ATHEA HASSAN tergesa-gesa masuk ke dalam mini market di kawasan perumahan Sri Casa Menora. Dia perlu mendapatkan Panadol dek kepalanya seakan-akan mahu pecah menahan rasa sakit. Tambahan pula dia double park. Oleh itu, dia perlu cepat.
Dalam keadaan genting seperti itu, sempat pula dia melihat kucing pemilik pasar raya yang diberi nama Opie. Kucing itu sangat besar dan pemalas. Setiap kali Athea mengunjungi mini market itu, Opie pasti akan menghampirinya lalu berbaring minta dimanjakan. Athea tersenyum melihat kelakuan Opie.
"Meow, meow. Opie. Meow." Athea memanggil Opie. Dia menggagahkan diri tunduk dan mengusap kepala Opie.
Athea menegakkan tubuhnya semula. Opie seakan-akan masih mengharapkan belaian daripadanya. Athea buat bunyi kucing lagi sambil tangan kanannya menarik pek Panadol yang disusun di hadapan kaunter. Dia sudah menghafal setiap susunan barang di dalam mini market itu terutamanya tempat Panadol. Hampir setiap hari dia ke sana untuk membeli barang.
Apabila dirasakan ada daya yang menghalang pek itu keluar dari rak, Athea menoleh. Seorang lelaki turut memegang pek tersebut. Masing-masing berkeras untuk memiliki pek tersebut apabila mereka mendapati itu merupakan pek Panadol terakhir di situ.
"Ada lagi tak Panadol?" tanya Athea kepada Jaja, gadis yang menjaga di kaunter.
Jaja menggeleng. "Ni pek last, kak."
Athea mengeluh.
Hazran menarik pek yang masih dipegang oleh Athea dengan kuat. Dia meletakkan not 10 ringgit di atas kaunter bagi bayaran satu pek Panadol dan sebotol minuman bikarbonat.
"Hei! Saya yang ambil Panadol tu dahulu," ujar Athea dengan suara agak tinggi.
Hazran menoleh kepada Athea. Wajah gadis itu direnung dalam. Dia ambil dulu?
"Saya sakit kepala sangat sekarang ni. Boleh tak kalau awak tak jerit-jerit macam perempuan meroyan? Banyak lagi kedai lain, kan? Lagipun masa saya ambil pek tu awak duk sibuk meow, meow sampai tak tengok dah saya sedang pegang pek ni."
"Habis tu, awak nampak saya ni macam sihat sangat ke? Duk terkinja-kinja ke menari dalam mini market ni? Saya pun sakit kepala jugalah."
Hazran masih mencerlung kepada Athea.
"Saya sampai sini dulu. Panadol ni saya punya." Hazran tidak mahu mengalah.
Athea mendengus apabila telefonnya berdering. Telefon dikeluarkan dari beg tangan. Tertera 'Rumahku' pada skrin telefon. Apabila Athea menjawab panggilan telefon, Hazran mengambil kesempatan itu untuk menggesa Jaja supaya melakukan imbasan pada dua item yang mahu dibelinya.
Jaja mencuri pandang wajah Athea. Dia kasihan kepada ibu tunggal itu yang merupakan pelanggan tetap kedai mereka. Dia juga kenal anak-anak Athea.
"Ya Qaleef, mama ingat. Kamu pesan pensel warna, kan? Ya, ya mama ingat. Nak balik dah ni. Assalamualaikum." Athea mematikan talian dan menyumbat telefon ke dalam beg tangan.
Dia berpaling kepada Hazran yang sedang mengambil baki wang daripada Jaja. Lelaki itu yang mendapat pek Panadol tadi. Athea mengeluh perlahan.
Hazran rasa bersalah. Kasihan pula kepada wanita kalau anaknya sedang menunggu, tetapi ibunya terpaksa ke kedai lain pula untuk mendapatkan Panadol.
"Awak ada gunting?" tanya Hazran kepada Jaja.
Jaja mengangguk lalu menghulurkan gunting kepada Hazran.
Melihatkan Hazran yang mahu menggunting pek Panadol, Athea bersuara. "Awak nak buat apa? Nak kerat pek tu?"
"Ya. Cukup kan kalau saya beri awak empat biji?" Pek Panadol dikerat dua. Satu bahagian ditinggalkan di atas meja kaunter.
Athea mengeluarkan dompetnya.
Tahu apa yang cuba dilakukan oleh Athea, Hazran menolak. "Tak perlu bayar."
Hazran terus melangkah keluar.
