21 : 2 minggu

2K 322 17
                                    

"Awak. Kenapa asyik lari dari saya?"

Pelipis sendiri dipicit meskipun tidak sakit. Setiap kali panggilan yang diterima pasti berbaur begini. Menyesal pula panggilan Khairul diangkat.

"Cubalah faham. Saya tak nak ada apa-apa kaitan dengan awak. Titik," tegas Fatihah. Dalam menunggu kereta sewa tiba, matanya melilau ke kiri dan kanan stesen minyak itu.

"Apa yang awak nak? Saya boleh beri."

"Saya tak nak apa-apa. Pergi tawarkan benda macam ni dekat perempuan lain," balas Fatihah. Dia amat takut andai Khairul tiba-tiba muncul di tempat kerjanya. Lelaki itu terlalu gila mahukan hubungan terlarang seperti dahulu. Fatihah sudah serik hidup tiada arah. Tubuh dan hatinya kotor selama beberapa bulan. Itulah saat yang amat disesali kini.

"Kenapa jual mahal ni? Berapa mahal awak nak saya bayar? Bagi je la nombor akaun, aku boleh bank in berapa banyak duit yang kau nak. Datang je la sini, perempuan."

Itulah maruah Fatihah pada mata Khairul. Fatihah tersenyum nipis sambil menggeleng. Pasti tubuhnya terlalu murah sewaktu dahulu.

Malas membazirkan air liur dengan orang sebegini. Buat sakit otak sahaja. Dari jauh kelihatan pacuan yang ditempah melalui aplikasi tiba. Fatihah memeriksa beg sandangnya terlebih dahulu. Segala barangan penting ada di dalam termasuklah kitab pemberian ummi Mahfuz.

Gadis itu berlari anak ke kereta yang menanti. Dia meloloskan diri ke dalam dan meliarkan mata ke sekeliling sekali lagi. Sudah lewat hampir jam 12 malam. Shiftnya bermula dari jam 9 pagi setiap hari. Cuma atas niat mahu belajar bersama ummi Mahfuz, Fatihah telah membuat permohonan untuk diberi pelepasan pada waktu maghrib hingga isyak. Dia terpaksa berada dalam keadaan terkejar-kejar hanya untuk menyempatkan diri belajar bab fardhu ain baharu setiap hari.

Gadis kecil itu menekur riba. Rasa tidak sedap hati hadir menjengah. Dia segera melontarkan pandangan ke luar tingkap, kemudian dilihat pula cermin hadapan kereta.

Dirasakan seolah mata Khairul sedang memerhatikannya dari jauh.

Deringan telefon memecak benak dalam perjalanan pulang ke rumah. Nama Khairul muncul di skrin telefon berkali-kali. Lama Fatihah berfikir untuk mengangkat atau tidak panggilan bekas teman lelakinya.

"Kau nak lari mana? Balik rumah?"

Degupan jantung gadis itu mula memainkan rentak tidak terkawal. Nafasnya jadi sesak sedangkan dia hanya duduk diam di dalam kereta panduan.

"Aku ada dekat belakang kau ni. Kalau balik rumah pun kau nak lari mana? Tak sempat naik rumah aku dah boleh tarik kau masuk kereta aku. Aku minta kau luangkan masa sekejap pun tak boleh ke?"

Keagresifan Khairul akan menghentamnya andai dia gagal melarikan diri. Khairul selalu begitu, suka mencari perhatiannya walaupun dia sedang sibuk di tempat kerja. Dek kebodohan sendiri, Fatihah akur dan terus akur. Kali ini dia tidak akan jadi bodoh lagi.

LUTH MAHFUZ : JALAN TAUBAT ✓[C]Where stories live. Discover now