Lelaki Astatine

By AnjellHomosapien

461K 33.4K 5K

Ardean Tufail X Eshal Elzahra More

PROLOG
BAB 1
BAB 2
BAB 3
BAB 4
BAB 6
BAB 7
BAB 8
BAB 9
BAB 10
BAB 11
BAB 12
BAB 13
BAB 14
BAB 15
BAB 16
BAB 17
BAB 18
BAB 19
BAB 20
BAB 21
BAB 22
TEASER 1
- ANNOUNCEMENT-
TEASER 2

BAB 5

15.8K 1.2K 145
By AnjellHomosapien

~ unedited~

BAB 5

"Eshal Elzahra!" Panggilan itu buatkan langkah kaki Eshal mati. Ketika itu, dia sedang berdiri di anak tangga kedua untuk naik ke bilik. Penat, baru pulang dari kerja.

Eshal menoleh ke arah suara itu. Kelihatan seorang lelaki beruban sedang berjalan ke arahnya. Meskipun bertongkat, tetap nampak aura hebatnya. Terus Eshal merengus dalam hati. Terserempak pulak dah!

"Balik pun kamu." Suara itu meskipun bernada serius, terselit rasa puas hati.

Eshal mencebik dalam hati. Dia sendiri tak tahu kenapa dia ikutkan juga akhirnya arahan datuknya itu. Mungkin sebab dia kenal datuknya siapa. Kalau bukan rela, paksa. Tunggu saja datuknya petik jari, tak sampai sejam dia kena sumbat masuk Alphard putih. Jadi, daripada kena heret balik, lebih baik balik sendiri dengan penuh bergaya.

"Ya, Eshal dah balik! Puas hati?" balas Eshal mendatar. Sudah hampir dua bulan dia tidak menjejakkan kakinya ke rumah agam ini. Namun, entah kenapa firasat mengatakan dia bakal menyesal. Jarang datuknya itu tidak mempunyai motif lain.

"Bagus. Malam ni kita ada tetamu," kata Tan Sri Ghazi pula.

Terlalu awal prasangka Eshal menjadi nyata. Dia mendengus kasar. Wajahnya juga berkerut tanda tak puas hati.

"Atuk ni tak habis-habis lagi ke?" soal Eshal geram. Tak perlu datuknya jelaskan. Dia tahu sangat siapa 'tetamu' datuknya itu. Ini tak lain tak bukan. Segmen cari jodoh baituljannah, baitulmuslim, baitulmal dan segala jenis baitul lagi dah bermula. Entah lelaki mana pulak yang dia kutip kali ni? Makin advance nampaknya! Selalu makan malam diatur di luar. Tapi kali ini, siap disambut di rumah.

"Selagi kamu belum kahwin, selagi itulah atuk takkan berhenti."

"Oh, ya? Sampai sanggup jadikan Eshal isteri ketiga orang?" sinis Eshal geram.

Masih teringat lagi. Calon terakhir sebelum ini rupa-rupanya sudah berkahwin. Dua kali di Siam. Bila dah kantoi, mula-mula memang rasa nak terajang sampai pupus keturunan jantan itu. Tapi Eshal lebih gembira. Gila tak gembira terlepas mulut buaya? Tapi lain pula reaksi datuknya. Marah dah tentu.

Siapa suruh cari lelaki lembut gigi dari lidah? Spesis yang lebih elok tak membiak!

"Kali ini lain. Atuk yakin dia memang baik, dari keturunan baik. Kamu pun mungkin akan suka dia nanti." Buat tak dengar saja dengan sindiran cucunya itu. Suara penuh yakin.

Eshal tahu calon yang dibawa datuknya itu bukan sembarangan. Dah lepas tapisan sirim kalau dari segi luaran. Latar belakang hebat-hebat. Namun, kenapa beberapa kali pencubaan datuknya gagal? Mudah! Alasan klise, tiada jodoh. Dah tentulah dia yang pastikan mereka tak berjodoh.

Sebab dia tak berminat! Dah berapa kali dia cakap kepada datuknya yang dia tiada hati untuk berkahwin, inikan pula nak tidur sebantal dengan lelaki lain. Tapi datuknya itu hanya masuk telinga kanan, keluar telinga kiri. Atau datuk dia ni sebenarnya dah ada simptom-simptom awal nak kena Alzhameir's?

