"Sebab esok hari putih. Hari yang mana sunat untuk berpuasa," sambung Mahfuz. Keberanian untuk bertanyakan nama tidak ada lagi. Maka, matanya memilih untuk membaca tag nama si dara.

"Terima kasih, Fatihah," ucap Mahfuz lalu beredar pergi.

Fatihah meneguk liur kesat. Gegendang telinga mula disapa bacaan ayat suci Al-Quran meniti di bibir lelaki tua itu. Selama dua tiga hari gadis itu tidak menunaikan solat kerana haid. Juga sepanjang itu jugalah Fatihah langsung tidak mendengar ayat Al-Quran.

Kebahangan dalam tubuh badan dapat dirasai. Dia tidak mampu duduk diam di situ namun ditahan juga. Air mata gadis itu menitis jatuh ke baju. Rasa sakit terus mencengkam hingga dunianya menjadi gelap.

***

Mahfuz tidak berlembut apabila berhadapan dengan benda itu. Dia mencengkam bahu Fatihah kasar untuk menahan si gadis bangun dan pergi. Tudung Fatihah habis tercabut. Mata gadis itu pula memerah bagai biji saga. Kalau diharapkan tenaga ummi, takut yang lain pula jadi. Betis yang sakit sudah dilupakan Mahfu saat itu.

Maka, pemuda itu menekan kedua-dua bahu Fatihah untuk kekal di lantai. Biarlah kaki gadis itu yang terkapai-kapai. Walau tubuh Fatihah kecil sahaja, tenaganya pada malam itu setanding Mahfuz. Lama Mahfuz bergelut dengan jasad Fatihah, ayat Al-Quran kekal terbaca di bibir.

Tangisan gadis berambut panjang itu bertukar pula pada kekekkan ketawa. Yang ada di hadapan mata bukan lagi Fatihah yang asal. Ada sesuatu yang telah menginap di badan gadis itu sehingga meninggalkan rasa sakit teramat. Sudah dirujuk pada doktor petang tadi, doktor hanya kata itu senggugut biasa.

Hanya Mahfuz seorang cukup untuk menangani amukan Fatihah. Kudrat gadis itu melemah apabila walid dan Mahfuz kedua-duanya sedang membaca ayat Ruqyah daripada Al-Quran. Sudah penat bergelut, air mata berlinang pula di wajah Fatihah.

Hati Mahfuz menjadi sayu. Dia kekalkan cengkaman pada bahu Fatihah, mata dialihkan ke tempat lain. Ada seseorang telah menghantar sihir pemisah pada Fatihah dan Mahfuz. Namun, hanya Fatihah sahaja yang kecundang kerana amalan pelindung yang Mahfuz amalkan cukup untuk memelihara diri sendiri dengan izin Allah.

"Lepaslah!" tengking Fatihah.  "Kenapa pandang lain? Pandang aku ni!"

Tengkingan Fatihah tak mahu dibalas Mahfuz. Suara lembut selama ini telah bertukar garau.

"Budak perempuan ni jadi macam ni sebab kau. Kalau kau tak masuk dalam hidup dia, dia tak akan terseksa macam ni..." sambung suara garau itu. Segalanya ditujukan pada batang hidung Mahfuz.

"Dan perempuan yang kau suka ni dah tak ada dara... Dia dah bersama dengan lelaki lain banyak kali. Aku pun tak nak dekat dia, kenapa kau nak?" Ayat itu diakhiri dengan gelakan ketawa. Sekejap Fatihah menangis, sekejap lagi dia ketawa seperti orang gila. Makhluk itu benar-benar menyeksa diri lemahnya.

Mahfuz memandang walid. Gelengan diberikan padanya agar terus mengabaikan ayat-ayat makhluk itu. Tahulah Mahfuz jin yang terperangkap dalam badan Fatihah hanya mahu melemahkan dia.

Lelaki itu membacakan ayat Ruqyah berulang kali dalam suara separuh berbisik. Walid menyudahkan bacaannya juga. Solat tahajjud telah dibuat sebelum hadir kepada Fatihah.

Jeritan nyaring gadis itu kedengaran memecah benak. Ia menceritakan kesakitan yang teramat. Biji matanya memandang jauh ke siling putih rumah.

Tidak lama selepas itu, Mahfuz dapat merasakan tubuh Fatihah tidak lagi melawan. Maka, dia pun melepaskan gadis itu. Mata lemah Fatihah memandangnya lama sebelum gadis itu sendiri bangun mengiringkan badan. Anak tekaknya memuntahkan isi perut. Fatihah melinangkan air matanya.

LUTH MAHFUZ : JALAN TAUBAT ✓[C]Where stories live. Discover now