Bab 17

285 55 1
                                    

WAKTU subuh sudah menjelang, Ahnaf dikejutkan dengan laungan azan yang berbunyi dari telefon Nasywa. Badan mula digeliat perlahan. Matanya terkebil-kebil berusaha untuk dibuka. Tangan mula menggosok perlahan matanya apabila matanya terasa pedih. Rasa mengantuk masih menguasai dirinya. Dia hanya dapat merehatkan badannya hanya dalam berapa jam sahaja.

Kepala dan badan mula dibangkitkan dan kaki dijatuhkan dari katil. Ahnaf duduk sebentar mengurut pelipisnya apabila dia berasa pening seketika. Telinganya menangkap sayup-sayup suara azan dari masjid berdekatan kawasan perumahannya. Hati terdetik mahu berjemaah di masjid kerana Nasywa tidak dapat menunaikan solat buat sementara waktu. Tanpa berlengah, Ahnaf mula berjalan menuju ke bilik air untuk membersihkan diri.

Setelah menyarungkan jubah berwarna kelabu, kopiah dicapai lalu disarungkan ke kepalanya. Minyak wangi attar sempat disembur di pergelangan tangannya dan dileher. Kaki bergerak menuju ke katilnya dan tubuh Nasywa digerak perlahan ingin mengejutkan isterinya itu.

"Sayang, I pergi subuh dekat masjid ya?" Ahnaf berkata setelah Nasywa sudah terpisat-pisat mencelikkan matanya. Dengan perlahan, Nasywa anggukkan kepalanya. Minyak wangi di tubuh Ahnaf disedut dalam. Ahnaf memang akan menggunakan minyak wangi attar ini jika dia mahu ke masjid saja.

Nasywa mengiringkan badannya dan mencapai bantal kepala Ahnaf mahu memeluknya kerana dia tak jumpa dimana bantal peluknya sendiri. Pasti terjatuh dari katil. Nasywa sembamkan wajahnya di permukaan bantal itu. Seketika, mukanya berkerut. Bau asap rokok telah membuatkan Nasywa tersentak lalu cepat-cepat dia mencampak bantal itu menjauhi dirinya. Keluhan dilepaskan. Kata sayang, tapi masih merokok.

Bau rokok itu telah membuatkan rasa mengantuk Nasywa hilang. Serta merta dia segar. Sepit rambut dicapai lalu rambut dikumpulkan dan disepit.

Cadar, selimut dan sarung bantal dilepaskan lalu dicampakkan ke lantai bilik. Dia mahu basuh semua ini kerana telah tercemar dengan bau rokok yang dibawa oleh Ahnaf. Nasywa cepat-cepat berlalu ke bilik air setelah dia rasa mahu terkucil.

Sesudah solat subuh berjemaah sudah ditunaikan, Ahnaf masih tidak bangun dari duduknya kerana Imam di masjid ini ingin memberi sikit ceramah di waktu pagi subuh ini. Telinga Ahnaf fokus mendengar setiap kata yang telah dilontarkan oleh Imam muda itu. Tajuk ceramah pada pagi hari ini ialah tentang tanggungjawab ibu bapa terhadap anak-anaknya.

"Para jemaah yang dihormati, hari ini saya ingin berkongsi sedikit pandangan mengenai tanggungjawab yang amat besar dan mulia, iaitu tanggungjawab ibu bapa terhadap anak-anak mereka. Allah SWT berfirman dalam Al-Quran, Surah An-Nisa, ayat 58, 'Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhanNya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu." Imam Yusuf mulakan ceramahnya.

Pada mulanya, Ahnaf agak tersentak apabila ceramah pada harini menyentuh tentang ibu bapa. Bagi Ahnaf, apa-apa berkaitan ibu bapa sangatlah menyentuh hatinya sendiri.

"Sebagai ibu bapa, tugas penting kita adalah untuk menjaga dan mengajar anak-anak kita. Anak-anak adalah seperti hadiah istimewa daripada Allah dan kita perlu melindungi mereka dan menunjukkan kepada mereka cara yang betul untuk melakukan sesuatu perkara. Nabi Muhammad SAW bersabda, 'Setiap kamu adalah pemimpin dan bertanggungjawab terhadap orang yang kamu pimpin.' Ini bermakna ibu bapa juga bertanggungjawab terhadap anak-anak kita," tambah Imam Yusuf.

Setiap kata-kata yang dilontarkan oleh Imam Yusuf membuatkan Ahnaf menekur memandang sejadahnya. Senyuman nipis terbit dia bibirnya yang sederhana tebal.

"Adalah sangat penting bagi ibu bapa untuk mengajar anak-anak kita tentang kepercayaan agama kita. Agama Islam. Allah telah memberi tanggungjawab kepada kita untuk menjaga mereka, dan kita akan dinilai di akhirat berdasarkan cara kita mengajar mereka tentang Islam. Ibu bapa mestilah bantu anak-anak belajar tentang menjadi baik, melakukan perkara yang betul, meninggalkan yang salah dan mematuhi peraturan Allah.

Bahagiakah CintaWhere stories live. Discover now