Episod 23: PUAKA AYER HITAM

Start from the beginning
                                    

"Pukoi berapa meeting?"

"Pukoi 9.30 malam"

“Hadoiiii boringnya.... mesyuarat waktu malam lagi!,” kata aku merungut.

Tetapi apa nak buat, bila dipanggil mesyuarat perlu hadir juga. Kalau tidak hadir, bila sampai kerja esok siaplah aku kena tempik dengan boss kecil dan boss besar. Masaklah aku!

Malam itu yang paling menyampah ialah boss seperti sebelum-sebelumnya masuk mesyuarat lewat. Alasan boss, dia ada urusan lain yang lebih penting.

Mesyuarat yang dijadualkan pada pukul 9.30 malam, tetapi boss datang hampir pukul 11.00 malam. Tapi apa hendak dikata, boss always right!!

Malam itu kebetulan agenda mesyuarat agak banyak. Dah la agenda banyak, yang aku paling benci ramai sangat orang nak cakap. Masing-masing nak tunjuk pandai dengan memberi pelbagai idea. Pada hal semua itu idea basi yang cuma sesuai untuk makanan ayam.

Dan akhirnya kerana boss cakap panjang, orang lain pula cakap meleret,  mesyuarat cuma habis pada pukul 12.45 pagi. Hadoiiiii!!

Habis saja mesyuarat, aku cepat-cepat berjalan menuju ke kereta. Hidupkan enjin dan terus menekan minyak tinggalkan Kangar. Harap-harap sampai cepat ke rumah. Harap-harap pukul 2.00 pagi sudah dapat peluk bantal dakap!

Seperti biasa bila pandu kereta seorang diri, aku akan pasang radio agak kuat. Sambil dengar radio, sesekali mulutku ikut menyanyi. Menyanyi itu bukan apa, selain dari menghiburkan hati, ia juga untuk hilangkan rasa mengantuk.

Malam itu entah mengapa, lepas saja melepasi pekan Sanglang, kereta di jalanan menjadi semakin kurang. Bila tiba ke pekan Ayer Hitam, aku perhatikan tiada kereta di depan dan di belakang aku. Hanya  kereta aku saja merupakan kenderaan tunggal atas jalan.

Aku menatap jam di dalam kereta. Sudah pukul 1.20 pagi rupanya. Patutlah jalan sudah sunyi.

Kira-kira 2 kilometer selepas pekan Ayer Hitam, kereta yang aku pandu melalui sebuah kawasan bendang. Kiri kanan bendang yang maha luas sejauh mata memandang. Dan di situlah segala-galanya bermula…

___________________________________

Tiba-tiba dalam kedinginan hembusan aircond kereta, telingaku menangkap bunyi gemersik yang sangat kuat dari arah sebelah kanan bendang. Tiada hujan, tiada ribut, tapi bunyi apa yang menderu sekuat itu?

Bila aku perhatikan ke arah bunyi kuat itu, ternampak satu objek besar berwarna putih bergolek-golek dari tengah bendang menuju ke arah jalan raya.

Objek putih dan besar itu tiba-tiba berhenti di tengah-tengah jalan raya seperti mahu menghalang laluan keretaku. Di bawah sinar bulan yang hampir penuh, jelas kelihatan rupa objek tersebut. Ia menyerupai satu objek putih bergulung selebar kira-kira 3 meter sedang melintang di tengah jalan. Sesekali ia bergolek ke depan dan sesekali berundur ke belakang.

"Ya Allah..apa benda ni??" terpacul kata-kata dari mulutku.

Pilihan aku ketika itu ialah sama ada mengelak atau langgar saja objek itu. Kalau cuba mengelak dalam keadaan  jalan berlekoh tajam seperti itu, mungkin aku dan kereta sekali akan terpelanting masuk bendang. Kalau langgar pula, kereta aku mungkin rosak teruk.

Dan akhirnya aku nekad melanggar saja objek itu.

"Bummmmmpp!!!" satu bunyi hentakan sangat kuat memecahkan keheningan pagi.

Ketika itu aku berkata dalam hati: habislah kereta aku!!

Aku mengucap panjang, beristighfar dan membaca beberapa ayat suci sambil cuba membawa kereta setenang mungkin. Aku tidak berani tengok cermin belakang kereta, takut ternampak sesuatu yang aku tidak bersedia untuk tengok!

Jangan Buka HijabkuWhere stories live. Discover now