"Atuk, Eshal dah cakap Eshal taknak kahwin lagi!" Entah kali berapa Eshal tegaskan.

Bukan tak nak lagi, tapi memang tak nak langsung. Titik! Bila datuknya nak berhenti ni?

"Kamu tu dah tua, Eshal. Tahun ni dah tiga puluh tahun. Susah sangat ke kamu nak berumah tangga?"

Itu sajalah modalnya. Jenayah dunia ke kalau perempuan masuk tiga puluhan tapi belum berkahwin? Atau ada ura-ura paksi bumi akan senget beberapa darjah ke kalau dunia ni penuh dengan golongan andartu? Andartu ni habiskan beras rumah dorang ke?

"Kenapa kamu tak suka dengan calon-calon atuk sebelum ni? Nak kata ada boyfriend, tak ada. Ada kawan lelaki kat tempat kerja pun, kamu buat gaduh."

Tikus mondok mana yang bawa mulut kepada datuknya ini? Jumpa kat dia nanti, memang kasi telan brodifacoum setengah kati.

Eshal hanya tadah telinga mendengar datuknya sambung membebel. Panas telinga. Datuk dia ni dah macam golongan mak-mak bila pasal kahwin. Dulu datuknya tak pernah kisahkan tentang dia. Kenapa sekarang? Datuknya itu makin bertegas dengannya, lebih daripada Kirana, kakak tirinya yang merangkap cucu kandung datuknya. Takut sangat Eshal menconteng arang ke mukanya agaknya.

"Kamu cakap dekat atuk. Ke kamu ni suka kaum sejenis?"

Angguk karang, ada juga yang kena cardiac arrest. Siapa suruh meragui seksualitinya?

"Mana adalah. Eshal just taknak kahwin. Marriage is not for me."

"Ada pula macam tu? Kahwin ni untuk hidup berteman. Dapatkan zuriat. Biar ada yang jaga bila dah tua nanti."

"Tak perlu. Eshal dah rancang nak duduk rumah orang-orang tua. Dah mula menabung dari sekarang. Sekarang ni dah ada rumah orang tua untuk golongan T20. Ada orang tolong jagakan dengan layanan VVIP."

"Haish, budak ni! Mengarut! Atuk tak peduli. Ikut cakap atuk. Malam ni, turun! Pakai cantik-cantik. Ini arahan. Jangan nak ingkar!" Tan Sri Ghazi yang makin panas hati berkata sebelum dia pusing meninggalkan tempat itu. Kena cari blood pressure monitor gamaknya. Berdebat dengan cucunya yang seorang ini selalu bikin tekanan darahnya naik. Dia tak tahulah Eshal memang serius atau sekadar mahu menyakitkan hatinya.

Eshal pula merengus lagi. Itu saja modalnya. Arahan! Arahan! Huh! Tapi yang anehnya, dia tetap akan ikut juga.

Eshal sambung panjat tangga. Kakinya dihentak-hentak pada permukaan marble itu sebagai tanda protes. Marahkan datuk, tapi kakinya yang dapat sakit. Silap langkah, mahu tergolek. Tapi, elok juga! Jadi, tak payahlah dia jumpa tetamu kehormat aka calon suami tak jadi dia tu.

---

Hampir pukul lapan setengah malam, Ardean bersama abangnya tiba di sebuah banglo yang terletak di ibu kota. Mereka disambut oleh sepasang suami isteri yang masih segak dan ranggi. Datuk Huzaini dan Datin Hasnita. Agaknya, inilah 'bakal mentua tak jadi' abangnya itu. Ardean meneka dalam hati.

"Doktor Nufail, jemput masuk!"

Ardean berpaling ke arah kirinya. Arah suara yang baru muncul itu. Kelihatan seorang lelaki yang lebih tua tersenyum lebar berjalan ke arah mereka. Dan Ardean tahu, inilah si tukang jodoh aka bekas pesakit abangnya itu.

Nufail bersalam dengan Tan Sri Ghazi. Diikuti pula oleh Ardean walaupun dia tak kenal mereka semua.

"Eh, tak payah berdoktor-doktor dengan saya, Tan Sri! Kita bukan kat hospital. Panggil Nufail dah cukup."

