Bab 8

1.2K 45 4
                                    

   Pagi itu aku ke sekolah dengan mata sembab. Bukan sebab menangis tetapi sebab tak boleh tidur memikirkan masalah orang dewasa yang bermasalah. Apa masalahnya sebenarnya? Kepala aku makin kusut, elak jadi gila je. Masalah ni tiada kaitan kan dengan apa yang Haziq beritahu tempoh hari? Mereka. Sementara. Ini cuma kebetulan. Tak, sebenarnya aku masih cuba meyakinkan diri sendiri.

    "Anastasia, mana kerja awak?" ketukan di meja membuatkan badanku terhinjut sedikit. Mengelamun lagi. Riak muka Puan Maimon yang 24 jam serius itu memaksa aku menundukkan pandangan. Pelik betul tak lenguh ke muka dia? Aku bayangkan mukanya yang tegang itu dengan kaca mata petak, tiada langsung garis senyuman saat dia dilamar oleh suaminya dulu. Kesian.

   "Saya bukan tunggu sini nak tenung muka awak. Cepat keluarkan," lekas tanganku meraba bawah meja, mencari buku latihan Matematik. Si Shasha sudah beritahu lebih awal jangan tunjuk homework depan Puan Maimon, mana tahu dia terlupa. Tapi aku dah dapat jangka sangkaan kawan aku tu jauh meleset. Berdirilah dia di sebelah aku macam tiang traffic light yang rosak. Terkebil-kebil. Dan malangnya aku pula tak jumpa buku aku. Penat tahu bersengkang mata menyiapkan latihan tu. Rasanya tadi ada. Aku yakin ada.

    "Errrr kejap. Tadi ada, cikgu," cubaan untuk menyelongkar beg pula. Aku selak buku-buku hingga ke celah bawah beg tetapi apa yang aku temui hanyalah kebuntuan. 

   "Buku awak ada pasang ilmu ghaib ke? Diri sampai habis kelas!"

   "Kejap. Saya dah siapkan," aku masih lagi menggeledah beg sekolah, mengintai bawah meja apabila Puan Maimon sudah beralih ke tempat Abu. Entah kenapa tiba-tiba mata ni terasa berair. Putus asa dengan usaha yang sia-sia, aku gagahkan diri untuk bangun. Aku toleh ke arah Shasha yang buat muka tak tahu sambil membelek-belek kukunya. Zahrah dan Elin hanya berpandang sesama sendiri. Sesak dada dibuatnya. Tarik nafas, Ana. Jangan tunjuk emosi sangat.

    Sebaik sahaja Puan Maimon beredar, Shasha lantas menghulurkan buku latihan aku. "Asal kau buat camni?" tangan aku menyambut kasar. Manalah aku sedar Shasha sempat mengambil buku latihan dari bawah meja aku kalau asyik baringkan kepala atas meja, fikiran menerawang ke mana-mana.

  "Kata kawan. I jump you jump," Shasha hanya menyengih macam kerang busuk. 

  "Tapi apa yang kau buat tak kena cara!" bentak aku agak kuat sehingga mengumpan perhatian sebahagian dalam kelas. Shasha sendiri agak terkejut. Biar dia rasakan.

  "Lek ah. Benda kecil je pun, Ana," sampuk Elin di hadapan. Zahrah di sebelahnya tidak berani berkata apa-apa, memandang aku dengan pandangan yang sukar untuk dimengertikan. 

  Aku mendengus kasar, menekup wajah dengan kedua belah tangan. Masih agak kesal dengan tindakan Shasha. Mungkin perkara ni cuma perkara biasa yang belum pernah aku ketahui. Meniru kerja sekolah, mencuri kerja sekolah. Kalau dulu di sekolah swasta, semua orang buat hal masing-masing, tiada yang peduli tentang aku. Bila papa dapat tahu perkembangan pelajaran aku yang teruk, aku dipindahkan ke sekolah kerajaan. Di sini aku baru tahu berkawan. Aku sepatutnya bersyukur adanya mereka yang sudi.

  "Sorry, Sha. Aku tak berniat nak marah," ucapku perlahan sambil menjeling sekilas ke arahnya.

   Tiada jawapan.

