BAB 08

1K 5 0
                                    

SYAHIRA mengeluh panjang. Dia mengekori langkah kaki Mama Zahara dengan perasaan yang tidak enak. Dia bimbang Mama Zahara terpedaya lagi dengan Irina. Dalam masa sama, dia pun yakin ada yang tidak kena dengan Irina. Irina yang dia kenal adalah pemberontak, bukan jenis menurut seperti Irina yang ditemuinya sebentar tadi.

"Kenapa dia berubah?" ajunya pada diri sendiri dan dia gagal mendapatkan jawapan. Lekas-lekas dia menyaingi langkah kaki Mama Zahara.

"Mak lang percayakan kata-kata Irina?" Penuh hati-hati dia melontarkan pertanyaan. Dia mahu memastikan bukan matanya sahaja yang mengesan perubahan Irina.

Langkah kaki Mama Zahara mendadak terhenti. Lirikannya tajam membalas sorotan mata Syahira.

"Sampai mati pun mak lang takkan percayakan perempuan gila tu."

"Tapi tadi mak lang berikan peluang pada Irina."

"Tak kuasa aku nak beri peluang pada perempuan gila tu," balas Mama Zahara sebelum kembali melangkah. Lebih deras. Sehingga Syahira terpaksa berlari-lari anak untuk mengejar langkahnya.

"Tapi mak lang perasan tak Irina nampak lain tadi?"

Kali ini Syahira berdiri di depan Mama Zahara. Menghalang terus wanita separuh abad itu untuk terus melangkah.

"Irina nampak lain sangat, mak lang." Bersungguh-sungguh Syahira mahu meyakinkan Mama Zahara. Malangnya apa yang dia dapat cumalah kerutan yang begitu dalam di atas dahi Mama Zahara.

"Takkan mak lang tak perasan?" desaknya penasaran.

"Lain yang macam mana? Mak lang tengok sama saja. Tak ada apa yang berubah. Jahat Irina tu tak pernah hilang."

Syahira memaut lengan Mama Zahara. Dia berjaya menghentikan niat wanita separuh abad itu untuk memasuki perut lif.

"Tak sama, mak lang. Selama ni mana pernah Irina bercakap baik-baik dengan mak lang. Dan kalau mak lang minta dia bercerai dengan Abang Harris, dia akan memberontak. Dia lawan cakap mak lang habis-habisan. Tapi tadi..." Ayat Syahira tidak habis. Dia teragak-agak untuk menyempurnakan kata-katanya.

"Tapi tadi apa?" bentak Mama Zahara, lengkap dengan jelingan yang semakin tajam. Dia tidak suka Syahira cuba berpihak pada Irina. Irina itu musuh. Musuh selama-lamanya.

"Tadi Irina pandang mak lang dengan lembut. Macam seorang anak sedang memandang emaknya dengan penuh kasih sayang. Suara Irina ketika bercakap dengan mak lang pun dah lain sangat. Irina dah tak terpekik-pekik. Dia langsung tak serupa dengan Irina yang saya dengan mak lang kenal."

Tidak ada jawapan balas daripada pihak Mama Zahara. Cuma nampak bibirnya tercebik-cebik. Mama Zahara nampaknya marah.

"Jangan-jangan sebab kemalangan tu, kepala Irina tu dah jadi tak betul. Sebab tu dia jadi macam tu, mak lang. Sebab tu dia nampak baik sangat tadi."

"Perempuan gila tu cuma berlakon. Kemalangan tu cuma pentas lakonan. Entah-entah, dia sendiri yang rancang kemalangan tu."

"Saya tak rasa dia berlakon, mak lang. Memang nampak sangat beza perangai Irina sebelum kemalangan dengan yang sekarang ni. Dan saya pun yakin Irina tak rancang kemalangan tu. Irina sendiri hampir maut. Takkanlah Irina tu bodoh sangat sampai nak bahayakan nyawa sendiri?" Bersungguh-sungguh Syahira mahu meraih kepercayaan Mama Zahara. Namun seperti tadi, dia masih berdepan dengan kegagalan.

"Kalau Irina tu terus jadi baik macam mana, mak lang? Kita perlu berdamai ke dengan dia?"

Mama Zahara menampar lengan Syahira. Dia semakin tidak senang mendengar kata-kata Syahira. Kalau Syahira belum lupa apa yang pernah Irina lakukan, dia takkan lupa. Semua kata-kata kesat Irina takkan hilang daripada memorinya.

