Dirgahayu Bab 7: Kejar-Kejar

128 11 0
                                    

Lengan penuh kesan tanah Aiman Hakim sedang melingkar pada leher Natasha. Sedekat itu dengan mayat hidup, bau busuknya sedang menusuk lubang hidung Natasha. Hampir sahaja dia memuntahkan isi makanan yang dihadamnya di restoren mamak tadi.

Lebih menjijikkan, lidah Aiman Hakim sedang menjilat wajahnya. Malangnya, dia tidak langsung mampu walau mengerakkan jari telunjuknya. Seolah-olah kakinya sedang dipasung di atas tanah. Apa yang dia mampu lakukan ialah merenung penuh takut ke arah rakan-rakannya yang sedang tergamam dengan kemunculan tiba-tiba Aiman Hakim.

"Aku... cuma nak Shiela... serahkan dia kepada aku. Aku akan lepaskan si Natasha..." kata Aiman Hakim. Shiela terus melangkah bersembunyi di belakang Shahmil.

"Kau tak sepatutnya hidup... ilmu hitam yang terkutuk mana yang bangkitkan kau ni?" soal Shahmil sambil cuba menutup hidungnya. Sungguh, bau yang amat busuk sedang tersebar dari tubuh Aiman Hakim yang sedang reput itu.

"Aku pun nak pergi dengan aman! Tapi semua tu tak akan jadi kalau tak nyawa Waqi dan Shiela aku dapat! Aku tak akan lebih aman," tempik Aiman Hakim tiba-tiba.

"Langkah mayat aku kalau kau nak ambil dia," gumam Shahmil sambil memegang erat tapak tangan Shiela, spontan.

"Mayat aku jugak," kata Amie mempertahankan sahabatnya.

"Kalau macam tu, aku terpaksa bunuh orang tak bersalah macam Natasha," kata Aiman Hakim sambil kedua-dua jari legamnya sedang memegang bawah dagu Natasha. Bila-bila masa dia akan melakukan sesuatu. Air mata sudah mengalir deras daripada kelopak mata Natasha. Kalaulah pada waktu itu dia boleh bergerak...

"Buat sesuatu," bisik Safwan disebelah Shahmil yang masih cekal berdiri. Kepalanya sedang ligat memikirkan solusi kepada masalah baru yang ditemui.

"Aku tak sabar nak bunuh kau untuk kali kedua," gumam Shahmil sambil tersengih memancing.

"Aiman... macam mana rasanya masa Waqi pukul kepala kau? Mesti kau sedar masa kami berenam heret mayat kau lalu tanam dekat sini? Mesti kau cuba upaya untuk mengerakkan tubuh kau, tapi masa tu nyawa dah terpisah dengan badan kau. Apa yang kau mampu ialah melihat kau ditanam dan dikambus. Masa tu kau tentu menyesal bukan dengan apa yang kau buat?" Jari-jemari Aiman Hakim yang sedang memegang bawah dagu Natasha mula kendur seketika. Dia mula merenung tajam ke arah Shahmil yang masih cekal berdiri.

"Pergi ke Safwan... kau berdua," bisik Shahmil kepada Shiela dan Amie.

"Aku kalau ada peluang... aku akan bunuh kau 1000 kali. Bukan sekali, tapi 1000 kali Aiman. Tak ada rasa yang lebih puas dapat bunuh budak lelaki paling musibat dalam universiti kita. Dan akhirnya hari ini, Tuhan makbulkan permintaan aku untuk bunuh kau," tutur Shahmil lagi.

"Aku harap kau tak pengecut macam kau sebelum mati, cuba serang aku dari belakang. Tinggalkan budak perempuan tu, dan dapatkan aku!" kata Shahmil sambil mendepakan tangannya. Untuk seketika, Aiman Hakim merenung tajam wajah Shahmil dengan mata merah menyalanya. Akhirnya, sepertinya provokasi Shahmil itu disambut oleh Aiman Hakim. Perlahan-lahan tubuh Natasha ditolak ke tepi. Kali ini, sengihan provokasi Shahmil bertukar senyuman sinis olehnya.

"Dapatkan aku..." gumam Shahmil lalu membuka langkah seribu. Aiman Hakim seperti terlupa akan kewujudan Shiela tanpa pelindung di situ lalu terus mengejar langkah kaki Shahmil yang kini sedang jauh ke dalam kawasan hutan.

