BAB 12

10.8K 1K 44
                                    

-not-edited-

BAB 12

Eshal buat keputusan untuk singgah di rumah agam papanya. Kali ini, bukan sebab diseru oleh datuknya tapi sebab dia tertinggal sesuatu. Nak taknak dia kena dapatkan juga. Dah beberapa hari dia pasang niat untuk pulang, tapi ada saja halangannya. Sekarang baru berkesempatan.

Ketika keretanya meluncur masuk ke perkarangan rumah, rasa pelik menjengah. Ada beberapa buah kereta yang tak pernah dilihatnya terparkir. Buatkan Eshal terpaksa meletak keretanya sedikit jauh ke belakang.

Dalam hati tertanya-tanya, siapa yang datang? Kawan-kawan papa? Kawan-kawan isteri papa? Tapi, kereta-kereta itu hanya biasa-biasa saja. Bukan jenis harga hampir cecah tujuh angka seperti golongan yang selalu bergaul dengan mereka.

Meskipun begitu, Eshal tetap melangkah masuk. Mungkin kalau dia guna pintu belakang, tiada sesiapa yang sedar dengan kehadirannya. Dia pun bukannya mahu singgah lama. Cuma mahu mengambil tote bag dia yang mengandungi beberapa barang keperluannya. Lepas tu, terus cabut.

Perlahan-lahan Eshal tarik pintu belakang rumah itu. Kebiasaannya bibik memang tak kunci memandangkan sekuriti rumah itu sudah cukup ketat mengalahkan penjara. Tiada lagi pencuri berjaya pecah masuk melainkan bakal jadi arwah dulu gara-gara terkena renjatan eletrik dari pagar tinggi yang dibina.

Berjaya. Lega rasa hati Eshal. Bayang bibik-bibik pun tiada. Dia cepat-cepat mengatur langkah untuk ke tangga. Baru dia dengar sayup-sayup suara orang ramai berbual di ruang tamu. Orang-orang gaji rumah itu pula sedang menyiapkan meja makan panjang untuk menjamu tetamu. Boleh tahan ramai juga.

Eshal tahu kalau dia mahu ke tingkat atas, dia harus lalu kawasan itu. Dan pasti semua tumpuan akan beralih kepadanya. Dia kalau boleh, tak mahu terlibat langsung dengan apa-apa yang terjadi di ruang tamu itu. Memunculkan diri di hadapan orang lain ketika bersama keluarga merupakan pantang larang terbesar Eshal.

Eshal berfikir sejenak. Terhendap-hendap dia memikirkan jalannya. Kemudian dia buat keputusan untuk suruh salah seorang orang gaji rumah ini saja untuk mengambilnya. Kalau bibik yang naik ke atas, pasti tiada yang syak apa-apa.

Baru saja Eshal mahu memanggil orang gajinya, pintu bilik air di belakangnya tiba-tiba terbuka. Buatkan Eshal terus berpaling ke arah itu. Terkaku. Wanita separuh umur yang melihatnya juga turut terkaku. Mereka saling berpandangan. Eshal tak tahu nak buat apa.

Tertangkap.

"Kamu ni siapa?" Wanita itu bertanya Eshal.

Kelu lidah Eshal untuk menjawab. Terlintas dalam kepalanya, mahu saja mengaku bibik. Tukar slang bahasa jadi Jawa atau Indonesia. Atau nak senang guna saja tangan. Hentam sajalah bahasa isyarat.

Namun, wanita di hadapannya itu terlebih dahulu bersuara. Wajah seolah-olah baru sedar sesuatu.

"Oh, kamu ni mesti kembar Kirana. Eshal, kan?"

Tak angguk, tak juga geleng.

"Lain betul ya kamu dengan Kirana. Betul-betul kembar tak seiras. Tapi tetap cantik," komen wanita itu lagi sambil melihat Eshal dari atas sampai bawah. Dia senyum manis.

Eshal juga paksa senyum.

"Jomlah kita ke depan. Semua ingat kamu tak boleh datang. Kamu baru balik dari Paris ya?" Belum sempat Eshal membalas apa-apa, tangannya diheret. Lalu dia seperti lembu dicucuk hidung hanya mengikut. Sungguh otak sudah tersumbat ketika ini. Sudahlah dia tak faham langsung apa yang wanita itu cakap. Wanita itu pun dia tak kenal gerangan siapa. Tapi macam pernah dilihat.

Dada Eshal sudah berdebar. Sebaik sahaja mereka muncul di ruang tamu, suasana terus bertukar sepi. Eshal pula telan liur. Masih mencari jalan untuk cepat-cepat keluar dari sini.

Lelaki AstatineWhere stories live. Discover now