik dia, cukuplah beritahu saya tentang keadaan dia. Selamat atau tidak?"

Jururawat itu terdiam. Tak tahu sama ada dia patut jawab ataupun tidak. Melihat Husna yang terdesak mahukan jawapan, buatkan dia rasa bersalah jika terus berdiam diri. Namun, bibirnya terkunci saat menyedari susuk tubuh yang berdiri di belakang wanita itu. Cuak. Lantas, dia mengutuskan untuk pergi tanpa pedulikan Husna lagi.

Dibiarkan Husna terpinga-pinga. Dipanggil berkali-kali, malah diabaikan. Pelik akan riak wajah jururawat yang tiba-tiba berubah saat melihat sesuatu dibelakangnya, terus Husna menoleh.

Tersedar Datin Khadijah berdiri disitu, dan-dan nafasnya turun-naik. Laju sahaja kotak fikirannya memainkan semula tayangan dia ditolak jatuh daripada bot tanpa belas kasihan daripada perempuan tua itu. Dibiarkan terseksa, tak cukup nafas dan hampir sahaja mati!

Dan perempuan durjana itu pula, masih boleh hidup dengan tenang dan bahagia. Seolah-olah tiada apa-apa pun yang berlaku. Jenuh disabarkan hati daripada berkelakuan kurang ajar di hadapan orang tua, dia janji ingin berubah. Tetapi bila lihat muka Datin Khadijah yang tersenyum mengejek, semakin marak pula api yang membakar dada.

MR PIRATEWhere stories live. Discover now