SEMINGGU Hazran di Kuala Lumpur, Athea mengharapkan panggilan telefon daripada lelaki itu. Kalau bukan untuk berbual kosong dengannya, mungkin sekadar bertanyakan khabar Smokey. Namun, lelaki itu tidak pernah menghubunginya.
Sepatutnya Hazran pulang semalam jika benar kursusnya satu minggu. Tapi, kenapa dia tidak datang mengambil Smokey? Mungkin dia sampai lewat kut. Itu yang tak sempat nak ambik Smokey.
Athea sengaja melalui lorong rumah Hazran dalam perjalanan ke tempat kerjanya. Kereta lelaki itu tidak kelihatan di dalam kawasan rumah memberitahunya yang lelaki itu belum pulang dari Kuala Lumpur.
Athea meraup wajahnya sambil beristighfar. Ya Allah! Apa yang aku buat ni? Tak pernah-pernah lalu jalan ni. Adoi! Muhasabah diri, Athea. Jangan simpan angan-angan. Dia kan tunang orang?
ATHEA hanya membisu apabila masuk ke pejabat setelah mengadakan pertemuan dengan Encik Yassin. Sepatutnya dia gembira apabila Encik Yassin menerima semua ideanya, tapi disebabkan Hazran, emosinya terasa terganggu.
"Kau kenapa? Pasal Encik Yassin ke?" tanya Intan.
Athea menggeleng. "Dia okey. Kerja boleh mula lusa."
"Habis tu, macam ayam berak kapur ni kenapa? Dua hero tu?" tanya Intan merujuk kepada Qayyum dan Qaleef.
"Tak. Hero ketiga," ujar Athea tanpa sedar.
Namun, apabila tersedar yang dia terlepas cakap, terus tubuhnya yang duduk bersandar malas ditegakkan. Matanya bulat memandang Intan dengan harapan wanita itu tidak mendengar kata-katanya tadi.
Namun, daripada riak wajah teruja Intan, dia yakin Intan mendengarnya. Athea bergegas bangun. "Aku nak keluar survey barang."
Intan menerpa ke arah Athea lalu menghalang laluannya. "Kau jangan main lari-lari macam ni. Kau cerita dulu kat aku, siapa hero ketiga tu?"
"Siapa lagi, ayah akulah."
"Bohong! Kau takkan sebut hero untuk orang tua tu. Aku bukan kenal kau dua tiga hari. Cakaplah cepat, siapa yang kau maksudkan tu?"
"Tak ada sesiapalah. Sibuk ajelah kau ni." Athea menepis tangan Intan yang sengaja didepa untuk menghalang laluannya.
"Cakaplah," rengek Intan sambil menggoncang tangan Athea.
Damia yang sedari tadi membuat lakaran di dalam buku catatannya menjeling. Apalah masalah mereka berdua ni. Gedik semacam.
"Intan, aku ada kerja nak buat ni. Boleh tak kau jangan lengahkan masa aku."
"No! No! No!" ujar Intan sambil menggoyangkan jari telunjuknya di hadapan wajah Athea.
Athea mengacah untuk meloloskan diri, namun Intan pantas menghalang. Tawa Athea dan Intan beradu.
"Kalau cekap, cubalah lepaskan diri kau. Kalau aku dapat tangkap, nahas kau," ugut Intan dalam tawa yang masih berbaki.
Gaya mereka dah macam kanak-kanak bermain polis entri.
"Hoi! Bisinglah. Bos dengar nanti, padan muka kau orang," tegur Fatin dengan wajah ketat.
"Cakaplah. Singa manja tu dah marah," bisik Intan.
"Okeylah, hero ketiga tu Khairy Jamaluddin a.k.a KJ," bohong Athea.
Berkerut dahi Intan mendengarkan sebaris nama yang disebut oleh Athea. Kealpaan Intan membolehkan Athea meloloskan dirinya.
"Khairy? Woi! YB Khairy? Kau kenakan aku. Mana boleh main petik-petik nama macam tu aje?" jerit Intan dari tingkat atas.
Athea yang berlari menuruni anak tangga dipandang dengan rasa sebal. Kenapa otaknya lambat sangat tadi mengesan penipuan Athea? Bukan dia tak tahu Athea memang minat sungguh dengan makhluk Allah itu sejak mereka belajar di UiTM lagi.

ANDA SEDANG MEMBACA
TAK ADA CINTA SEPERTIMU
RomanceWHATSAPP 013 2588069 www.dearnovels.my Tajuk: TAK ADA CINTA SEPERTIMU Penulis: ANNA MILIA ISBN: 978-967-2116-09-7 Harga: RM25.00 / RM28.00 Penerbit: DEAR NOVELS ENTERPRISE M/s: 600 Kapsyen: Cintaku untuknya bukan kerana dia sempurna, tetapi kerana...