BAB 53

26K 2.3K 92
                                    

Tepat pukul 5 pagi, Noah terjaga dari lenanya. Sebelah lengannya terasa berat dihempap kepala Maria. Mereka kini sama-sama tidur di lantai beralaskan dua tilam. Puas memaksa Maria untuk tidur di atas katil tapi wanita itu berkeras mahu tidur dengannya sudahnya dua-dua tidur di lantai.

Perlahan-lahan dia mengangkat lengannya sebelum meletak kepala Maria di atas bantal. Maria begitu lena disebelahnya dan kelihatan begitu penat.

Puas menilik wajah isterinya, Noah bangkit menyalakan pelita di atas meja Maria. Satu senyuman tersungging dibibir melihat gambar-gambar ditampal Maria didinding. Ada foto lama dirinya dan Maria. ada juga foto lama Maria bersama keluarganya dan rakan yang lain. Pasti hanya itu menjadi pengubat rindu wanita itu.

Perhatian Noah teralih apabila bunyi seseorang sedang membuka pintu rumah kedengaran. Noah berpaling lantas mengatur langkah keluar dari biliknya dan Maria.

Terjenggul wajah kepenatan Syira di muka pintu.

"Bagaimana dengan tentera yang lain?"

Hampir luruh jantung Syira disapa mengejut. Kenapa tentera Gavriel ini? Suka menyapa tanpa salam!

"Kamu Noah, belum tidur lagi?" Soal Syira kembali.

Anak mata Noah bergerak menunjuk jam ke dinding.

"Sekarang dah pukul 5." Tenang lelaki itu membalas. Syira tersenyum kekok.

"Saya tidak perasan sudah pukul 5 pagi. Terlalu ramai tentera yang perlukan rawatan, ada antara mereka tak dapat kami selamatkan. Ada yang parah dan sekarang dibawa balik Gavriel ke tempat mereka. Disini tiada kemudahan rawatan yang canggih."

"Kami hanya mampu lakukan apa yang kamj mampu." Seperti memberi laporan gadis itu menyatakan situasi semasa semua tentera-tentera itu.

"Terima kasih." Mendatar suara Noah.

"Saya masuk dulu." Sebaik menutur ayatnya, Syira melangkah menuju ke biliknya.

"Er! Maaf." Belum sempat gadis itu membuka pintu Noah tiba-tiba membantutkan niat Syira. Syira berpaling dengan kerutan.

"Kenapa maaf?" Soal Syira hairan. Tak ada ribut tak ada angin, lelakj itu tiba-tiba menutur maaf? Mamaikah?

"Boleh aku tahu, vitamin apa yang kau maksudkan pada Maria semalam?"

"Vitamin..?" Mata Syira menyipi cuba mengingat sesuatu.

"Oh!" Syira memandang Noah sepertinya dia sudah ingat.

"Vitamin tenaga. Atau suplemen untuk kekebalan wanita hamil. Pil itu direka oleh Timur Feyre sendiri dan khas untuk wanita hamil disini."

Giliran Noah mengerut kening.

"Macam yang aku cakapkan hari itu wanita Timur Feyre yang mengandung sangat lemah pada Trimester pertama. Mereka bahkan memerlukan bantuan untuk bergerak. Itu menjadi masalah untuk kami jika berlaku kecemasan atau ancaman."

"Sebab itu vitamin itu direka, tetapi kandungannya yang agak bahaya, sebab itu kami hadkan penggunaanya. Hanya tiga biji di trimester pertama jika perlu."

"Jadi vitamin itu digunakan untuk wanita Timur Feyre lindungi diri mereka?"

"Yup, pil itu kaya dengan zat besi yang dosnya 32mg untuk tenaga bagi ibu hamil, tapi dos yang sepatutnya wanita mengandung ambil hanya 27 hingga 30mg. Lebih dari itu boleh menyebabkan keguguran dan kecacatan bayi." Layak seperti seorang doktor yang sedang memberi keterangan.

Wajah Noah berkerut-kerut cuba mencerna ayat-ayat yang keluar dari mulut wanita itu.

"Selain itu bahan utama Vitamin A. Retinol dalam vitamin A boleh jadi racun berbahaya, bukan sahaja untuk bayi. Juga bahaya untuk Maria."

GAVRIELWhere stories live. Discover now