***************************************************************************

  Pulang sahaja ke rumah, aku dihidangkan dengan pemandangan yang sekali lagi memaksa diri untuk berteka teki. Jawapan yang diterima daripada hati sememangnya membuatkan aku tak keruan. Aku meletakkan beg galas di atas sofa. Bagasi besar dengan dua beg lagi kelihatan tersusun kemas di tepi tangga. Mama turun dari tingkat atas dengan tas tangannya, lengkap berbaju kurung dan berselendang biru. Aku menelan air liur, tekak terasa perit.

   "Ma, nak pergi mana?" soalku sambil tercegat bersebelahan beg-beg tersebut.

   "Nak balik tengok kampung kejap," balas mama perlahan. Dia tiba di sisi aku sambil mengukir senyuman yang dibuat-buat. Bibir mama merekah dan kering. Sekeliling matanya gelap macam orang tak cukup tidur. Mana pergi mama yang suka melaram dulu? Yang cantik yang suka berceloteh?

   "Pergi kampung buat apa? Siapa je yang ada kat sana?" bertubi-tubi soalan aku lontarkan.

   "Saja, Ana. Mama rindu,"

   "Ana ikut?"

   "Tak, mama nak pergi sorang. Ana kena sekolah. Tahun depan dah SPM," bagasi beroda itu ditariknya menuju ke luar rumah. Aku mengekori langkah mama sambil menjinjit beg yang tinggal. Bonet kereta yang sudah sedia ternganga diisi dengan kesemua beg tadi. 

    "Papa mana? Tak ajak teman ke?" aku bersandar di tepi Myvi ungu itu sambil menyilangkan tangan.

    "Dia.........kerja. Dia ada banyak kerja,"

  "Jangan nak tipu Ana, mama. Ana je anak mama, bukannya orang lain. Kalau ada masalah sepatutnya bicang baik-baik, bukannya lari macam ni. Tak kesian kat Ana ke?" emosi yang hampir pecah aku cuba kawal sedaya yang mungkin. Sejak dua menjak ni aku senang sahaja meluahkan perasaan yang terbuku di dada. 

   "Ana tak faham. Tak payahlah sibuk ambil tahu hal orang tua. Bagi masa je kat kami, please? Papa ada jaga kamu. Dah, mama nak gerak," sakit di hati tiada siapa yang tahu. Aku cuba pendam segala rasa yang bercampur baur ni. Salam yang dihulur aku sambut cepat lalu berlari masuk ke dalam rumah, mengunci pintu. Duduk luar lama-lama hanya membuatkan aku rasa nak lari, lari daripada dunia sebenar kalau boleh. Di sebalik langsir aku hanya menyaksikan kereta mama perlahan-lahan hilang daripada pandangan sebelum berkurung diri di dalam loteng, melepaskan air mata.

***************************************************************************

    Entah kenapa malam tu aku berasa tak terkawal. Kepala ni asyik berpusing, lama sangat berbaring agaknya. Dari petang tadi hinggalah sekarang, tepat pukul 12 pagi. Tekak meminta air, kering semacam. Aku malas mahu menjenguk papa dah balik ke belum. Biarlah, orang tua. Suasana dapur yang suram sedikit pun tak menggoyahkan aku. Sengaja aku biarkan suis lampu tidak dibuka. Sebaik sahaja mencapai sebotol air mineral dalam peti ais, aku duduk di atas kerusi tinggi tepi kaunter dapur, membiarkan penglihatan aku menjengah di setiap sudut ruang itu. 

   Kling!

   Benda besi yang tidak sengaja tanganku menolak, jatuh ke atas lantai. Segera aku mengutip semula, terasa tajam. Pisau. Aku membawa alat itu dekat ke pandangan. Cahaya bulan yang menyusuri tingkap dapur membalikkan imej mata aku yang sedikit merah pada bilah pisau yang bersinar. Aku tenung lama ke dalam mata aku sendiri. Apa yang aku rasakan selama ni. Aku nampak semuanya. Aku nampak. Aku nampak. Aku nampak!

  Dalam keadaan separuh sedar, entah bagaimana mata pisau itu aku bawakan ke lengan kiri. Tangan kanan menggigil tetapi tetap berdegil untuk menekan lebih dalam kulit itu. Garisan merah panjang sudah tampak pada lengan dekat dengan bahagian atas siku, sebelum aku terasa pedih. Pedih yang melegakan. Titik-titik darah mula timbul. Aku hanya membiarkan rasa sakit itu menggantikan sakitnya perasaan yang aku rasakan di jiwa.

***********************************************************************************

TIKAMWhere stories live. Discover now