BAB 39 | DENDAM CINTA 2

Start from the beginning
                                    

Marissa merana.

Marissa disakiti.

Damian mahu lihat Marissa sengsara saat mengetahui dirinya diperbodohkan selama ini. Dengan cara itu, kesumat yang merantai hati akan turut terbalas.

"Apa salah aku kat kau orang berdua hah? Kenapa kau sanggup buat aku macam ni? Disebabkan aku tolak cinta Damian, aku perlu terima semua ni? Hei, kau tahu tak abang kau pernah cuba perkosa aku? Aku hampir hilang semuanya disebabkan nafsu serakah abang kau yang tak guna tu!" Kaki melumpuh, tak semena-mena, tubuh terhempas perlahan di atas jalan. Dada ditepuk kasar, menghikayatkan rodan yang bermukim dalam sanubari. Sakit!

Zap! Pandangan Harraz gelap sesaat.

Harraz ternanap. Kelu seribu bahasa. Tak berkelip dia merenung Marissa yang sudah terhinggut sebu.

Perkosa?

Dia tak salah dengar, kan? Damian pernah cuba merogol Marissa? Kenapa Harraz tak pernah tahu akan perihal tersebut? Demi Tuhan, dia tak tahu semua itu!

"Damian... cuba rogol kau?" Persoalan itu terzahir keluar dari bibir. Bertinggung di hadapan Marissa, kedua-dua belah bahu wanita itu dipegang kejap.

Tangisan Marissa makin kuat. Dia menepis sepasang tangan yang mendarat lama di atas bahunya. Mata jernihnya mula memerah seperti biji saga. Terlalu marah!

"Memang abang kau pernah nak rogol aku! Aku rasa Damian tak pernah cerita pasal hal ni pada kau, kan? Sebab abang kau tak nak tembelang dia pecah depan adik dia sendiri. Sebab tu jugak, dia sanggup buruk-burukkan aku pada kau. Kononya tercabar sebab aku tolak cinta dia. Hei, kalau dah perangai abang kau tu serupa iblis, takkan ada seorang perempuan punlah yang boleh terima dia!" Nampak nafas Marissa makin tak sekata. Berjurai-jurai cecair ratna membanjiri tulang-tulang pipi.

Menelan liur secukupnya dengan kenyataan itu, dengkul lemau di hadapan Marissa. Tika ini, Harraz sedang melutut. Dia masih terkejut dengan omongan wanita itu. Marissa berkata benar atau sang kekasih sengaja mengada-adakan dongeng?

"Aku ingatkan kau dengan Damian lain. Tapi aku silap. Dah nama pun adik-beradik, kan? Perangai tak ubah macam binatang!" Mata dipincangkan bengis ke arah Harraz yang menunduk. Netra yang berkaca tadi bertukar kepada lahar berapi.

Ketandusan aksara, Harraz hanya mampu menyapu wajah. Otak enggan mencerna setiap butir yang keluar dari mulut Marissa. Separuh hati ingin menafi hakikat itu, tetapi saat terngiang semula bicara Marissa yang sarat dengan lara, maka kehakikian itu Harraz perlu terima. Damian sudah melampau!

"Sumpah aku tak tau, Ris. Aku minta maaf. Aku bodoh sebab ikut semua kehendak Damian. Aku... aku sakit hati bila dapat tahu kau tolak cinta abang aku. Aku nampak Damian kecewa. Tapi aku tak sangka itu semua helah Damian untuk tutup kesalahan dia pada kau." Bingkai pandangan Harraz berkolam hangat. Makilah dia. Marahlah dia. Harraz akur jika dia perlu hadap api kemarahan Marissa.

Marissa tergelak pedih. Hatinya sudah nanar dengan omongan Harraz. Lelaki itu berbicara seolah dirinya pula yang menjadi mangsa.

"Kenapa kalau kau tahu pun? Kau nak betumbuk dengan Damian? Sudahlah, Harraz. Aku muak nak dengar alasan kau. Kalau dari dulu kau cakap yang kau sukakan Dee, aku masih boleh terima. Aku rela undur diri. Tapi kenapa kau pilih untuk buat aku macam ni? Puaslah hati kau tengok aku merana? Dah terbalas dendam abang kau tu?" Bibir bergetar menahan esakan. Cukuplah, sudah banyak air mata yang dibazirkan gara-gara pengkhianatan si teman dan kecurangan Harraz.

Duri yang mencucuk tangkai hati tak mampu Marissa tanggung lagi. Pedihnya tak terperi. Bukti, air mata duka yang menjadi saksi.

"Aku kena tipu dengan kawan baik aku sendiri. Dee sanggup khianat aku demi dendam kau, Harraz. Sekarang, semua dendam kau dah terbalas. Hati aku sakit. Ini yang kau dan Damian nak, kan? Bodohnya aku sebab percaya pada kau orang berdua. Sampai kau dengan Dee buat onar belakang aku pun... aku tak sedar. Isn't that funny?" Di hujung ayat, Marissa ketawa.

3.0 | DENDAM CINTA 2 [OG]Where stories live. Discover now