BAB 3

32.3K 213 2
                                        

ATHEA duduk termenung di meja kerjanya. Idea untuk memenuhi kehendak Encik Yassin, pelanggan syarikat mereka tidak muncul-muncul meskipun sudah lebih 15 dia memerah otak. Asyik-asyik wajah Hazran yang muncul dalam fikiran.

"Menung apa Athea? Qayyum buat perangai lagi ke?"

Athea memandang teman sekerja merangkap sahabat baiknya, Intan.

"Dia pecahkan cermin tingkap rumah orang, masa main bola di padang," ujar Athea dengan wajah mencuka.

"Tak sengaja tu. Tengah main, kan?" Intan cuba meredakan gelojak hati sahabatnya.

"Tahu. Tapi, kau tahu tak rumah siapa?"

"Siapa?"

"Mr. Kerek handsome yang aku cerita dekat kau hari tu."

Intan membulatkan matanya. Terus pen yang berada di tangannya dicampak ke meja. Intan menolak kerusinya dan memusingkan tubuhnya menghadap Athea. Bersedia untuk mendengar cerita sensasi itu.

"Biar betul? Macam ada jodoh aje kau orang berdua ni."

Athea membaling pemadam ke arah Intan.

"Mana ada orang nak dekat aku ni. Tambah lagi dengan adanya dua hero tu." Athea merendah diri.

"Jodoh, siapa tahu?"

Athea menggeleng. Hakam yang sudah tiga tahun bercinta dengannya pun sanggup memutuskan hubungan mereka gara-gara tidak mahu memikul tanggungjawab menjaga Qaleef dan Qayyum, apatah lagi lelaki lain. Tapi, Athea tidak pernah mengeluh apabila dia perlu menjalankan tanggungjawab menjaga anak-anaknya itu. Dia menganggap mereka sebagai amanah Allah.

"Termenung lagi. Ingatkan Hakamlah tu." Pemadam dibaling semula kepada Athea.

Athea tersenyum kelat. Setiap kali mengenangkan lelaki itu, hatinya pedih.

"Tak payah duk ingat jantan macam tu. Dia tu tak tahu besarnya pahala bela anak-anak yatim. Aku respek dengan kau sebab boleh sayang budak-budak tu macam anak kau sendiri. Wei, balik pada cerita Mr. Kerek kau tu, dia tak meroyan ke semalam?"

"Bolehlah," jawab Athea malas.

"Bolehlah aje?" tanya Intan yang tidak berpuas hati kerana Athea tidak mahu bercerita.

"Malas nak cerita. Buat semak kepala. Petang ni balik kerja, aku dah janji dengan tukang nak tukar cermin tingkap rumah dia. Intan, kau ada idea tak nak buat design rumah Encik Yassin tu? Aku dah blank ni."

"Sebab kau dah penuhkan Mr. Kerek dalam fikiran kau tu."

"Dahlah! Malas nak sembang dengan kau. Balik-balik mamat tu juga yang kau sebut."

Intan ketawa mengekek. Tahu yang Athea marah kepadanya.

"Lain kali aku tak nak dah cerita apa-apa kat kau. Serik." Athea memuncungkan bibirnya dan berpura-pura membelek lakaran yang belum siap.

Intan merenyukkan sehelai kertas lalu dilontar kepada Athea. Tepat mendarat di kepala sahabatnya. Athea menoleh. Wajah Intan dipandang dengan rasa geram yang semakin menebal.

"Buat perangai elok-elok sikit boleh? Takut berjangkit perangai tak senonoh kau tu pada anak dalam perut tu."

Intan mencebikkan bibirnya.

"Aku baru aje pesan, kan? Kau boleh lupa. Besok-besok kalau kau dapat anak, bibir macam platipus jangan nak meraung pula."

"Hisy! Kau ni... Mulut macam puaka."

TAK ADA CINTA SEPERTIMUTempat di mana cerita hidup. Terokai sekarang