BAB 34 | DENDAM CINTA 2

Start from the beginning
                                    

"Siapa yang hipokrit tu, mama?" Entah dari mana muncul, tuan empunya suara kian menghampiri mereka semua. Harraz berserta lagi seorang lelaki, Damian bersama anak lelakinya.

Dee kemam bibir rapat-rapat. Air matanya mengalir tanpa dapat dia tahan lagi. Hatinya tersiat dengan bicara Datin Kalsom. Benci sangatkah wanita itu terhadapnya?

Aini di tepi mula jatuh simpati. Diusap bahu temannya berkali-kali. Dia faham apa yang Dee rasa, apa yang Dee lalui.

"Kamu tak payah berpura-pura tak tahulah, Harraz. Kamu dengan dia, dua kali lima saja," sindir Datin Kalsom. Pincing anak matanya menikam wajah terkulat Harraz. Kena sedas di batang hidungnya.

"Mama, benda dah lama kan? Tak perlulah nak ungkit balik." Harraz mengeluh. Bukan tak faham apa yang Datin Kalsom maksudkan.

"Benda dah lama pun kamu ingat senang-senang macam tu aje orang lupa? Lainlah otak kamu tu biul, memang mudah lupalah jawabnya." Entah apa yang tak kena dengan Datin Kalsom hari ini, tiba-tiba saja modnya berubah. Agaknya masih bengang dengan kehadiran tidak berjemput menantunya itu.

Mahu tak mahu, Harraz perlu akur dengan kemarahan mamanya. Sudahnya, dia cuma diam dan kunci mulut. Itu lebih baik daripada dia berlawan mulut dengan Datin Kalsom. Memang takkan menang!

"Mama... mama sihat?" Kali ini Damian pula yang mencuba. Mana tahu, kerana dia anak lelaki wanita itu, Datin Kalsom akan lembut hati.

"Ini lagi sorang. Kamu nampak aku ni macam orang tengah nazak, ke? Dah bertahun-tahun tak balik, baru sekarang nak tanya khabar?" Anak tak anak. Datin Kalsom sembur saja kalau dia naik angin. Tambahan pula anaknya yang seorang ini sering bikin kepalanya pusing. Makin bertambahlah bara dalam hati.

Mengucap panjang Farah di sebelah. Belum pernah dia tengok mamanya marah sampai macam ni sekali. Terbit rasa kasihan dalam diri melihat muka keruh abang dan kakak iparnya. Pasti mereka berdua terasa hati. Dia yang menjadi pendengar saja pun boleh kecut perut. Inikan pula tuan badan yang disindir.

"Ian tahu mama marah. Tapi ma, perkara dah lama jadi. Tak boleh ke mama maafkan Ian dan Dee?"

Datin Kalsom mencemik. Dia bukanlah benci anaknya ini. Cuma dia terkilan dengan sikap anak menantunya. Buat keputusan langsung tak fikir pasal orang lain. Mahu fikir baik buruk, lagilah jauh sekali.

"Senang kamu bercakap kan, Damian?"

Keluhan dilepaskan bosan. Inilah salah satu sebabnya Damian enggan pulang ke Malaysia. Mamanya tidak habis-habis mahu mengungkit. Namun apa yang Datin Kalsom katakan ada benarnya.

"Mama nak Ian buat apa lagi supaya mama maafkan kami?" Punggung Daiyan ditepuk perlahan tatkala anaknya mula merengek kecil.

Datin Kalsom terdiam sebentar sebelum kembali mencerlung ke arah Damian. Kalau tak difikirkan besannya ada sekali, mahu dibidas anak lelakinya cukup-cukup.

"Kamu betulkan semula keadaan yang dah kucar-kacir. Bagitahu Marissa perkara sebenar tentang hubungan kamu dengan Dee. Harraz, mama nak kamu jujur dengan Marissa tentang apa yang berlaku antara kamu dengan dia. Termasuklah pasal perempuan ni." Tuding jari ke arah Dee, Datin Kalsom kembali menajamkan tatapannya kepada tiga orang pesalah yang sedang menunduk.

Liur terasa kesat hendak ditelan. Dee dan Damian saling berpandangan. Serentak itu juga mereka menghantar renungan kepada Harraz. Kelihatan lelaki itu masih kekal mengunci diri.

"Perlu ke, ma? Perkara tu dah lama berlalu. Ian rasa lebih baik kita diamkan saja. Kalau Ian bagitahu perkara sebenar pun, takkan dapat ubah apa-apa. Dee dan Ian dah berkahwin. Dah ada anak pun."

Mudah Damian memberi solusi. Tanpa sedar, amarah Datin Kalsom semakin marak. Sebab itu dia kata anaknya yang sorang ni tak pernah fikirkan tentang orang lain. Buat keputusan hanya untuk kebaikan dirinya seorang. Langsung tidak memikirkan perasaan orang sekeliling.

3.0 | DENDAM CINTA 2 [OG]Where stories live. Discover now