Bab 10

166 12 1
                                    


MATANYA sembab lagi akibat mengenangkan anaknya yang seorang itu sudah pergi menghadap Ilahi. Anak kecil yang berada di dukungannya tertidur dek ayunan tubuhnya. Ini adalah cucunya yang pertama.

Dia bukan tidak meredai pemergian anaknya itu, tetapi keadaannya sebelum masuk ke wad bersalin itu menyayat hati. Terlayar semula adegan-adegan suaminya juga masuk ke wad kecemasan dengan bantuan oksigen.

Khadijah pula waktu itu, masih bersekolah agama di Maahad Al-Majid. Khadijah tidak pernah mengeluh dengan apa yang dia hadapi. Dia hanya laluinya walaupun perit berpihak padanya setiap kali.

Walaupun tidak meluah, tetapi wajahnya jelas dia terluka. Matanya sentiasa sembam kerana air mata yang berjurai tiap kali malam menjelma. Mengenang suami yang jauh tidak memikirkan perasaannya langsung.

“Assalamualaikum, mak!”

Lamunan Mak Som terhenti apabila ketukan di pintu utama menganggu. Perlahan tubuh kecil itu diletakkan ke atas katil. Kemudian, dia berlari anak ke arah pintu.

Perlahan pintu dibuka.

Wajah yang lembut tadi bertukar tegas. Dia tidak segera membuka pintu gril. Sebaliknya, dia hanya merenung tajam ke arah wajah menantunya. Malik.

“Mak. Maafkan, Malik.”

“Mana kau pergi Malik? Kenapa kau tinggalkan isteri kau terkontang-kanting? Dosa apa yang anak aku dah buat dekat kau Malik sampai kau layan dia macam ni?”

“Tak... dia tak buat dosa apapun dengan Malik mak. Dia isteri yang baik. Malik yang bodoh.”

“Sudahlah Malik. Kamu maki atau mengaku salah kamu, tiada yang membezakan. Dia tetap dah pergi.”

“Saya nak bawa balik anak saya.”

“Tak. Mak tak akan benarkan. Jangan kamu nak putuskan pula keturunan arwah ayah kamu. Mak tak akan serahkan dia kepada kamu, selagi mana kamu belum kahwin. Muktamad.”

Pintu dihempas hampir terkena batang hidung Malik. Nasib saja pintu gril tidak dibuka. Mungkin ini bukan masa yang sesuai untuk meminta maaf.

Dengan hati yang berat, dia menjauhi pintu gril itu lalu melangkah ke arah keretanya. Sungguh dia tidak bermaya lagi. Dia memilih langkah yang salah untuk mencintai. Dan kini, membuktikan bahawa duit dan kekayaan tidak boleh membeli kasih sayang.

Punggungnya menghempas ke tempat duduk pemandu. Lambat-lambat kakinya diangkat masuk ke kereta. Badannya terasa lesu. Mungkin sebab berlumba-lumba mahu kejar waktu balik. Dia terpaksa memakai tiket penerbangan umum kerana tambangnya yang mengikut badget.

Sesampainya di rumah, dia masuk ke rumah itu. Terasa lagi aura Khadijah yang masih hidup di rumahnya. Akhirnya, air matanya gugur lagi. Rasa penyesalan masih memeluk tubuhnya. Terus diatur kakinya ke ruang tamu.

Begnya juga masih ada di ruang tamu. Tidak sempat dibawa ke atas. Tubuhnya sangat lelah.

Matanya terarah ke peti ais. Dia bangun dari duduk lalu mengatur langkahnya ke arah peti sejuk. Buka saja peti sejuk, tangisannya kembali pecah apabila melihat kek coklat yang masih utuh tidak bersentuh sejak tiga hari yang lalu.

Di atas kek tertulis namanya dan nama panggilannya sebagai ‘ayah’ dalam keluarga kecil itu. Dia mencapai satu garpu lalu dibawa kek itu bersama ke meja makan. Pisau kek dicapai lalu memotongnya.

Kelakuannya disulamkan air mata jantan yang dari tadi membasahi pipinya. Terasa rugi hidupnya tatkala ini. Mensia-siakan orang yang lebih mencintainya daripada dirinya sendiri. Yang sanggup mengorbankan air mata untuknya. Apa yang aku fikir sebenarnya? Sempat dia bermonolog dalam kalbunya.

HAWA AL-FATEH [OG]Where stories live. Discover now