BAB 6

28K 176 5
                                    

ATHEA menghubungi Hazran. "Encik Hazran, saya nak keluar ni, cadang tu nak ambil Qaleef sekali."

"Eh! No need. Dia sedang main dengan Smokey tu. Nanti saya hantar dia."

"Kebetulan saya memang nak keluar cari makanan. Itu yang nak singgah ambil dia."

"Kalau macam tu, okeylah."

Athea singgah di rumah Hazran setelah membeli makanan. Untuk lelaki itu, dia memesan nasi goreng ikan masin. Kononnya, sebagai ucapan terima kasih kerana membenarkan Qaleef bermain dengan Smokey.

Tiba di rumah Hazran, Athea menyuruh Qayyum memanggil Qaleef dan memberikan makanan kepada Hazran.

"Nah, mama suruh bagi ni kepada abang." Qayyum menghulurkan bungkusan nasi goreng kepada Hazran.

Hazran sedikit terkejut. "Apa ni?"

"Nasi goreng."

"Terima kasih, Qayyum."

"Mama pun ucap terima kasih sebab jaga Qaleef."

Memandangkan makanan dan ucapan terima kasih dikirim melalui Qayyum, Hazran tahu Athea tidak mahu menemuinya. Dia menapak ke kereta.

Athea terpaksa menurunkan cermin kereta. Dia senyum terpaksa kepada lelaki itu. Segan nak bersemuka dengan Hazran apabila dia merasakan wajahnya tidak menepati piawaian diri sendiri. Tudung pula main tangkap muat sahaja mana yang tidak perlu diseterika.

"Terima kasih untuk makanan ni," ujar Hazran sambil mengangkat bungkusan makanan separas mata Athea.

Athea mengangguk. "Sama-sama."

"Qaleef mana ni? Tak datang-datang lagi?" Athea bertanya.

Sungguh, dia tidak selesa berada lebih lama di hadapan rumah Hazran lebih-lebih lagi pada waktu malam.

"Dia ke tandas. Sekejap lagi keluarlah."

Athea membuka pintu kereta. Segan pula dia berbual dalam keadaan dia duduk di dalam kereta sementara Hazran terpaksa berdiri di luar.

"Awak tak masak ke?" tanya Hazran sambil melirik pada susunan bekas makanan berbungkus beg plastik yang berada di tempat duduk belakang.

Dia sekadar memanjangkan perbualan sementara menunggu Qaleef.

Athea senyum. Malu apabila Hazran bertanya soalan itu. Rasa macam dia seorang ibu yang pemalas. "Hari ni saya balik lambat sikit. Tak larat dah nak masak."

"Awak kerja kat mana?"

"Saya kerja sebagai interior designer di Mekarsary Design."

Bingo! Tepat tekaannya. Athea ada latar belakang dalam seni hiasan. "Dah lama kerja?"

"Dah hampir tiga tahun. Awak pula kerja kat mana? Baru pindah ke sini ke?"

"Nak kata baru pindah, taklah kut. Saya dah hampir setahun tinggal kat sini. Mungkin sebab saya jarang ada kat rumah, itu yang awak tak pernah nampak."

"Kerja?" Athea mengulangi soalan.

"I'm a project engineer. Di BurMO Tech."

"Syarikat besar di US tu," komen Athea.

Cerdik! puji Hazran. Bukan semua orang tahu tentang syarikat BurMO Tech.

"Awak tahu tentang perkembangan teknologi?"

"Sikit-sikit. BurMO ni buat apa sebenarnya?"

"Bangunkan teknologi baru dalam komputer. Tapi, kami branch di sini khusus untuk upgrade perisian dan teknologi dalam pemprosesan data khususnya melibatkan Internet. BurMO stands for a temporary high-speed data-transfer mode."

TAK ADA CINTA SEPERTIMUWhere stories live. Discover now