"Kalau macam tu, tak payahlah bertan sri-tan sri dengan atuk. Kan dah cakap sebelum ni, panggil saja atuk."

Ardean hanya mendengar mereka berbasa-basi dan ketawa. Mana bakal kakak ipar tak jadinya? Teringin juga Ardean nak tengok orangnya macam mana. Siapa tahu pertemuan kali ini membuahkan hasil? Kut la puteri kayangan yang abangnya tunggu itu sebenarnya terperangkap di sini.

Ketika itulah Ardean nampak satu kelibat muncul dari arah belakang lelaki tua itu. Sedang menuruni tangga. Sebaik sahaja melihat wajah wanita itu, mulut Ardean sedikit ternganga. Wajah yang cukup dikenalinya walaupun tak sampai seminggu mereka berkenalan. Ternyata wanita itu juga sama. Terhenti seketika langkahnya sebelum kembali mengatur langkah ke arah mereka.

"Datang dengan siapa ni?" Pertanyaan itu menjengah halwa telinga Ardean. Dia tahu dirinya yang dimaksudkan.

"Oh, ini adik..."

"Kawan!" Mulut Ardean laju memintas. Dia pandang abangnya. Nufail bermuka blur.

"Adik kawan?"

"Haah, ya! Adik kawan. Abang dia kawan baik saya. Tapi kami berdua pun rapat juga." Nufail masih bingung tapi lancar saja dia berbohong. Memahami isyarat telepati dari adiknya itu. Buat hal la kau, dik!

"Boleh panggil saya Ardean." Ardean memperkenalkan diri. Senyum manis kepada semua yang berada di situ.

Dia sendiri tak tahu kenapa dia tak mahu dikenali sebagai adik Nufail. Melihat cik ketua editor di hadapannya buatkan laju saja otaknya bertindak. Mungkin sebagai langkah berjaga-jaga. Dia tak mahu jika apa-apa yang tak diingini berlaku pada malam ini akan mengubah hubungannya dengan Eshal. Nak-nak lagi memang abangnya dah ada pelan untuk gagalkan sesi jodoh-menjodoh ini.

Mungkin juga sebab tiada siapa yang mengetahui latar belakangnya di tempat kerja. Semua hanya kenal dia sebagai A.T, si budak intern, tua-tua tak habis belajar lagi tanpa siapa tahu sebabnya. Ardean belum bersedia untuk bersoal jawab tentang salasilah keturunannya pula. Kalau boleh, dia mahu kekalkan semua itu sehingga dia tamat latihan industrinya.

"Haa... ini pun dia! Kenalkan cucu atuk, Eshal. Ini Nufail dan Ardean." Eshal yang baru muncul diperkenalkan.

"Hai, Eshal! Saya, Nufail. Selamat berkenalan." Dah memang dalam genetiknya sebagai seorang doktor, memang ramah Nufail menegur.

"Eshal." Eshal tetap membalas sepatah meskipun dengan wajah serius.

Bila pandang Ardean, ekspresi lelaki itu seperti yang selalu dilihat. Senyum manis. Dia tak tahu harus memberi reaksi apa apabila melihat anak buahnya yang baru berpisah beberapa jam yang lepas di tempat kerja kini muncul di bawah bumbung rumah keluarganya. 

"Ayah, jemputlah tetamu-tetamu ayah ke meja makan dulu. Makan malam dah siap. Nanti sejuk, tak sedap. Kita sambung borak-borak lepas ni." Belum sempat Eshal berkata apa-apa, ibu tirinya mempelawa.

"Jomlah, Nufail, Ardean! Kita makan malam," ajak Tan Sri Ghazi pula. Mengarahkan orang gaji untuk mengiringi tetamu ke ruang makan. Sempat dijeling ke arah cucunya di sebelah. Puas hati. Nasib baik dengar cakap dia malam ni.

Sementara itu pula, sambil melangkah ke ruang makan, Nufail mendekati adiknya.

"Kau apa hal?" soal Nufail dengan nada berbisik. Menagih jawapan untuk apa yang jadi beberapa minit yang lepas.

"Eshal tu bos kat tempat kerja aku," jawab Ardean.

Wajah Nufail sedikit terkejut. Really? Dia juga tak sangka. Kebetulan atau suratan?

"Dia..."

Ardean pantas angguk.

