ATHEA tiba di rumah Hazran awal lima minit daripada jadual pertemuan mereka. Kebetulan, dia baru pulang dari kediaman Encik Yassin yang sehala dengan kawasan perumahan Sri Casa Menora. Kereta Volkswagen kuning yang diparkir di hadapan rumah Hazran membolehkan Athea meneka itu kereta Bella.
Athea memberi salam. Kelihatan Bella dan Hazran sedang berbual-bual mesra. Bella menampar bahu Hazran dan lelaki itu mengekek ketawa. Apa yang lucu sangat tu? Entahlah. Dua makhluk itu berdua-duaan di dalam rumah. Hurmm. Athea setia berdiri di muka pintu dan memberi salam untuk kali kedua.
Kali ini barulah Hazran tersedar akan kehadiran Athea. Dia bangun menuju ke pintu untuk menyambut kehadiran Athea.
Athea melangkah masuk ke dalam rumah. Dia bersalam dengan Bella. Gadis itu tidak berdiri untuk menyambut salamnya. Tangan Athea juga disambut antara mahu dengan tidak. It's okay. Perempuan cantik memang kerek. Padan sangat dengan Hazran.
Mata Athea menyorot sekitar ruang tamu. Kemas dan ringkas. Itu yang dapat Athea komen.
"Okey, sayang, konsep macam mana yang you prefer?" Hazran bertanya kepada Bella.
"Oh! Dah sampai. Aku boleh keluar dululah," ujar Hayuzi Widad, adik kepada Hazran.
Athea menoleh. Wajah yang mirip Hazran dipandang.
"Kenalkan, ini Hayuzi. Saya minta dia temankan kami sementara tunggu awak," jelas Hazran.
Athea telan liur. Itulah Athea. Lain kali husnuzon. Bukan mereka berdua saja di dalam rumah itu.
"Awak tinggal berdekatan area sini ke?" tanya Athea.
Hayuzi senyum. "Tak, saya datang sini sebab cuti semester. Lepak sini boleh juga kikis duit Abang Ran."
Bella menjeling Hayuzi. Kata-kata bakal adik iparnya itu menyakitkan telinga. Hayuzi memang selalu meminta wang daripada Hazran. Dia memang tak suka. Hayuzi tidak boleh diberi muka.
"Yalah, belum kerja lagi, kan? Kalau dah kerja pun masih nak mengikis, melampaulah namanya." Athea berkata sambil melirik Hazran.
Kata-kata Athea dan cara Athea melirik tunangnya, Bella tidak suka.
"Kakak siapa nama?" tanya Hayuzi apabila nama Athea belum diketahuinya.
"Athea."
"Cik?" tanya Hayuzi lagi.
Muda trang tang tang. Ciklah kut, teka Hayuzi.
Athea senyum. Ikutkan hati, dia mahu menggangguk, tetapi menyedari Bella sedang memandang tajam ke arahnya, Athea menggeleng.
"Puan. Saya ada dua orang anak."
"Alah! Dah ada cik abangnya," ujar Hayuzi, sengaja tayang wajah sedih yang dibuat-buat.
"Pergilah keluar. Tak payah nak menggatal kat sini. Kau tu belajar pun tak habis lagi. Ada hati nak mengurat," sindir Hazran.
Hayuzi menguntumkan senyuman untuk Athea sebelum melangkah keluar.
"Okay, shall we start now?" Bella bersuara sambil tayang wajah bosan.
Athea melabuhkan duduknya. " Konsep yang bagaimana Cik Bella suka?"
"Vintage." Athea mencuri pandang Hazran apabila melihatkan lelaki itu membuat memek muka tidak senang dengan konsep yang dipilih oleh Bella.
"What you have in mind, En. Hazran?" Athea membuka peluang kepada Hazran untuk menyatakan pendapatnya.
"Maybe modern?" Hazran memandang Bella.

ANDA SEDANG MEMBACA
TAK ADA CINTA SEPERTIMU
RomanceWHATSAPP 013 2588069 www.dearnovels.my Tajuk: TAK ADA CINTA SEPERTIMU Penulis: ANNA MILIA ISBN: 978-967-2116-09-7 Harga: RM25.00 / RM28.00 Penerbit: DEAR NOVELS ENTERPRISE M/s: 600 Kapsyen: Cintaku untuknya bukan kerana dia sempurna, tetapi kerana...