Bab 6

1.2K 48 3
                                    

    Buku latihan Matematik dibiarkan tersadai di atas meja belajar. Satu soalan pun aku belum sentuh. Tengah hari tadi mama tiba-tiba terpaksa batalkan rancangan untuk keluar. Ingatkan bolehlah kurangkan tekanan bila dapat berbual lama dengan mama. Ini angin tiada, ribut tiada, tahu-tahu sebaik sahaja aku pulang ke rumah, mama sudah bergegas untuk keluar. Urusan penting katanya. 

     Papa pula belum balik lagi. Masih kat ofis, overtime. Tinggallah aku seorang di rumah besar ni. Nak takut hantu? Tak adanya melainkan si Haziq tu tiba-tiba muncul kat tingkap bilik memang aku ajak papa pindah rumah terus. Oi kenapa masih memikirkan mamat tu, Ana? Jangan fikir!

     Tet...tet...

     Telefon aku bergetar di tepi meja. Tertera di skrin nombor yang tidak dikenali. Siapakah? Intensiti perasaan ingin tahu dalam diri aku terasa membuak-buak. Biarlah orang kata curiosity kills the cat, aku tetap dengan pendirian aku sendiri, belum cuba belum tahu. Slide to answer.

     "Hello?"

     "Ana. Ni Aunty Sara. Kau ada kat rumah? Kejap lagi aku sampai. Mama kau suruh tengok-tengokkan kau. Tengah on the way ni,"

   "Errrr..ya.." belum sempat aku menghabiskan percakapan, talian sudah dimatikan. Ni mesti dia mintak nombor telefon aku daripada mama. Selama ni nak kena tunggu kucing bertelur baru dia nak tanya berkenaan info peribadi aku. Harapnya Maria ada sekali. Bergegas aku turun ke tingkat bawah untuk menyediakan sedikit kudapan. Manalah tahu 'mem besar' tu kebulur, takdelah aku terkocoh-kocoh. Rasanya popia daging sejuk beku masih ada lagi.

     Lebih kurang 15 minit sudah berlalu, kedengaran loceng berbunyi. Aku mendapatkan Aunty Sara di muka pintu bersama Maria. Aku hanya memerhatikan langkah mereka menuju ke sofa ruang tamu. Diam seribu bahasa. Aneh.

   "Maria nak makan?"

   Pertanyaan aku dibalas dengan gelengan. Baru aku perasan, novel yang dipinjam sewaktu pertama kali dia datang ke sini berada di pelukannya. Aku terus berdiri kaku di tempat yang sama. Disebabkan renungan mereka yang membuatkan aku berasa tidak selesa, aku membawa diri pergi ke dapur untuk mengangkat hidangan yang sudah disiapkan.

   "Ana, kita naik atas kejap boleh tak?" Maria akhirnya bersuara setelah aku selesai meletakkan hidangan di atas meja kecil bersebelahan dengan sofa. Aku menjeling sekilas ke arah Aunty Sara. Dia sedang leka menatap telefon bimbitnya. Tak angin pula orang tua ni. Segaris senyuman aku hadiahkan kepada Maria sebelum memberi anggukan kecil.

   Tiba sahaja di kamar, Maria meletakkan semula novel di tempat asalnya sebelum dia menuju ke birai katil, memilih untuk duduk berhadapan dengan aku. Wajahnya kelihatan mendung. Lama kami duduk begitu dengan ditemani kesepian. Aku mengambil kesempatan untuk menilik wajah Maria yang punya sedikit iras dengan wajah Aunty Sara. Lembut tanpa sebarang solekan.

   "Ada apa-apa yang tak kena ke Maria?" 

   Dengan serta-merta tubuh aku didakapnya sambil merintih. "Ana, saya tahu saya bukan sesiapa. Tapi saya dah takde orang lain,"

    Aku tergamam seketika. Baju aku terasa basah dengan esakan tangisnya yang semakin menjadi-jadi. Terbit rasa kasihan di hati. Dulu dia datang ke sini, bukan main ceria lagi. Tapi bila melihatnya begini, aku rasa tak senang hati. Aku memegang kedua-dua bahunya. Cuba untuk merungkai masalah yang melanda diri Maria.

    "Kenapa?"