"Sekejap... Azam mana?" soal Amie tiba-tiba menyedari yang salah seorang rakan mereka tidak ada di situ sejak sedari tadi. Mereka bertiga yang ada di situ memandang sekitar mereka sebelum mendapati bahawa sahabatnya tidak ada di situ.

***

Peluh mula membasahi wajah Shahmil. Nafasnya sudah mula terputus-putus. Otot kakinya sudah mula mengejang. Kepantasan hayunan kakinya mula perlahan kerana beberapa kali terlanggar akar kayu yang menjalar di bawah kakinya. Lengan-lengannya mula terasa seperti tergores berdarah ketika dia menjadikannya sebagai perisai menepis, menolak dan melindungi wajahnya daripada dahan-dahan pokok yang tumbuk melata disekitar hutan itu.

"Bangsat kau! Aku akan bunuh kau!" teriak Aiman Hakim di belakang. Bezanya, mayat hidup seperti lelaki itu tidak merasai kesakitan dan kepenatan sepertinya. Bahkan, dia melanggar semua dahan pokok dan akar kayu, merempuh seperti pemain ragbi professional atau amukan seekor badak sumbu. Aiman Hakim tidak bangkit dari kematian dalam keadaan yang menakutkan sahaja, malah dengan kekuatan yang sangat menakjubkan.

"Sikit lagi... sikit lagi..." Shahmil memberikan dirinya kata-kata semangat. Selepas hampir sahaja tergolek kerana terlanggar akar kayu dalam gelap malam, akhirnya Shahmil menghampiri jalan raya yang dibina membelah kawasan hutan itu. Aneh, sampai sahaja di situ, Shahmil dalam keadaan terhincut-hincut berdiri sedang berdiri menunggu Aiman Hakim yang sedang menghampirinya.

"Azam... cepat sikit," tutur Shahmil menanti Aiman Hakim meluru ke arahnya. Serentak itu, kereta Toyota Avanza dari kejauhan meluncur laju di tengah-tengah jalan raya lalu merempuh tubuh Aiman Hakim yang sedang menuju ke arah Shahmil. Impak langgaran itu menyebabkan tubuh Aiman Hakim tercampak beberapa kaki daripada tempat dia berdiri.

"Cepat masuk!" teriak Azam. Dengan keadaan terhincut-hincut, Shahmil berlari menuju ke arah pintu kereta yang terbuka. Azam pula memerhati dengan mata yang tajam keadaan Aiman Hakim yang terbaring di tengah-tengah jalan raya, dengan harapan jasad itu tidak mungkin bangun lagi.

"Terima kasih," ucap Natasha di tempat duduk belakang sebaik sahaja Shahmil melabuhkan punggungnya di atas kerus empuk tempat duduk penumpang di sebelah Azam.

"Kaki awak okey ke?" soal Shiela, risau melihat Shahmil terhincut-hincut melangkah.

"Terseliuh jer. Jangan risau," balas Shahmil. Seketika kemudian, dia menoleh ke arah Azam.

"Kenapa tak gerak lagi?" soal Shahmil.

"Dia... tak mati lagi..." tergagap-gagap Azam menuturkan kata-kata itu. Shahmil menoleh ke hadapan. Aiman Hakim bangkit dalam keadaan kepalanya terpusing belakang. Seperti tidak langsung merasa sakit. Tubuh Aiman Hakim sedang menghadap arah yang bertentangan dengan kepalanya.

"Aku nak langgar sekali lagi..." ucap Azam.

"Pakai seatbelt korang masing-masing," arah Azam lagi.

Pedal di kakinya ditekan sekuat mungkin. Kereta itu terus bergerak lagi dan... kali ini tubuh Aiman Hakim tidak tercampak, tetapi digilis oleh roda sebesar kepala manusia itu. Seperti melalui jalan raya berbukit yang tidak rata, begitulah perasannya yang dirasai oleh mereka ketika kereta itu menggilis tubuh Aiman Hakim dibawahnya. Apabila kereta itu terus meluncur laju ke hadapan, mereka di dalam kereta itu menoleh ke belakang untuk melihat keadaan Aiman Hakim.

"Ya ALLAH... dia bangun lagi..." tutur Shiela dalam nada suara penuh seriau. Dari kejauhan, kelihatan Aiman Hakim bangun dalam keadaan tubuh yang berlumuran darah. Dia ketawa sekuat-kuatnya sambil memandang kereta Avanza itu meninggalkan dirinya.

"Greetings Dirgahayu... bala paling besar dah melanda kota ni," tutur Safwan sambil tersandar di tempat duduk paling belakang.

DirgahayuWhere stories live. Discover now