Dirgahayu Bab 1: Mati

341 15 0
                                    



Shahmil sedang menghabiskan beberapa batang rokok Sampoerna Hijau, menghayati suasana Dirgahayu pada malam merdeka itu. Merata-rata di jalanan, penduduk Dirgahayu sedang lengkap dalam pakaian yang melambangkan para tentera ketika Perang Dunia Kedua. Daripada uniform tentera British dan Jepun, malah fasis Itali dan Nazi Jerman turut kelihatan.

Azam yang sedang memandu dalam kereta Toyota Avanzanya disebelah Shahmil kelihatan kurang senang dengan kesesakan yang dipercayai berasal dari Dataran Dirgahayu. Sesekali, dia akan melontarkan kata kesat, memarahi budak-budak motor yang mencelah dan melanggar cermin sisinya.

"Kenapa si Safwan tu tak tunggu kita? Kenapa dia memandai pergi kat parti haram tu?" Azam sesekali bersuara.

"Tenang... nak sampai dah kat Bukit Taram ni. Tak jauh lagi ni," ungkap Shahmil.

"Kau rasa kenapa budak-budak Khairul nak perangkap si Safwan tu?" soal Azam.

"Biasalah. Safwan ni... beza dengan kebanyakan kita. Dia unik, dan si Khairul tu rasa insecure dengan kelebihan Safwan," kata Shahmil.

"Tapi tak akanlah si Safwan tu sebodoh tu," ucap Azam sambil menggeleng.

"Cinta tu buta tu Zam. Walau untuk lelaki macam Safwan," pintas Shahmil, entah kenapa berfalsafah cinta tiba-tiba.

Kali ini, kereta kembali bergerak. Kereta dari jenis Toyota Avanza berwarna emas itu kembali meluncur laju. Shahmil kembali melemparkan pandangannya ke arah pemandangan di sekitar Dirgahayu sambil bunyi DJ di corong radio menemaninya, selain daripada Azam terus membebel.

"Bila bercakap mengenai sambutan kemerdekaan Malaysia, tentu tak akan terlepas daripada bercakap mengenai Dirgahayu, metropolitian 1 juta nyawa yang terletak di pantai Timur Johor. Kota yang dikenali sebagai lubuk World War II ini mempunyai tradisi unik iaitu penduduk kotanya akan berpakaian persis askar zaman World War II, lalu berarak di sekeliling kota." Suara DJ Radio terus berkumandang.

Shahmil bukanlah anak jati Dirgahayu. Anak muda berusia 18 tahun itu datangnya daripada Seremban, menyambung pelajaran di Universiti Tun Perak. Pemandangan di Dirgahayu itu agak aneh buatnya, namun sebagai anak rantau sepertinya, bukanlah tempatnya mempertikaikan adat dan tradisi penduduk Dirgahayu.

"Aku dengar cerita ada orang dah report polis. Kalau dia kena angkut malam ni sebab join parti haram tu, aku tak tahu nak jawab apa kat mak dia." Sesekali Azam bersuara sebelum memusingkan stering keretanya memasuki kawasan parkir Bukit Taram.

"Kat atas puncak sana kan?" kata Shahmil apabila Azam memarkirkan keretanya berdekatan dengan antara kereta-kereta lain.

Mereka berdua meninggalkan kereta itu, lalu memanjat anak tangga yang akan membawa mereka ke puncak Bukit Taram. Dalam perjalanan pendakian itu, mereka berdua tersempak dengan beberapa anak muda yang memilih beberapa tempat persembunyian yang agak jauh dari tapak parti untuk becengkarama. Azam hanya menggeleng melihat pasangan yang sudah jauh menyimpang.

"Abaikan diaorang tu. Kita datang nak cari Safwan," kata Shahmil.

Semakin mereka menghampiri puncak bukit, semakin kedengaran bunyi muzik bingit yang menjadi latar pesta haram itu. Pemandangan perserta pesta yang turut lengkap dalam pakaian uniform tentera ketika era Perang Dunia Kedua semakin kelihatan. Mereka berpesta dalam gaya tradisi malam merdeka Dirghayu, baik lelaki dan perempuan. Cuma Shahmil yang lengkap dalam sweater hitam yang disarungkan pada tubuh tinggi lampainya serta Azam dalam kemeja putih yang disarungkan dengan jaket hitam sahaja yang berpakaian normal.

"Awak... jom... menari..." tutur seorang gadis yang lengkap dalam skirt pendek atas paras lutut, dengan uniform tentera Nazi, bersama sahabatnya yang bertopi koboi, persis tentera dari Empayar British, juga memakai skirt atas paras pehanya. Sambil itu, mereka menghulurkan sebotol kaca yang pada labelnya tahulah mereka berdua tahu merupakan arak.

DirgahayuWhere stories live. Discover now