"So, untuk drama cinta kau malam ni, tolong jangan libatkan aku." Sempat dihadiahkan satu jelingan kepada abangnya. Nak beri amaran kononnya.

Tapi Nufail hanya senyum misteri.

"Tak janji."

----

Suasana di meja makan hanya tenang. Mereka semua hanya bertujuh. Tapi entah kenapa Ardean rasa ada ketegangan menular di atmosfera. Atau mungkin hanya dia yang rasa. Penangan aura si Elsa The Snow Queen yang duduk berhadapan dengannya. Dia masih tak sangka wanita itu yang cuba dijodohkan dengan abangnya.

Kecil betul dunia ni! Tapi, membayangkan Eshal dan abangnya...

Haish, tak boleh jadi ni! Macam tak kena je!

"Lama tak jumpa Nufail. Kali terakhir dulu masa follow up lutut ayah. Lepas tu, Nufail tukar tempat kerja ya?" Datin Hasnita bertanya. Doktor muda itu bukanlah seseorang yang asing untuk keluarga mereka.

Eshal cuma mendengar. Sekarang dia dah tahu dari mana datuknya sauk calon suaminya untuk kali ini. Bekas doktor dia rupanya. Datuk sungguh bahaya sekarang. Rasanya mana-mana teruna yang lalu di sebelah dan ada potensi untuk jadi bakal suami Eshal akan dimasukkan terus dalam senarai. Lebih dahsyat, escort terus ke rumah, macam sekarang.

"Saya memang bukan staf tetap di situ, auntie. Hanya clinical posting untuk beberapa bulan. Saya dalam latihan untuk menjadi pakar ortopedik masa tu."

"Kiranya sekarang ni, dah bergelar doktor pakar la ya?"

"Alhamdulillah, auntie. Saya pun baru beberapa bulan bergelar pakar secara rasmi. Masih banyak lagi yang saya kena belajar." Dengan merendah diri, Nufail menjawab.

"Wah, bagus kamu, Nufail! Muda-muda lagi dah jadi pakar. Bukan senang nak jumpa pakar yang masih muda." Suara penuh rasa bangga dan kagum. Datang dari Datuk Huzaini pula.

Nufail hanya senyum. Ya, dia memang dikira antara yang termuda sebagai doktor pakar. Ramai saja pegawai perubatan muda yang mahu menjadi pakar. Tapi untuk melepasi syarat-syarat yang ditetapkan bukan senang. Ada tapisan yang ketat. Lebih-lebih lagi untuk hospital kerajaan. Kuota untuk setiap pengambilan pun bukan banyak.

"Orang tua kamu tinggal kat mana? Masih kerja lagi?" soal Datuk Huzaini. Dia mahu tahu latar belakang anak muda itu.

"Petaling Jaya, uncle. Ya, mereka masih bekerja." Nufail rumuskan seringkas mungkin.

"Nufail ni anak Doktor Mahani dan Dr. Ar. Abdul Nuqman," celah Tan Sri Ghazi.

"Oh, ya? Maksudnya, kamu anak pemilik Estoria Specialist Medical Centre. Doktor Mahani sekarang ni masih lagi vice president ke?" Penuh keterujaan suara Datin Hasnita. Dia kenal dengan wanita hebat itu.

Nufail hanya senyum dan angguk.

"Dr. Ar. Abdul Nuqman? Uncle kenal ayah kamu. Arkitek Malaysia yang terpilih untuk design reka bentuk salah satu masjid besar di Mekah lebih kurang dua puluh tahun yang lepas. Sekarang masih kerja di syarikat sama ke?"

"Ayah berhenti beberapa tahun lepas tu. Buka firma sendiri. Tapi dah pilih untuk pencen tahun lepas. Sekarang ni jadi pensyarah kontrak di Taylor's University. Ajar postgraduate," jawab Nufail.

Ardean di sebelah hanya tenang sambil menghiris ketulan daging kambing yang penuh juicy itu. Diam sambil pasang telinga. Angguk-angguk kepala. Makin naiklah saham abangnya itu.

"Adik-beradik kamu? Kamu ada berapa orang adik-beradik?" soal Datuk Huzaini lagi.

