"MAMA, boleh tak Qaleef ikut abang pergi padang?"
Soalan yang sama itu sudah tiga kali diajukan kepada Athea. Si ibu yang sedang membaca majalah InTrend menoleh.
"Berapa kali nak kena beritahu Qaleef? Abang bolehlah ke padang. Dia dah besar. Kamu tu kecil lagi. Baru darjah dua. Mana boleh main bola dengan mereka? Silap-silap kamu yang jadi bola."
Qaleef mendengus marah. "Qaleef nak bawa Lulu jalan-jalan. Bukan nak main bola pun."
"Kalau Lulu terlepas macam mana?"
"Qaleef ikat dia dengan tali. Qaleef janji jaga dia elok-elok. Bolehlah, ma. Dia macam boring aje duduk rumah, tak ada kawan." Qaleef tayang wajah mengharap sambil tangannya giat mengusap bulu si bulus.
"Yalah! Yalah! Qayyum, jaga adik kamu. Jangan duk main bola aje."
"Alright, ma. Jom Qaleef." Qayyum bersuara.
Athea mengerling jam dinding. "Dah solat belum?"
Langkah anak-anaknya terhenti.
"Belum," jawab mereka serentak.
"Kalau tak ingatkan tadi, pakai tak solatlah, kan?"
Qayyum dan Qaleed tersengih. Qaleef meletakkan Lulu di atas riba Athea lalu berlari masuk ke bilik air. Dengan sebelah tangan, Athea membetulkan duduk Lulu. Bulu kucing comel itu diusap.
"Hai Lulu, nak pergi jalan-jalan ek dengan Abang Qaleef?" Athea bermain dengan Lulu sementara menunggu anak-anaknya selesai bersolat.
QALEEF membawa Lulu berjalan-jalan keliling padang permainan sementara Qayyum bermain bola bersama rakan-rakannya. Hazran yang baru pulang daripada kerja tersenyum apabila terpandangkan kelincahan Qayyum bermain bola sepak.
"Hurmm, dah habis tempoh berkurunglah tu," gumam Hazran.
Matanya melirik pula kepada Qaleef yang sedang mendukung seekor kucing. Terus sahaja Hazran merapati Qaleef. Dia memang peminat kucing.
Sungguh! Hazran terkejut apabila melihat kucing yang berada di dalam pelukan Qaleef. Mukanya sama, warnanya sama, spesies yang sama. Pendek kata, semuanya sama kecuali saiznya sahaja. Logiklah kerana kucing itu sudah tiga bulan hilang dek kecuaian Bella.
Lulu pula melompat turun dan mula melingkari kaki Hazran. Melihatkan reaksi manja kucing itu, dia mengucapkan syukur. Terus sahaja dia tunduk dan mengambil Lulu di kakinya. Kucing itu dicium penuh kasih. Dia yakin kucing itu adalah miliknya.
"Smokey daddy dah balik," ujar Hazran penuh emosi.
Qaleef tidak berkedip memandang Hazran dan telatah manja Lulu yang menjilat mula Hazran. Wajahnya terus berubah mendung.
"Bagi balik Lulu, Qaleef dah nak balik rumah ni." Qaleef cuba mengambil Lulu daripada pelukan Hazran.
"Wait,wait,wait. Mana Qaleef dapat kucing ni?"
"Mama beli," bohong Qaleef.
Kalau dia beritahu dia yang jumpa kucing itu beberapa bulan lalu, pasti Hazran akan mengambil Lulu daripadanya. Dia sangat sayangkan haiwan itu.
"Ya? Beli daripada siapa?"
"Manalah Qaleef tahu. Tanyalah mama," jawab Qaleef dengan nada marah.
"Kucing ni sama macam kucing abang yang hilang," ujar Hazran untuk memancing reaksi Qaleef. Wajah kanak-kanak itu kelihatan serba salah.
"Ini kucing saya!" Jeritan Qaleef membuatkan Hazran terkejut.
"Okay fine! Fine!" Hazran angkat kedua-dua tangannya tanda mengalah. Sama macam mak dia juga. Suka menjerit.

ANDA SEDANG MEMBACA
TAK ADA CINTA SEPERTIMU
RomanceWHATSAPP 013 2588069 www.dearnovels.my Tajuk: TAK ADA CINTA SEPERTIMU Penulis: ANNA MILIA ISBN: 978-967-2116-09-7 Harga: RM25.00 / RM28.00 Penerbit: DEAR NOVELS ENTERPRISE M/s: 600 Kapsyen: Cintaku untuknya bukan kerana dia sempurna, tetapi kerana...