"Hei, tua bangka! Kau jangan ingat aku tak tahu apa rancangan kau selama ni. Kau nak Farah berkahwin dengan Harris."

Dia terhenyak mendengar tekaan Irina. Dia sudah cukup berhati-hati. Bagaimana pula Irina boleh tahu tentang Farah?

"Boleh. Kau boleh jadikan Farah tak guna tu menantu. Tapi dalam mimpi." Irina ketawa kecil di hujung kata-katanya. Sekejap sahaja sebelum sorotan mata Irina bertukar tajam. Dia terpaksa berundur ke belakang setelah tiba-tiba sahaja Irina meluru ke arahnya. Irina menunjal dadanya dengan kuat. Sehingga dia jatuh terduduk.

"Dah tua bangka pun tak sedar diri lagi. Kubur tu dah lama panggil kau tahu. Sedar diri tu sikit. Fasal anak lelaki kesayangan kau tu, kau jangan risau. Aku akan jaga Harris 'baik-baik' sampai dia lupa dia ada mak."

Irina memang jaguh menyakitkan hatinya. Dia hilang sabar lagi. Dia tidak mendengar nasihat Syahira lagi supaya menganggap Irina tidak wujud. Siapa yang berada di tempatnya pun akan melenting kalau mempunyai menantu hantu seperti Irina.

"Aku tak pernah anggap kau menantu aku!" Berlaga-laga giginya. Bukan main tinggi lagi suaranya. Tidak dipedulikan jantungnya yang mula bekerja keras. Cuma dia harap sangat, jantungnya sihat. Jantungnya tidak jatuh sakit dengan segala kejahatan yang Irina pamerkan.

"Kau tak pernah jadi menantu aku. Kau tu sundal!" teriaknya lagi. Lebih keras. Biar Irina terluka. Sayang sekali, dia hanya menemukan wajah tenang Irina. Lebih parah, Irina sudah bertinggung di sisinya. Sorotan mata Irina seperti paku karat yang siap untuk membutakan matanya.

Pipinya ditepuk-tepuk. Irina yang menepuk-nepuk pipinya. Kemudian Irina mencari pinggir telinganya

"Aku pun tak pernah anggap kau sebagai ibu mentua aku. Boleh tak kau cepat sikit pergi mati? Sebab aku, dah tempah siap-siap keranda kau."

Bisikan Irina seperti ular sawa yang membelit lehernya. Irina membuatnya tidak cukup nafas. Sejak dulu sehingga sekarang!

Dia merengus mengenangkan kisah lama tersebut. Kisah yang jelas-jelas menunjukkan betapa buruknya perangai Irina. Sebab itu dia takkan percaya kalau Irina tiba-tiba bersikap baik dengannya. Irina pasti ada muslihat.

"Mak lang nak tengok drama apa dia nak buat selepas ni. Dia kata dia nak bercerai dengan Harris. Baik, mak lang akan pantau usaha dia nak bercerai dengan Harris. Cukup waktu dan dia belum juga bercerai, mak lang sendiri akan paksa Harris ceraikan perempuan gila tu."

Jadi setengah tidak percaya sorotan mata Syahira.

"Mak lang sungguh-sungguh ke ni nak lawan Irina? Mak Lang serius nak melancarkan perang dengan Irina?"

"Habis tu, takkan mak lang nak main-main pula selepas dia malukan keluarga mak lang lagi? Mak lang kena jadi tunggul kayu dan biarkan saja perempuan gila tu jatuhkan maruah mak lang? Maruah Harris?"

Tunduk kepala Syahira mendengar suara tinggi Mama Zahara.

"Kali ni mak lang takkan mengalah. Mak lang takkan berlembut macam dulu. Mak lang takkan biarkan perempuan gila tu pijak-pijak kepala mak lang. Zaman mak lang sekeluarga ditindas dah tamat!" luah Mama Zahara. Berapi-api. Takkan ada lagi yang namanya sikap beralah kalau berdepan perempuan segila Irina!

Nota Bonda PK :
R M 4 3 (SM) / R M 4 8 (SS)
*** Termasuk postage

Tiada di kedai buku. Jualan secara online sahaja. WhatsApp kami untuk menempah.
🛒 + 6 0 1 0  4 4 9  7 8 3 5

ATAU pesan terus melalui kedai SHOPEE kami.
Search ➡️ rumahPK.HQ

SELAGI STOK MASIH ADA‼️

You've reached the end of published parts.

⏰ Last updated: Feb 28, 2022 ⏰

Add this story to your Library to get notified about new parts!

SCANDALOUS | Best SellerWhere stories live. Discover now