TAK ADA CINTA SEPERTIMU

By dearnovels

333K 2.3K 177

WHATSAPP 013 2588069 www.dearnovels.my Tajuk: TAK ADA CINTA SEPERTIMU Penulis: ANNA MILIA ISBN: 978-967-2116... More

BAB 1
BAB 2
BAB 3
BAB 4
BAB 5
BAB 7
BAB 8
BAB 9
BAB 10

BAB 6

28K 176 5
By dearnovels

ATHEA menghubungi Hazran. "Encik Hazran, saya nak keluar ni, cadang tu nak ambil Qaleef sekali."

"Eh! No need. Dia sedang main dengan Smokey tu. Nanti saya hantar dia."

"Kebetulan saya memang nak keluar cari makanan. Itu yang nak singgah ambil dia."

"Kalau macam tu, okeylah."

Athea singgah di rumah Hazran setelah membeli makanan. Untuk lelaki itu, dia memesan nasi goreng ikan masin. Kononnya, sebagai ucapan terima kasih kerana membenarkan Qaleef bermain dengan Smokey.

Tiba di rumah Hazran, Athea menyuruh Qayyum memanggil Qaleef dan memberikan makanan kepada Hazran.

"Nah, mama suruh bagi ni kepada abang." Qayyum menghulurkan bungkusan nasi goreng kepada Hazran.

Hazran sedikit terkejut. "Apa ni?"

"Nasi goreng."

"Terima kasih, Qayyum."

"Mama pun ucap terima kasih sebab jaga Qaleef."

Memandangkan makanan dan ucapan terima kasih dikirim melalui Qayyum, Hazran tahu Athea tidak mahu menemuinya. Dia menapak ke kereta.

Athea terpaksa menurunkan cermin kereta. Dia senyum terpaksa kepada lelaki itu. Segan nak bersemuka dengan Hazran apabila dia merasakan wajahnya tidak menepati piawaian diri sendiri. Tudung pula main tangkap muat sahaja mana yang tidak perlu diseterika.

"Terima kasih untuk makanan ni," ujar Hazran sambil mengangkat bungkusan makanan separas mata Athea.

Athea mengangguk. "Sama-sama."

"Qaleef mana ni? Tak datang-datang lagi?" Athea bertanya.

Sungguh, dia tidak selesa berada lebih lama di hadapan rumah Hazran lebih-lebih lagi pada waktu malam.

"Dia ke tandas. Sekejap lagi keluarlah."

Athea membuka pintu kereta. Segan pula dia berbual dalam keadaan dia duduk di dalam kereta sementara Hazran terpaksa berdiri di luar.

"Awak tak masak ke?" tanya Hazran sambil melirik pada susunan bekas makanan berbungkus beg plastik yang berada di tempat duduk belakang.

Dia sekadar memanjangkan perbualan sementara menunggu Qaleef.

Athea senyum. Malu apabila Hazran bertanya soalan itu. Rasa macam dia seorang ibu yang pemalas. "Hari ni saya balik lambat sikit. Tak larat dah nak masak."

"Awak kerja kat mana?"

"Saya kerja sebagai interior designer di Mekarsary Design."

Bingo! Tepat tekaannya. Athea ada latar belakang dalam seni hiasan. "Dah lama kerja?"

"Dah hampir tiga tahun. Awak pula kerja kat mana? Baru pindah ke sini ke?"

"Nak kata baru pindah, taklah kut. Saya dah hampir setahun tinggal kat sini. Mungkin sebab saya jarang ada kat rumah, itu yang awak tak pernah nampak."

"Kerja?" Athea mengulangi soalan.

"I'm a project engineer. Di BurMO Tech."

"Syarikat besar di US tu," komen Athea.

Cerdik! puji Hazran. Bukan semua orang tahu tentang syarikat BurMO Tech.

"Awak tahu tentang perkembangan teknologi?"

"Sikit-sikit. BurMO ni buat apa sebenarnya?"

"Bangunkan teknologi baru dalam komputer. Tapi, kami branch di sini khusus untuk upgrade perisian dan teknologi dalam pemprosesan data khususnya melibatkan Internet. BurMO stands for a temporary high-speed data-transfer mode."

"Dah lama kerja?"

"Dah tujuh tahun."

Tiada lagi soalan daripada Athea.

"Terima kasih," ujar Hazran tiba-tiba apabila suasana antara mereka sunyi beberapa saat.

Athea mengerutkan kening. "Untuk apa?"

"Qaleef ada cerita yang awak selalu bagi Smokey ayam rebus dan ikan. Kemudian awak cuci telinga Smokey setiap malam. Rajin awak. Saya pun jarang nak buat macam tu. Smokey makan dry food aje selama tinggal dengan saya. Tadi dia siap tegur saya yang telinga Smokey dah kotor."

"Sama-sama. Tapi, tak adalah cuci telinga setiap malam." Athea ketawa kecil.

