Prolog

4.2K 109 5
                                    

Aku bukanlah penulis handal, mampu mengarang ayat berbunga-bunga bagi menambat hati manusia. Jauh sekali untuk merangka surat cinta bagi insan yang bergelar kekasih hati. Aku cuma insan biasa yang masih wujud di atas muka bumi yang sementara dan ini kisah aku.

Hidupku secara fizikalnya kelihatan normal. Sejak kecil, mama dan papa menatangku bagai minyak yang penuh. Almaklumlah, anak tunggal. Aku disogok dengan limpahan kemewahan dan hiburan yang melalaikan. Apabila menginjak ke angka dewasa, sangka mereka, dengan meninggalkanku terperuk dalam banglo agam tiga tingkat sendirian, aku dah dapat segala-galanya. Tapi mereka lupa satu perkara tentang fitrah manusia, iaitu yang dahagakan kasih sayang.

Mujur masih ada pengubat hati yang sunyi. Kehidupan di sekolah amat berbeza. Aku punya rakan yang prihatin, kelakar dan menghiburkan. Mereka tidak pernah mempersoalkan tentang kekuranganku. Mereka tidak tahu mengenai latar belakang dan asal usul aku yang sebenar. Biarlah mereka berkawan secara ikhlas. Bukannya aku tidak pernah ditindas disebabkan kekayaan mama dan papa. Bayangkan saudara mara sendiri sudah jelak memandang muka kami. Cemburu? Dengki? Sukar untuk aku ungkapkan mengapa perlu ada perasaan itu dalam diri mereka.

Namun setiap rahsia pasti akan terungkai akhirnya. Aku paling tidak suka dengan perangai manusia yang gemar menyembunyikan sesuatu, mencampakkan aku ke dalam lembah kekosongan, keliru, serba salah. Jangan pernah menyangka selama aku diam membisu, aku tidak pernah merasa apa-apa. Pendengaranku luar biasa, kata hati manusia menjadi mainan utamaku.

**********************************************

"Ana!" laungan papa dari tingkat bawah mengejutkan lamunanku yang panjang. Segera aku menuruni anak tangga yang menghubungkan loteng kosong iaitu 'spot' kegemaranku dan bilik tidur.

"Ada apa papa?" aku menyoal, pandanganku menangkap bagasi besar yang terletak di sisinya.

"Emm. Papa ada kerja sikit, outstation. Dalam masa seminggu, takpe kan duduk sensorang?" aku mengangguk kecil. Dah memang selalu macam ni.

"Mama pun......rasanya tak balik malam ni. Nanti papa call Aunty Sara suruh jenguk-jengukkan kamu," mataku terbuntang luas saat terdengar nama Aunty Sara. Tolonglah jangan diseru jembalang tu.

"Eh eh takpe takpe! Err Ana ada ajak kawan tolong temankan Ana malam ni. Papa takyah risau, Ana boleh survive," aku menyengih tawar.

"Ah yelah. Papa pergi dulu. Bye," lambaiannya aku balas, lemah. Sampai bila aku terpaksa berhadapan dengan situasi yang sama?

Aunty Sara. Usah ditanya mengapa aku benci saat namanya disebut. Dasar talam dua muka. Papa dan mama percaya hanya Aunty Sara satu-satunya individu yang mereka boleh menaruh harapan setelah saudara yang lain memulaukan keluarga kami. Aku masih bingung dengan masalah yang satu itu. Tapi apa yang pasti, Aunty Sara bukanlah apa yang mereka sangka-sangkakan. Aku sudah banyak kali ditengking dan dimaki olehnya. Dia cuma tamakkan kekayaan keluarga aku. Entah bila masanya aku dapat buktikan kebenaran.

*********************************************

"Termenung tunggu boypreng jatuh ke riba ke?" Shasha menarik kerusi dan mengambil tempat di sebelahku. Waktu itu sepatutnya kelas bagi subjek Sains. En Zaki cuti sakit lagi agaknya.

"Haha taklah. Saje memikirkan masa depan," Shasha tergelak kecil mendengar jawapanku. Anak matanya yang hitam pekat aku renung dalam dalam.

"Bosannya hidup Amran takde harini," Kantoi! Giliran aku untuk menyakat budak ni.

"Patutlah tak banyak cakap, buah hati tak muncul ke?" aku tersenyum meleret. Jelas terlihat daripada riak wajahnya tidak senang.

"Mana ada! Pandai pandai je menyakat aku dengan Amran," dia memuncungkan bibirnya.

"Rasanya aku takde sebut nama sesiapa tadi," merah padam muka Shasha sebelum dia menumbuk lenganku kuat. Jeritan kecil aku membuatkan kami sama-sama tergelak.

Ada ramai lagi selain Shasha. Zahrah, Maria, Elin, Kamal dan Abu, semuanya sahabat yang hanya satu aku minta daripada mereka, setia kekal bersama. Mereka sahajalah yang mampu mengukir senyum di wajah muram aku. Tapi sayang waktu di sekolah sungguh singkat untuk aku lupakan kegelisahan yang sering mengundang ketika berada di rumah. Cuma terkadang aku sedar selama ini aku banyak mendengar masalah mereka tetapi masalah aku mereka tidak pernah tahu kerana aku lebih suka berdiam diri. Aku tidak kisah asalkan mereka masih sudi mengisi ruang kosong dalam hidup aku.

****************************************

TIKAMWhere stories live. Discover now