"Terima kasih," ujar Athea dalam nada sedikit kuat apabila Hazran sudah melangkah keluar dari pasar raya itu. Athea yakin lelaki itu mendengarnya, tetapi buat-buat tak tahu.
Hazran menuju ke keretanya manakala Athea menuju ke bahagian yang menempatkan alat tulis.
Hazran mendengus geram apabila kereta Honda Jazz putih menghalang keretanya untuk keluar dari kawasan parkir. Melihatkan kereta yang berkunci, spontan dia menyepak tayar kereta itu.
"Bodoh! Dah tahu kau block kereta orang, janganlah kunci kereta," bebel Hazran.
Dek tekanan dan rasa marah yang meluap, rasa sakit di kepala semakin mencengkam. Hazran melangkah masuk ke dalam keretanya. Enjin kereta dihidupkan kemudian pendingin hawa dipasang. Tidak ada apa yang boleh dilakukan selain menunggu. Dia bukanlah seorang yang penyabar dalam keadaan sakit kepala. Dia menekan hon beberapa kali. Tangan dihentak kasar pada stereng kereta.
Athea tergesa-gesa membuat bayaran dan bergegas keluar. Dia sudah dapat mengagak bunyi hon yang kedengaran kuat datang daripada kereta yang dihadang laluannya. Laju Athea mengayun langkah keluar dari pasar raya.
Athea mengangkat tangan memohon maaf kepada lelaki yang berada di dalam kereta meskipun wajah pemandu itu tidak kelihatan dek cermin kereta yang gelap.
"Awak lagi?" sergah Hazran setelah menurunkan cermin keretanya.
Dia melihat wajah terkejut Athea. Mungkin wanita itu tidak menyangka yang mereka bertemu lagi. Kali ini juga dalam situasi yang tegang.
"Lain kali, jangan pentingkan diri sendiri, puan. Lesen kedai kopi ke Puan Meow?" sindir Hazran dengan memek wajah yang cukup sinis.
"Minta maaf, encik. Saya nak cepat tadi. Eh! Awak panggil saya apa tadi?"
"Awak aje nak cepat? Habis tu, orang lain tak nak cepatlah? Saya kalau tak ada parking, sanggup jalan jauh asal tak menyusahkan orang. Kereta saya ni boleh aje nak lenyek Jazz awak tu sampai lunyai, cuma tak mahulah kejam sangat, kan?"
"Kan saya dah minta maaf."
"Habis, awak ingat minta maaf aje, kira settle? Orang macam awak ni perlu disekolahkan, baru faham."
Athea menghampiri kereta Hazran.
"Sebagai tanda minta maaf, ambil ni." Athea menghulurkan sebiji roti Gardenia berinti coklat kepada Hazran.
"What the heck..." Dia ingat dengan roti sebiji ni boleh beli kemaafan aku? Senang benar cara dia berfikir.
"Tak elok makan Panadol ketika perut kosong. Nah, makan roti dulu," ujar Athea selamba sebelum berpaling dan melangkah ke keretanya semula.
"Awak tak tengok iklan Panadol bulan Ramadan? Panadol boleh diambil ketika perut kosong," ujar Hazran sekadar menyakiti hati Aisya.
"Tak nak makan, buang ajelah. Kalau rasa macam nak bagi pahala lebih kepada saya, sila makan. Jangan lupa bismillah."
Hazran mencampakkan roti ke kerusi penumpang. Dia tidak tahu roti itulah yang akan mengalas perutnya malam nanti apabila Bella tidak dapat menghantar makanan kepadanya. Hazran menaikkan semula cermin keretanya.
Athea masuk ke dalam kereta. Enjin kereta dihidupkan dan dia terus memecut meninggalkan kawasan pasar raya itu. Siap buat drift lagi di hadapan Hazran. Cara pemanduan Athea itu mengundang kemarahan penunggang motosikal yang keluar dari simpang. Pemuda yang menunggang motosikal membunyikan hon. Tidak cukup dengan itu, dia memaki hamun Athea.
Hazran menggeleng.
"Memang lesen kedai kopi ni. Entah-entah lesen pun tak ada," kutuk Hazran.

ANDA SEDANG MEMBACA
TAK ADA CINTA SEPERTIMU
RomanceWHATSAPP 013 2588069 www.dearnovels.my Tajuk: TAK ADA CINTA SEPERTIMU Penulis: ANNA MILIA ISBN: 978-967-2116-09-7 Harga: RM25.00 / RM28.00 Penerbit: DEAR NOVELS ENTERPRISE M/s: 600 Kapsyen: Cintaku untuknya bukan kerana dia sempurna, tetapi kerana...