BAB 5

5.3K 595 236
                                    

Kedengaran esakan kecil keluar dari bibir Airish. Badannya menggigil ketakutan. Tambahan pula, kedinginan yang mencengkam sehingga ke tulangnya menyebabkan badannya terketar.

Dari tadi, dia tercari-cari jalan pulang ke rumahnya. Ingin bertanya orang lain tetapi seorang pun dia tidak jumpa.

"Ya Allah! Entah dah berapa lama aku berjalan tanpa hala tuju," getusnya dengan suara yang tersekat-sekat. Dia dibuang bagaikan sampah!

Jikalau dia tidak buta, semestinya dia boleh pulang tanpa bantuan sesiapa tetapi ini sebaliknya.

Tanpa sedar, kakinya menuju ke arah lorong gelap. Bunyi lolongan anjing yang entah dari mana menambahkan lagi ketakutan yang sudah sedia ada dalam dirinya.

Lututnya lemah longlai. Dia terlalu penat berjalan. Tanpa memikirkan nasibnya, dia terus duduk mencangkung di tengah-tengah lorong gelap itu. Mukanya pula disembamkan pada kedua-dua belah pahanya.

"Ke... kenapa awak buat saya macam ni Aryana?" Airish tersedu-sedan. Air matanya lebat membasahi pipi. Dia termenung. Bagaimana dia mahu pulang? Tongkatnya pula ditinggalkan di rumah.

Sungguh dia menyesal kerana mempercayai Aryana, rakan satu universitinya dahulu. Kenapa disebabkan hal itu, Aryana terus membencinya?

Bunyi derapan kaki menyentak lamunannya. Kalut dia berdiri semula. Baru sahaja dia ingin menghembus nafas lega kerana masih ada orang lalu-lalang di situ.

Namun bunyi siulan nakal dari seseorang menyebabkan tubuhnya kejung. Dia seperti patung cendana. Dia langsung tidak tahu ingin melakukan apa.

"Si... siapa tu?" Airish bersuara. Kakinya mula mengundur ke belakang. Hatinya mulai resah.

"Hai si cantik! Boleh abang temankan?" soal seorang lelaki bersama senyuman nakal yang dikenali sebagai Daud. Kawannya yang lagi empat orang hanya menghamburkan tawa.

Airish tergamam. Rupa-rupanya bukan seorang yang berada di hadapannya sekarang. Perasaan takut mula bertandang di dalam hatinya. Sedar bahawa dirinya dalam bahaya.

Daud memberi isyarat kepada salah satu rakannya yang berbadan kurus dan berwajah cengkung yang bernama Iddin untuk mendekati Airish.

"Jom! Abang temankan," ujar Iddin. Dia tersenyum sumbing.

Setapak demi setapak dia mendekati Airish. Setelah itu, haruman rambut Airish dihidu sedalam-dalamnya. Menggeletar tubuh Airish.

"Jangan sentuh saya!" Airish menepis tangan lelaki itu. Dia cuba untuk menolak lelaki itu namun sedikit pun lelaki itu tidak berganjak.

"Jangan harap kau dapat lari!" Iddin memberi amaran lantas tangannya mengunci pergerakan Airish.

"Lepaskan saya! Tolong!" jerit Airish meminta pertolongan. Air matanya pula sudah bercucuran. Berkali-kali dia cuba untuk melepaskan diri tetapi pegangan lelaki itu terlalu kuat.

Daud dan rakannya yang lain mula mengerumuni Airish membentuk bulatan. Airish yang tidak tahu apa-apa hanya mampu berdoa di dalam hati.

Puas dia meraung dan merayu namun mereka langsung tidak terkesan dengan rayuan Airish.

Bang!

Satu das tembakan dilepaskan di udara oleh seseorang. Terpancar api kemarahan di dalam anak mata jejaka itu.

Dia berpakaian kemeja lengkap bersama dengan kot seakan baru sahaja pulang dari pejabat.

Serentak mereka berpaling ke arah bunyi tembakan itu. Pada awalnya terselit ketakutan di dalam hati mereka namun melihat jejaka itu hanya berseorangan menyebabkan hati mereka sedikit lega.

Mrs. AydenWhere stories live. Discover now