    Maria menanggalkan kaca matanya lalu mengesat air mata yang jatuh deras. Perlahan-lahan dia cuba menenangkan diri. "Keluarga saya tak macam keluarga awak, Ana. Umi dah bercerai dengan Abi. Pada mulanya saya hidup dengan Abi kat kampung. Tapi bila Umi decide nak ambil saya balik, saya terpaksa ikut. Abi pula hanya menyepi,"

    Sedunya ditahan sebelum menyambung lagi, "Bila tiba waktu nak daftar sekolah, Umi tiba-tiba kata saya dah tak payah belajar lagi. Dia kata saya ni cuma menghabiskan duit tapi belajarnya tak pandai. Saya macam awak juga. Saya teringin nak pergi sekolah, belajar. Bila saya bercakap, Umi tak pernah nak layan. Kalau boleh saya nak lari je dari rumah, duduk dengan Abi,"

    Lidah aku kelu. Tidak mampu mereka ayat yang sesuai. Sampai dengan anak sendiri pun, Aunty Sara berlagak begitu sekali? Busuknya hati dia. Apa yang mampu aku lakukan? Aku bukannya ada duit pun. Maria hanya merenung ke arahku, titisan jernih masih lagi mengalir. Dipinta untuk memujuk barangkali. Bab memujuk ni memang aku tak reti. Aku hanya mengecilkan mata, menghamburkan keluhan kecil, tanda tidak setuju dengan perbuatan Aunty Sara. Mata Maria yang hampir sembap aku tatap kembali. Jauh merenung ke dalam.

    "Lembablah minah ni. Cakaplah something. Ish, bisu agaknya. Takkan tak menjadi kot lakonan aku,"

    Tersentak. Tapi kali ini aku cuba untuk tidak panik. Kaku di tempat duduk. Pandangan aku masih bertentang dengan sepasang mata milik Maria. Mana tahu ada suara lagi. Maknanya ini sudah masuk tiga kali. Mustahil kalau aku yang berangan. Tak mungkin. Aku yakin. Tadi tu suara Maria. Jadi betullah aku boleh mendengar kata hati manusia? Tapi apa motif si Maria ni berlakon depan aku?

   "Errr...saya faham kalau awak tak selesa saya cakap semua ni. Saya cuma perlukan seseorang untuk meluahkan perasaan," kaca matanya dipakai semula. Matanya merah. Kalau dia memang berlakon, aku rasa Zara Zia pun kalah. Tak nampak macam berlakon pun.

   "I'll try asking for some help. Emmm lagipun, Umi awak tu kan adik mama saya," terangku dengan teragak-agak. Dengar sahaja ayat aku,terpancar daripada wajah Maria riak muka gembira tapi cepat diselindunginya. Aku sudah mula ragu-ragu dengan kejujuran budak ni.

   "Saya tak berniat nak susahkan keluarga awak sebenarnya. Tapi emm..,"

   "Not a big deal, Maria. Kita cousin kan," biarlah apa nak jadi sekali pun. Aku yakin kebenaran akan terbongkar akhirnya. Aku hanya perlu tengok sejauh mana lakonan ni berjaya. Betul ataupun tidak. Masanya pasti tiba tak lama lagi.

***********************************************************************

    Laju Dania mengatur langkahnya ke arah pejabat Abdullah. Kasut tumit tinggi yang disarung menyukarkan pergerakannya. Kalau tahu tadi, dia hanya memilih sandal biasa. Pada mulanya tengah hari itu, niatnya cuma mahu bertemu dengan bos yang meminta dirinya untk berbincang mengenai permasalahan yang berlaku di syarikat. Tidak sangka pula Dania, dia dapat menangkap suaminya sedang berbual mesra dengan sahabat yang memang tidak salah lagi. Nazura. Mereka berada dalam kafe yang sama. Nasib baik tempat yang dipilih oleh Dania agak terlindung. Sudah jadi satu masalah pula, konsentrasinya hancur. Segala yang diutarakan oleh bos hanya masuk telinga kiri, keluar telinga kanan. Akhirnya, dia meminta untuk berundur diri kerana berasa tidak sihat apabila mendapati pasangan tak guna tu sudah beredar.  

    Bukan niat utamanya nak bersikap queen control. Dania hanya perlukan penjelasan. Tak mahu perkara ni menjadi fitnah yang bakal dibesar-besarkan kerana rumah tangganya amat penting. Segera dia memboloskan diri ke dalam pejabat suaminya tanpa sebarang ketukan. Tak perlulah isteri sendiri pun kena minta izin nak masuk.

   Separa langkah dia memasuki pejabat dingin itu, terpapar pemandangan yang mengundang gelodak dalam hati wanitanya. Terasa dirobek-robek sehingga menyebabkan manik-manik jernih bergenang di tubir kelopak matanya. Tinggal tunggu untuk gugur dalam masa yang terdekat. Menggigil seluruh tubuhnya menyaksikan dengan mata kepalanya sendiri, sahabat yang disangkakan peneman sejati berpelukan dengan suami sendiri. Hancur hati kerana inilah penjelasan yang dia terima akhirnya. 

    "Abang............,"

*********************************************************************

P/s: Lebih banyak kejutan yang bakal dibongkarkan. Sabar, ini baru sikit hehehehe. Terima kasih atas galakan yang memberansangkan. Padahal ini cuma cerita spontan keluar daripada otak, masih banyak sangat cacat cela. Apa-apa pun, selamat membaca :) 

TIKAMWhere stories live. Discover now