26 : Jasad Lain

2K 346 47
                                    

Cahaya putih dari lampu siling menyilau ke seluruh benak bilik. Tangan diangkat meneduhkan mata. Dia perlahan-lahan bangun untuk duduk di atas katil. Persekitaran bilik diperhatikannya dengan fikiran yang kosong.

Apabila mata dipejamkan, bunyi perlanggaran motornya dan lori terus menerjah masuk ke corong telinga. Berdentum satu bunyi yang amat kuat. Cebisan motor terseret sepanjang jalan. Nafas Luth menjadi tidak menentu. Dia menekur wajahnya.

Benda pertama yang diperiksa ialah lengan kerana itu sahaja yang terlihat. Dia menilik lengan kiri dan kanan, dari hujung jari ke lengan. Kening Luth berkerut hairan. Dia terus membuka baju yang tersarung ditubuh.

Jatuhnya dari motor membuatkan dia tergolek agak jauh. Seharusnya kulit tubuh badan habis bercalar dan terluka dengan teruk. Terutama sekali bahagian tulang yang tersembul seperti siku, jemari tangan dan tulang pinggul.

Luth memeriksa pula keadaan kepala sendiri. Sebarang jahitan pun tiada malah dia rasa sihat sahaja seperti selalu. Rambut diraup ke belakang. Lelaki tidak berbaju itu menelentangkan badan jatuh ke katil.

Dia tidak punyai idea tentang apa yang telah terjadi. Ini satu perkara yang amat musytahil. Kedua biji mata itu sendiri menyaksikan perlanggaran sebelum segalanya menjadi gelap. Mustahil jika satu calar pun tidak hinggap di tubuh. Akhirnya Luth buat keputusan untuk berdiri. Dia melangkah ke muka pintu dalam keadaan penuh tertanya-tanya.

Rumah ini juga entah rumah siapa. Dia bukannya di hospital mahu pun klinik.

"Adik. Dah okay?"

Luth memberhentikan langkah. Seorang wanita 50-an sedang menghampirinya.

"Kenapa tak pakai baju? Dalam rumah ni ada Fatihah, malu kalau dia tengok. Pergi masuk bilik balik," ujar wanita itu sambil  menepuk bahu Luth dengan lembut.

Luth berkerut tidak mengerti. "Mak cik ni siapa?"

"Mak cik?" Puan Munirah pula yang berkerut. Wajah pucat anaknya disentuh. "Adik nak main-main dengan ummi ke ni?"

Angguk mahupun geleng tidak diberikan. Luth kekal berdiri statik di hadapan wanita itu dengan seribu satu tanda tanya. Dia kaku di situ. Ini bukan rumah Hakim, ini juga bukan rumah flatnya.

"Adik tak baik lagi demam?" Ummi memeluk lengan anak terunanya. Dia membawa pemuda itu untuk masuk ke bilik kembali lalu pintu ditutup. Kehadiran Fatihah di rumah itu tidak membenarkan mereka membuka aurat sesuka hati. Namun, tiada bezanya keranaa sebelum kehadiran Fatihah pun memang mereka sangat menjaga aurat dan kehormatan diri antara ahli keluarga. Walid tidak pernah memperlihatkan kulit badannya pada anak-anak di rumah itu.

"Demam?" Luth memegang wajah sendiri. Rasa panas membahang melekat di kekura tangan.

"Adik demam lagi ni. Duduklah sayang. Tak payah buat apa-apa kerja," balas wanita itu. Dia dan Luth berlabuh di birai katil.

Perlahan-lahan Luth meleraikan pelukan tangan wanita yang tidak dikenalinya. Dia memegang kepala sendiri yang mula sakit. "Mak cik ni siapa? Saya dekat mana ni?"

Keliru Luth bukanlah dibuat-buat. Sungguh dia tidak boleh terfikir dek akal untuk mempunyai seorang wanita yang membahasakan diri sebagai ummi. Secara kasarnya, dia sudah punyai seorang ibu dan itu lebih dari cukup. Siapa pula 'adik' yang dimaksudkan wanita itu?

"Ni ummi. Adik memang tak ingat apa-apa?" Wanita itu menghela nafas halus.

"Ummi? Siapa ummi?" Luth menggeleng.

"Ummi ialah ibu kepada Mahfuz. Mahfuz anak ummi." Dia mengusap pipi anaknya. "Kalau adik tak ingat, tak apa. Jangan paksa diri. Semua orang maklum yang adik tak boleh ingat banyak benda."

LUTH MAHFUZ : JALAN TAUBAT ✓[C]Where stories live. Discover now