"Saya ada tiga orang adik-beradik. Dua lelaki, seorang perempuan. Saya yang sulung. Yang kedua, adik perempuan, doktor estetik. Dia sekarang uruskan klinik kecantikan sendiri di Sri Hartamas." Nufail hanya jujur.

"Wah, nanti beri auntie contact number adik Nufail tu! Bolehlah auntie cuba rawatan di klinik dia pula nanti." Begitulah wanita. Teruja bila bab-bab kecantikan ni.

Nufail ketawa perlahan. Nampaknya adiknya itu dah punya potensi klien.

"InsyaAllah boleh, auntie."

"Yang bongsu pulak kerja apa? Doktor juga?" Kali ini dari Tan Sri Ghazi pula.

Tiba-tiba Ardean rasa macam tak berapa nak lepas daging kambing yang lalu esofagusnya. Pantas minum air sebelum dia tersedak di situ. Berdebar kerana secara teknikalnya dirinya yang dimaksudkan lelaki tua itu.

"Tak, dia bukan doktor." Nufail tenang menjawab. Kemudian teringat sesuatu.

"Eh, kejap! Lupa pulak. Secara teknikalnya, dia pun doktor juga sebab dia baru habis PhD in Physics," sambung Nufail sebelum ketawa pendek bagaikan ada sesuatu yang lucu.

"Oh, doctorate! Lari bidang ya adik bongsu kamu. Tak macam abang dan kakak dia."

Kata-kata itu buatkan Nufail automatik menoleh ke sebelah.

"Kalau dah otak Einstein, perangai dia memang lain dari yang lain. Anak bongsu pula tu. Memang senang je la ibu dan ayah nak ikut kepala dia. Anak emas la katakan." Mendatar suara Nufail walaupun sedang menyindir Ardean. Kenyataan yang satu keluarganya sudah tahu.

Ardean yang dengar rasa hanya mencebik dalam hati. Memang tak dinafikan dia anak emas. Kira okeylah dapat mandat tu sebab dah asyik kena buli dengan adik-beradik yang lain. Abangnya itu nak ambil remote TV depan mata pun sanggup panggil dan suruh dia yang duduk dalam bilik. Dahlah pakaian masa kecik-kecik dulu pun hasil sedekah abangnya saja. Jadi tak peliklah kalau sampai ke besar dia asyik rembat harta benda abangnya. Haha.

"Eh, asyik cerita pasal saya saja! Kita cerita pasal Eshal pula. Dari tadi asyik senyap saja." Nufail mengubah topik secara berhemah.

Pandangan dikalihkan ke arah Eshal. Wanita itu tak bersuara dari mula makan lagi. Wajahnya juga serius, macam yang adiknya selalu cerita. Eshal seperti seorang yang asing dalam keluarga itu. Walaupun Nufail hanya orang luar, dia boleh nampak bagaikan ada jurang di antara Eshal dan ahli keluarganya yang lain. Duduk pun selang satu kerusi di sebelah Datin Hasnita. Adalah tu konflik keluarga mereka, fikir Nufail.

Atau tak suka dengan makan malam ini? Eshal tak suka dengan aturan cubaan penjodohan ini? Kalau betul, wah... dia dah tak payah bersusah payah untuk menggagalkan semua ini.

"Nak tahu apa pasal saya?" soal Eshal seperti orang yang tak punya jiwa.

Tak ada yang menarik pun. Hanya perempuan tua yang sibuk dicarikan jodoh sebab takut esok lusa dah nak menopaus. Tak pun mampus. Bibirnya hampir saja menghamburkan kata-kata itu. Andai saja Ardean tiada di situ.

Dia pun tak tahu kenapa kewujudan Ardean buatkan dia lebih menjaga perilakunya. Mungkin sebab dia tak mahu Ardean bawa mulut ke pejabat nanti walaupun dia tak pasti sama ada Ardean lelaki jenis begitu atau bukan. Namun, dia mahu berjaga-jaga. Cerita dia biadap dengan tetamu bukanlah sesuatu yang harus dibanggakan walaupun hakikatnya itu dilakukannya semata-mata untuk buatkan lelaki yang cuba dijodohkan dengannya itu meluat dengannya. Ini Ardean tahu dia diaturkan jodoh pun rasa macam nak menyorok dalam almari. Nampak sangat tak laku tapi terdesak.

