17 : Bunga yang Layu

2.1K 307 14
                                    

Setelah Hakim ke tempat kerja di awal pagi, tinggallah Puan Dalila berdua dengan Luth. Sarapan pagi disiapkan wanita itu subuh-subuh lagi kerana Hakim biasanya bertolak pada jam 7 pagi. Perbuatannya yang sedang menyedok nasi lemak ke dalam pinggan kaca diperhatikan Luth.

"Ibu, boleh tak Luth nak duduk dengan ibu bila Mawar dah kahwin?" Lama Luth fikir berkenaan cadangan ibu bagi mengikat Mawar dengannya. Matanya sekejap jatuh pada nasi kemudian beralih pula pada wajah ibunya.

"Boleh. Luth nak duduk rumah asuhan tu?"

"Nak. Rasa macam dah takde guna Luth duduk dekat sini. Baik Luth ikut ibu balik." Bibir keringnya masih mahu membentuk senyuman nipis. Apabila dilihat kembali hubungannya dengan Mawar, banyak perkara yang telah membuatkan Mawar jauh dengannya. Dia tidak dapat mengawal emosi sendiri, hal yang kecil pun akan jadi besar. Mungkin benar Mawar telah dewasa dan layak memiliki keluarga sendiri.

"Kalau betul Luth nak lepaskan Mawar, tengoklah dulu pada siapa yang akan dilepaskan tu. Luth mesti nak orang yang baik kan untuk jaga Mawar?" Soal hati ini Puan Dalila hanya mampu jadi penasihat. Pinggan nasi dihulurkan pada anak angkatnya.

"Ya. Luth nak yang lagi baik dari Luth. Dia layak untuk dapat lelaki yang baik dan dapat bimbing dia." Kali ini, Luth sendiri yang akan undur diri. Dia akan beri ruang pada Mawar buat memilih masa hadapan. Tak perlu diungkit segala budinya pada Mawar kerana ungkitan ini tidak akan selesai. Hasilnya, dua-dua pihak yang terluka kelak.

"Baiknya anak ibu. Nah, kita makan dulu. Ibu tak kisah pilihan Luth sebab Luth kan dah besar?" ujar Puan Dalila.

Pujian 'baik' itu bagai tidak kena pada tempatnya. Luth sedar dirinya bukanlah seorang yang baik, banyak dosa telah tercatit dalam buku amalan.

"Luth kerja apa selama ni. Sama macam Mawar juga ke? Hari ni tak pergi kerja?"

Air muka lelaki itu terganggu sedikit tatkala soal kerjanya menjadi topik perbualan. "Em, lebih kurang macam tu la," dalihnya cepat-cepat. Andai ibu tahu dia mencuri, pasti ibu tak lagi mahu mengaku dirinya sebagai anak.

"Luth nak berhenti kerja tu, tak berbaloi mana pun. Lebih baik duduk dengan ibu. Jaga rumah tu... Jaga ibu..." Pinggan nasinya ditarik lebih dekat. Rongga hidung habis terbelai dengan haruman santan dan pandan. Liurnya menjadi kecur.

"Iya Luth nak jaga ibu? Untunglah ibu. Nanti kalau dah tua, ada juga peneman," balas wanita itu. Setiap balasan ibu sentiasa menyejukkan hati Luth kerana ibu seorang yang lemah lembut. Reaksi wajahnya pun amat meraikan orang yang sedang bersembang dengannya.

"Ibu nak balik rumah asuhan tu bila?" Satu suap nasi lemak bersambal ikan bilis masuk ke dalam mulut. Gembiranya dia dapat menguyah masakan seorang bergelar ibu.

"Lusa. Luth nak ikut sekali?"

"Tak boleh. Luth kena tengok dulu siapa pakwe Mawar. Luth kena pastikan Mawar kahwin betul-betul depan mata Luth, lepas tu barulah Luth boleh kemas semua barang dan tinggal dengan ibu. Tak kena pula kalau Luth tiba-tiba tinggal Mawar macam orang patah hati." Tawa halusnya kedengaran.

"Luth tetap abang dia. Jadi... Kenalah jalankan tanggungjawab seorang abang. Kalau Mawar pergi, Luth masih ada ibu."  Jarinya membentuk satu suapan nasi di atas pinggan. Kulit ayam goreng dicariknya perlahan-lahan kerana panas.

"Kalau ibu pergi?" soal pula si ibu. Luth sudah lama terbiar di jalanan. Makan minumnya tidak terurus apatah lagi bab agama. Puan Dalila tidak pernah menghukum Luth kerana dia faham onak duri yang dilalui anak ini.

Terus perbuatan Luth terhenti. Dia berkerut tidak setuju memandang Puan Dalila. Seleranya hilang bagi menyuapkan nasi lemak di tangan.

"Luth tak ada siapa-siapa. Lebih baik Luth pergi juga," jujur Luth. Wajah berkedut itu ditatapnya bersulamkan senyuman nipis.

LUTH MAHFUZ : JALAN TAUBAT ✓[C]Where stories live. Discover now