"Saya terserempak dengan Eshal lepas ke tandas tadi. Tak sangka pula dia ada."

Eshal tak suka menghadap orang baru yang mengenali keluarganya. Dia penat berlakon. Eshal tahu, orang lain juga penat berlakon. Tapi, Eshal tetap paksa angkat wajah. Sebaik sahaja melihat isi ruang tamu itu, Eshal tergamam.

Pelamin ringkas yang dihias cantik. Kirana berbusana baju melayu moden berwarna merah jambu sedang duduk penuh ayu. Ada beberapa jenis hantaran yang dihias cantik, elok terletak di atas dulang. Dan di atas satu dulang kecil itu, jelas terpampang satu kotak cincin yang ternganga.

Tanpa sesiapa menjelaskannya, Eshal cukup faham apa yang sedang berlaku. Ini majlis merisik atau pertunangan Kirana. Dan dia tak tahu langsung!

Mata berlaga dengan Wafiy yang jelas terkejut wajahnya. Kemudian bertukar dengan rasa serba-salah seperti baru tertangkap buat kesalahan. Wajah Eshal terus berubah dingin. Dia kalihkan pandangannya ke arah ahli keluarganya yang lain. Semua terkejut tapi cuba untuk mengawalnya. Semua pasti menyangka dia tidak akan muncul pada hari ini.

Dan Eshal juga tak menyangka semua ini terjadi tanpa pengetahuannya. Mereka sengaja belakangkannya! Mereka khianati dia. Eshal tak kesah kalau rasa khianat itu datang daripada ahli keluarganya sendiri sebab itu bukanlah sesuatu yang pelik.

Tapi bukan dari Wafiy! Sungguh dia tak sangka Wafiy sanggup tikam dia dari belakang. Kenapa? Takut dia hancurkan majlis pertunangan ini? Begini rupanya nilai persahabatan mereka di mata Wafiy.

"Eh, Eshal! Kenapa tak cakap nak balik? Saja la Shal ni nak surprisekan kami. Sanggup dia fly jauh-jauh semata-mata nak tengok kakak dia bertunang. How was Paris, darling?" Datin Hasnita meluru ke arah Eshal. Dipeluknya Eshal dengan penuh kasih sayang. Kedua-dua pipi anak gadis itu juga dicium.

"Good." Eshal membalas separuh hati. Skrip sudah dicipta. Dan dia hanya perlu menjadi boneka mengikut rentak mereka seperti selalu. Hanya ketika ini, dia mendapat kasih sayang seorang ibu.

"Alhamdulillah. Dapat juga Eshal ikut serta majlis tunang kakak kembar dia." Wanita yang mengeheretnya tadi berkata. Sekarang Eshal tahu itu adalah ibu Wafiy.

Adik kembar Kirana. Itulah identiti yang selalu dibawanya sejak lahir. Takdir juga seperti mahu mempermainkannya. Tarikh lahir Eshal dan Kirana hanya berjarak dua hari. Dan ketika Kirana dilahirkan, dihebahkan pasangan suami isteri itu mendapat sepasang kembar tak seiras. Semuanya hanya untuk menutup aib pewaris syarikat hartanah berpengaruh di Malaysia yang menghamilkan perempuan lain di luar nikah.

Damage control yang dipeta sepenuhnya oleh Tan Sri Ghazi. Itu adalah aib yang bakal meruntuhkan legasi keluarga mereka andai diketahui oleh musuh. Dia pastikan tiada cacat cela. Sebab itulah Eshal dan arwah mama selama-lamanya terbelenggu dengan keluarga ini. Itulah harga yang harus dibayar mama setelah terlibat dengan golongan berpengaruh seperti mereka. Eshal diperlukan hanya untuk menjadi bukti untuk menafikan segala khabar angin.

"Kira tak cakap adik kembar Kira cantik macam ni. Nasib baik anak teruna umi semua dah kahwin. Kalau tak, mahu umi pinang dia sekali." Pecah ketawa isi rumah dengan gurauan itu. Ada ketawa ikhlas. Ada juga pura-pura ketawa. Ada juga yang tak mampu ketawa seperti Eshal.

"Jom duduk, sayang. Mereka baru tengah berbincang," kata Datin Hasnita seraya menarik Eshal untuk duduk dengannya.

Eshal tak mahu! Dia mahu memberontak, tapi kakinya tetap patuh. Dia lemah! Dia tak mampu mengikut rasa hatinya bila berhadapan dengan situasi seperti ini. Dan dia bencikan dirinya yang lemah. Sekali lagi dia diheret. Kali ini mengikut Datin Hasnita pula. Dipaksa untuk menyertai majlis pertunangan yang dia tak tahu langsung itu.

Lelaki AstatineWhere stories live. Discover now