BAB 42 | DENDAM CINTA 2

3.7K 172 31
                                    

"APA NI?" Mata Iqbal membulat. Sehelai sampul surat bewarna coklat bersaiz A4 dipandang tanpa kedip. Tidak perlu melihat isi di dalam, Iqbal sudah dapat menebak apa yang lelaki itu mahukan daripadanya.

Sekonyong-konyong, Harraz melepaskan tawa. Geli hati melihat reaksi orang upahan Marissa itu.

"Bukan Marissa suruh kau siasat pasal aku? Ini... aku dah mudahkan urusan kau," beritahu Harraz, tidak bertapis. Kopi yang mula suam di atas meja dicicip selamba. Bahang di warung tepi jalan ini buatkan dia ingin cepat-cepat beredar. Panas!

"Maaf, tapi Cik Ris minta saya siasat pasal teman lelaki Cik Orkid, iaitu Encik Harraz Damian. Saya minta diri dulu." Enggan bertangguh, Iqbal ambil keputusan untuk pergi. Bukan dia tak kenal lelaki yang sedang duduk semeja dengannya itu. Harraz Daniel, pewaris kekayaan Dato Imran selain abangnya, Damian.

Entah apa motif Harraz ingin berjumpa dengannya, Iqbal tak pasti. Yang Iqbal tahu, dia perlu selesaikan kerja yang diberikan oleh Marissa kepadanya secepat mungkin. Makin lama dia bertangguh, upahnya juga akan lambat sampai ke tangan.

"Adik kau menghidap kanser paru-paru. Jadi, kau mesti perlukan duit untuk tampung kos pembedahan dan ubat-ubatan dia selepas tu. Sekarang aku nak tanya kau, cukup ke upah yang Marissa bagi untuk kau tampung semua kos adik kau nanti? Itu tak termasuk duit sewa rumah yang dah berbulan tertunggak. Kau nak tengok adik kesayangan kau merempat lepas dia keluar hospital?"

Pegun.

Langkah Iqbal mati di situ juga. Keringat pemuda itu membasahi di sekitar dahi. Dalam kepala, gambaran gelak tawa si adik memenuhi ruang minda. Iqbal tak mahu tawa sang adinda pudar jika dia tak mampu menyediakan tempat tinggal yang selesa buat mereka selepas adiknya dibedah nanti.

"Tapi kau tak perlu risau. Aku boleh tolong... dengan syarat, kau buat apa yang aku suruh. Aku bukannya minta kau buat kerja haram... cuma serahkan sampul ni pada Marissa. Tugas kau selesai bila pelan ni berjaya. Dan selepas itu, bil hospital, ubat adik kau dan duit sewa rumah, aku akan tanggung. Kerja kau mudah Iqbal. Kau tak payahlah nak sombong kalau ada yang sudi membantu. So, macam mana?" Menyinis, itulah personaliti Harraz. Menggunakan kelemahan manusia sebagai satu umpan agar apa yang dirancangnya membuahkan hasil.

"Take it or leave it." Harraz menambah lagi. Sengaja memberi tekanan kepada pemuda itu. Melihat sepi dari Iqbal, Harraz sudah dapat meneka keputusan yang bakal dibuat oleh jejaka tersebut.

Iqbal menarik nafas dalam-dalam. Dia dilema. Sepatutnya dia bekerja untuk Marissa bukannya Harraz. Tapi keadaan buat dia sangat tersepit. Kerana tidak mahu adiknya turut sama menanggung beban, Iqbal harus berkorban.

"Saya cuma perlu serahkan sampul ni pada Cik Ris saja, kan?" Kepastian, itu yang Iqbal mahukan. Kalau Harraz menyuruh dia buat kerja kotor, awal-awal dia akan tarik diri.

Penuh angkuh, Harraz mengangguk sekali. Sampul tersebut ditolak pada Iqbal.

"Pastikan Marissa tak tahu tentang Damian." Sebelum beredar, sempat Harraz berbisik di telinga Iqbal. Sehelai not lima puluh ringgit turut diberi kepada lelaki itu.

Cuma dari jauh Iqbal memerhati langkah penuh bergaya Harraz. Lelaki itu memang seorang manusia bongkak. Orang-orang seperti dia cuma dipandang sebelah mata. Terasa hinanya diri sehingga buku lima dikepal kuat. Kalau tak kerana si adik, Iqbal tidak akan pilih jalan ini.

"Maafkan saya, Cik Ris."

══════⊹⊱❖⊰⊹══════

TERDUDUK.

Kalau bukan Adam yang menyambut, sudah lama Marissa terjelupuk di atas lantai kafe itu. Spontan, mulutnya ditekup. Dia terkejut. Perbuatan Harraz itu benar-benar di luar kewarasan dia. Teganya Harraz memalsukan kematian Dee, kemudian merancang pula agar mereka bertemu. Mempergunakan Iqbal dan adiknya sebagai satu senjata agar Marissa jatuh semula dalam dakapannya. Sukar untuk Marissa zahirkan perasaanya tika ini.

3.0 | DENDAM CINTA 2 [OG]Where stories live. Discover now