"Masa Qaleef bawa balik Smokey, saya dah agak yang kucing tu milik orang lain sebab dia jinak sangat dan ya, dia bukan kucing kampung. Tapi, bila dah lama jaga dia, kami ingat mungkin dia akan terus tinggal dengan kami. Kesian Qaleef. Dia yang terasa sangat sebab Smokey tidur dengan dia setiap malam."

"Qaleef, cepatlah. Kau letaklah kucing tu kat bawah. Mama dah lama tunggu." Qayyum melaung dari pintu pagar apabila ternampak kelibat Qaleef yang masih bermain dengan Smokey di ruang tamu.

Athea dan Hazran menoleh ke arah rumah.

"Sekejap, saya panggil dia." Hazran melangkah masuk ke dalam rumah.

"Qaleef, mama dan Abang Qayyum dah lama tunggu tu. Esok sekolah, kan? Homework cikgu bagi semua dah siap ke?"

"Dah siap semua. Kalau tak siap, mama tak kasi keluar main."

"Good! Tapi, Qaleef kena balik dulu. Kesian mama dan Abang Qayyum. Mereka belum makan lagi tu. Mungkin mereka lapar."

"Tapi, Qaleef akan teringat dekat Smokey nanti. Qaleef nak main dengan dia lagi. Boleh tak kalau Qaleef bawa balik Smokey?"

Hazran mencangkung. Kedua-dua bahu Qaleef dipegang kemas. Dia merenung wajah comel Qaleef.

"Macam ni, minggu depan abang kena pergi kursus satu minggu di Kuala Lumpur. Abang janji akan tinggalkan Smokey dengan Qaleef. Setuju?"

Qaleef menatap wajah Hazran. "Nak!"

"Kalau nak, kena dengar cakap abang. Qaleef balik dulu. Minggu depan abang hantar Smokey."

"Okey."

Mendengarkan persetujuan Qaleef, Hazran bangun. Dia memimpin tangan Qaleef. Ketika mereka berpaling, Athea sedang berdiri di muka pintu sambil memandang mereka. Dia terharu dengan cara Hazran melayan dan memujuk Qaleef.

"Mama, minggu depan abang kerek handsome akan hantar Smokey kepada Qaleef."

Athea memejamkan matanya sambil membuat memek wajah segan. Dia meraup wajahnya kemudian memandang Hazran. "Qaleef, mulai sekarang Qaleef tak boleh panggil Encik Hazran macam tu lagi."

"Ya, Qaleef boleh panggil abang handsome. Kerek tu boleh buang." Hazran menyampuk.

Athea tunduk sembunyi senyum. "Okey, sekarang salam dengan Abang Hazran. Kita kena balik ni. Minggu depan kita cerita lain."

"Esok boleh tak Qaleef datang?"

Athea mengeluh. "Tak bolehlah Qaleef. Abang Hazran mesti letih lepas balik kerja. Mana larat nak layan kamu setiap petang. Kalau mama pun, mesti tak selesa."

Fuh! Nasib Athea memberikan jawapan yang menyelamatkannya. Kalau soalan itu Qaleef ajukan kepadanya, mahu serba salah dibuatnya. Lebih-lebih lagi apabila mengetahui yang Qaleef anak yatim piatu.

"Thanks Encik Hazran," ujar Athea.

Hazran mengangguk.

Qaleef menghampiri Hazran. Dia menghulurkan tangan untuk bersalam. Usai bersalam, dia memeluk tubuh lelaki itu. "Terima kasih abang handsome sebab benarkan Qaleef jaga Smokey."

Athea terkedu. Begitu juga dengan Hazran. Mereka berbalas pandang sebelum Athea menghadiahkan senyuman paksa dan menarik Qaleef daripada terus memeluk Hazran.

"So, mingggu depan saya hantar Smokey ke rumah awak," ujar Hazran ketika Athea melangkah menuju ke kereta.

Athea berhenti melangkah. Dia berpaling memandang Hazran lalu kepalanya diangguk. "Okey."

"Makanan dia macam mana?"

"Jangan risau. Masih ada lagi kat rumah saya."

"Boleh dia makan ayam rebus juga?"

"Insya-Allah boleh," ujar Athea sambil tersenyum.

Hazran turut senyum. Untuk seketika, mereka berbalas pandang sebelum Athea pulang.

Continue Reading

You'll Also Like

309K 9.6K 30
Kerana terlalu sakit hati dipermainkan dengan bekas kekasihnya, Daniel, Ayra nekad utk menggoda bapa Daniel, Dato Zakery. Namun, ia terperangkap d...
34.2K 4K 15
RAAIF MATEEN | RAIHANA MIKAILA Peluang tak pernah wujud untuk manusia sejelek dia. Peluang tak pernah hadir untuk manusia yang tak sempurna seperti d...
48.9K 3.2K 41
CRUSH! Siapa ja yang tak crush kalau lelaki itu adalah Syed Putra Ehan Khairul bin Syed Hakim. Jejaka dingin, tinggi lampai, badan tegap dan yang pa...
66.7K 8.1K 15
"Airis dah terlanjur dan sekarang Airis mengandung." Siapakah yang menanggung semua ini jikalau bukan gadis muda ni. Belum sempat Airis memberitahu p...