Tambahan pula, dia nampak Nufail baik orangnya. Air muka Nufail tenang dan kelihatan seperti orang yang bertanggungjawab. Dia juga tidak sombong dan sopan. Patut saja datuknya yakin tadi. Markah untuk Nufail mungkin akan jadi lima per lima andai saja dia bukan diperkenalkan oleh datuk. Oleh sebab itu, DNA memberontaknya terus saja jadi dominan. Auto dia bagi kosong.

"Ardean cakap Eshal bos dia. Wah, seronoknya kalau ada bos yang cantik macam Eshal! Patutlah Ardean tiap-tiap hari bersemangat nak pergi kerja."

Okey, dari kosong kini jadi negatif sepuluh! Eshal jadi menyampah mendengarnya. Dipandangnya Nufail macam nak kasi tembus meskipun lelaki itu senyum manis tanpa rasa bersalah. Bagaikan tak terkesan.

Ardean pula rasa nak pelangkung kepala abangnya. Pertama, sesedap oren je timbulkan isu tempat kerja. Kedua, sengaja cari nahas! Tengok muka Eshal umpama tercekik arsenik itu, dia dah tahu Eshal tak suka. Bukannya dia tak pernah cerita Eshal jenis macam mana kepada abangnya.

Abang memang sengaja...

"Oh, really?" Tan Sri Ghazi sedikit terkejut dengan kenyataan itu. Patut saja mata tuanya sempat perasan dua orang itu sesekali saling berpandangan.

"Ya, Eshal dan Ast... Ardean memang kawan sepejabat. Satu tim. Kenapa? Lepas ni, atuk nak adjust dia untuk Eshal pulak ke?" Selamba Eshal berkata.

Sunyi. Sebelum Datin Hasnita ketawa. Buat-buat ketawa. Namun ketawanya janggal buatkan suasana janggal makin janggal jadinya.

"Kelakarlah kamu ni, Eshal. Ada ke patut cakap macam tu depan Nufail dan Ardean." Sempat dijeling amaran kepada Eshal. Budak ni, kalau tak memalukan keluarga, tak sah!

Eshal buat selamba. Pisau menghiris daging kambing yang dicucuk garpu dengan penuh elegan. Tanpa rasa bersalah.

"Betul apa? Kira okeylah Eshal dah siap cadangkan next calon. At least Eshal dah kenal dia. Dengan Doktor Nufail belum tentu ada jodoh. Betul tak, doktor?" sinis Eshal.

"Hmm... kalau dengan Ardean, saya tak nampak apa masalahnya. Ardean pun baik budaknya. Tak mustahil pun kalau Eshal suka dia nanti." Nufail angguk-angguk kepala. Gelas tinggi yang mengandungi air putih itu dicapai, lalu disisip perlahan untuk menyembunyikan senyuman yang merekah.

Ardean di tengah-tengah hanya tenang habiskan makan. Sesekali geleng kepala dengan muka penuh reda. Psychological war. Dia tahu itu cuma taktik nak lepaskan diri mereka. Dua-dua dah bagi hint dan gambaran arah tuju 'hubungan' mereka selepas ini. Dua-dua nampaknya sekapal.

Tapi, kenapa dia yang tak bersalah yang jadi mangsa? Rasa nak high five dahi sendiri.

Dan lagi rasa nak high five dahi sendiri bila dia mendengar soalan itu.

"Ardean dah berpunya?"


1/8/2023

Continue Reading

You'll Also Like

3.9M 3.4K 1
Tajuk: KAD Penerbit: Buku Fixi ISBN: 9789670042985 Bil mukasurat: 324 muka surat Harga RM24.90 Sinopsis: Setelah lama belajar di rumah, sudah sampai...
23.4K 2.3K 14
Maaflah, author tak reti nak buat description.. โ—Amaran! Buku ni boleh tahan cringe bagi saya โ— My first ever story huhu so enjoy! Bismillah, Start...
6.4K 893 1
"Tak guna punya jantan!" KEPERCAYAAN Jina punah serta-merta apabila hubungannya bersama Tengku Hayyan diputuskan atas pemakaiannya pada malam itu. R...
211K 16.5K 42
selamat datang ke penerbangan wany airlines โ™ก + saya wanymadu, ketua juruterbang bagi penerbangan merentasi dunia alam persekolahan yang penuh drama ...