BAB 07

781 10 0
                                    

DIA berdiri di tepi jendela bilik rawatannya. Kadang-kadang matanya melihat awan yang berarak tenang. Kadang-kadang melihat ragam manusia di bawah sana. Ini akitivi semasanya sementara menunggu dia dibenarkan keluar dari wad.

Tidak lama kemudian, pintu dibuka dengan kasar. Muncul seorang wanita separuh abad. Di sisi wanita separuh abad itu, berdiri seorang wanita yang jauh lebih muda. Mungkin sebaya dengannya. Mungkin juga lebih muda.

Lebih penting lagi, dia tidak mengenali mereka berdua. Namun nampaknya, kedua-dua wanita itu sangat mengenalinya. Mereka datang menemuinya dengan gaya seperti mahu melancarkan perang besar-besaran terhadapnya.

"Dah bangun pun perempuan sundal ni. Aku ingatkan kau dah mati. Tapi kenapa kau tak mati, ya?"

Apa dia tidak salah dengar? Sewenangnya sahaja wanita yang lebih berusia itu mengeluarkan kata-kata yang tidak sedap didengar.

"Mak lang, tak elok cakap macam tu."

Keningnya naik sebelah. Mak lang? Jangan-jangan mereka berdua ini saudaranya? Dan mungkin ketika dia belum hilang ingatan, dia banyak menyusahkan mereka. Sebab itu kedua-duanya berwajah bengis.

"Kau diam, Syahira. Kau jangan nak menangkan perempuan sundal ni. Aku memang nak ajar dia cukup-cukup. Aku tak faham kenapa bukan dia yang mati masa kemalangan tu? Kalau dia yang mati, Harris dah boleh bebas. Harris dah boleh dapat kehidupan dia semula."

Oh, dia salah perkiraan. Kedua-dua wanita ini bukan saudaranya. Rasanya dia sudah dapat menangkap siapa tetamu yang datang mengunjunginya. Yang berusia itu mama Harris, merangkap ibu mentuanya. Dan yang muda itu, pasti sepupu Harris.

"Kau memang memalukan! Tak sedar diuntung!"

Wanita separuh abad itu meluru ke arahnya lalu tanpa ampun lagi, dahinya ditunjal. Cukup kuat. Cukup bertenaga. Sehingga dia terdorong ke belakang.

"Mak lang, jangan buat kecoh macam ni. Kalau sampai ke pengetahuan Abang Harris, dia mesti tak suka."

"Habis tu mak lang nak buat apa dengan perempuan sundal ni? Berdiam diri saja? Butakan mata bila dia asyik berkepit dengan jantan lain?"

Nampak serba-salah wanita yang dipanggil Syahira tersebut.

"This is a disaster! Kita ni golongan ternama. Golongan yang dipandang tinggi. But that... that 'creature' constantly embarrassed this family!" Jari telunjuk ibu mentuanya tepat terarah padanya. Ya ampun, dia tidak tahu mahu memberi reaksi apa? Dia sendiri malu dengan sikapnya yang dulu.

"Mak lang, dahlah. Kalau mak lang marah-marah macam ni, tak elok untuk kesihatan mak lang."

Matanya melekat pada Syahira. Syahira lebih tenang. Rasanya kalau Syahira tidak ada sekali menemani ibu mentuanya, pasti sudah lunyai dia dikerjakan.

"Apalah dosa mak lang sekeluarga sampai dapat menantu perangai hantu? Elok-elok Harris bercinta dengan Farah, tapi perempuan sundal ni datang dan rosakkan semuanya!"

Melorot jatuh tubuh ibu mentuanya. Bergetar bahu ibu mentuanya. Demi Allah, pemandangan yang terhidang di depan matanya meresahkan hati.

"Mak lang dah buat dosa apa, Syahira? Siang malam mak lang berdoa supaya perempuan sundal ni mati, tapi kenapa dia kebal sangat? Mak lang tak boleh bayangkan kerosakan apa lagi dia akan buat selepas ni?"

Mendayu-dayu suara ibu mentuanya. Syahira terpaksa memeluk erat wanita separuh abad itu demi menenangkannya.

"Saya... saya akan bercerai dengan Harris," katanya. Meskipun suaranya sedikit tenggelam-timbul, namun dia serius. Dia ikhlas menuturkan ayat tersebut. Setelah mengetahui apa yang Irina lakukan sebelum ini, dia juga malu untuk terus menjadi isteri kepada Harris Al-Kahfi.

SCANDALOUS | Best SellerWhere stories live. Discover now