Lelaki muda itu tarik nafas dalam-dalam, mata dipejam sesaat. Sebaik dihembus, barulah dia membuka mulut.

"Tuan Andikha Rafael yang tumbuk muka saya, Tan Sri." Katanya cuma senafas.

Mendengar nama itu disebut, terus Tan Sri Raqib terdiam kaku. Mata tak berkelip. Dunia seakan berhenti berputar. Senyap. Sepi. Hanya bunyi ombak laut menghempas daripada luar sahaja yang menjengah ke telinga.

"An... Andikha Rafael?" Ulang Tan Sri Raqib dengan muka tak percaya. Namun, Zaim tetap angguk kepala mengiyakannya. 

Serupa ada panahan tercucuk ke dada menembusi ke tubuh belakangnya, begitulah yang Tan Sri Raqib rasakan sekarang. Dia tidak pernah dengar Raf memukul orang sampai begitu teruknya.
Padahal, Raf yang dia kenali dan besarkan selama ini seorang yang pandai mengawal emosinya.

Akan tetapi, kenapa tiba-tiba sahaja si Raf itu menumbuk muka staff Ocean Resort? Pasti ada sesuatu yang berlaku diantara Zaim dan anaknya.

"Kenapa dia tumbuk muka kamu? Selama saya kenal dia, dia tak pernah berkelakuan macam ini."

"Sebab itulah saya datang ke sini, adalah kerana dia juga. Pada mulanya saya berniat nak berhenti kerja dan larikan diri, tapi apabila fikirkan yang dunia ini tak besar mana. Maka tak guna juga jika saya lari ke mana pun. Sedangkan Tuan Andikha tu berduit, dia boleh sahaja upah orang untuk cari saya..."

"Sekejap! Sekejap!" Sebelah tangan diangkat. Menyuruh Zaim berhenti seketika. Kepala makin rasa berdenyut.

"Kamu... nak berhenti kerja? Anak saya buat kamu tertekan ke?"

"Eh, bukan Tan Sri!" Pantas sahaja Zaim menafikannya.

"Habis tu?" Tan Sri Raqib semakin bingung.

Zaim telan air liur.  Jantungnya berdegup laju. Rasa takut masih lagi menyelubungi diri. Namun, mungkin perasaan ini akan pergi jika dia berlaku jujur. Lantas, nafas ditarik dalam-dalam, mengumpul kekuatan lalu...

"Dia tumbuk muka saya sebab... saya cuma pekakkan telinga dan tengok sahaja apabila Cik Husna ditolak ke kawasan Red Zone. Walaupun Cik Husna ada menjerit minta tolong, tapi saya sedikit pun tak pedulikan dia disebabkan terdesak mahukan duit."

"What?!" Suara Tan Sri Raqib kedengaran naik satu oktaf. Muka habis berkerut ditayang bercampur perasaan amarah.

Terhinjut bahu Zaim mendengarnya. Kepala lelaki muda itu masih tunduk menikus ke bawah, tidak berani hendak bertentangan mata. Sedar akan kesalahan yang dia telah lakukan. Dan ya, kalau diikutkan undang-undang sudah pasti dia diheret ke penjara dengan perbuatan kejam ini.

"Saya minta maaf, Tan Sri! Saya tahu saya salah! Waktu itu, saya cuma mahukan duit sahaja sampaikan tak fikir tentang nyawa orang lain. Dia tawarkan wang yang banyak kalau saya sanggup bawa bot ke kawasan Red Zone."

"Astaghfirullah hal Azim..." Bibir Tan Sri Raqib beristighfar perlahan. Kepala yang semakin rasa berdenyut itu dipicit.  Sedaya upaya mengumpul sabar di dalam dada. Dia tidak mahu mengikut emosi. Nanti tak pasal-pasal muka yang berlebam itu makin bertambah lebamnya. Cukuplah tangan Raf sahaja sudah mengajar lelaki di hadapannya itu.

"Jadi cerita yang kononnya Husna terjatuh itu adalah palsu huh?!" Soal Tan Sri Raqib penuh keras.

Zaim angguk perlahan. "Ya, palsu..."

"Ya Allah..." Sesaat Tan Sri Raqib meraut wajah. Dia punyalah mati-matian percaya yang Husna terjatuh ke dalam laut, rupa-rupanya ia cuma rekaan untuk menutup kejahatan yang dibuat. Mengapa ada manusia hati sebusuk itu di dalam dunia ini?

"Kamu tahu tak saya hampir sahaja libatkan hal ini dengan pihak polis. Itupun mujur keluarga Dato Idris tak setuju untuk laporkan tentang kehilangan Husna, kalau tidak dah tentu pihak polis dapat kesan sesuatu dan benda tu bukan sahaja akan menyusahkan kamu seorang tetapi Resort saya akan terpalit sekali!"

MR PIRATEDär berättelser lever. Upptäck nu